Translate

Thursday, October 3, 2013

Dua didakwa terlibat pengubahan wang


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Dua individu termasuk seorang ibu tiga anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan penggubahan wang wang untuk syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (GMSB) membabitkan urus niaga RM563,800 dua tahun lepas.

Lim Kah Heng, 42, yang juga Pengurus Besar GMSB menghadapi 28 pertuduhan melibatkan urus niaga RM367,000 manakala Lee Mei Jun, 34, pula dituduh di atas tiga pertuduhan menerima deposit hasil transaksi aktiviti haram tersebut berjumlah RM196,000.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua 28 dakwaan tersebut dilakukan Kah Heng dari Taman Canning di pejabat Visiotec Marketing dari 23 April 2011 hingga 27 Ogos 2012.

Tertuduh yang masih bujang merupakan pemilik tunggal syarikat tersebut yang terletak di Pusat Perniagaan Greentown di sini.

Dua daripada pertuduhan yang melibatkan Mei Jun dari Taman Pakatan Jaya, Ulu Kinta dekat sini pula didakwa dilakukan di Public Bank cawangan Bercham di sini pada 19 Mei 2011 hingga 6 Julai 2011.

Pada pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki wang tunai RM200,000 yang merangkumi not RM5 dan RM10 serta mata wang Yen selain empat jongkong emas yang disimpan di dalam peti keselamatan CIMB Bank cawangan Bercham di sini pada 21 Disember 2012.

Kedua-dua tertuduh di dakwa mengikut Subseyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM5 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mereka yang diwakili peguam J. Kuldeep Kumar mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ke atas kesemua pertuduhan.

Hakim Madihah Harullah membenarkan Kah Heng dibebaskan dengan wang jaminan RM100,000 dengan dua penjamin sementara Mei Jun pula dibenarkan diikat jamin dengan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim untuk memindahkan kesemua kes melibatkan kedua-dua tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebutan semula kes berkenan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditetapkan pada 25 Oktober depan dan Kah Heng dan Mei Jun dibenarkan untuk melunaskan wang jaminan selewat-lewatnya 2 petang hari ini.

Sebelum ini Kah Heng telah menghadapi 16 pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas bersama lima individu lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Mereka yang merupakan individu penting dalam GMSB dituduh terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga hampir RM5.5 bilion.

No comments:

Post a Comment