Translate

Sunday, September 29, 2013

Syor francais jadi teras MPEB

TAIPING – Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO menyarankan kerajaan agar menjadikan industri francais sebagai teras dalam agenda membangunkan usahawan baharu bagi program Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (MPEB).
Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, penglibatan dalam industri francais terbukti menjadi cara paling mudah dan kurang berisiko bagi usahawan yang baharu berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.
“Bagi membantu lebih ramai Bumiputera memulakan langkah pertama mencebur diri dalam bidang perniagaan, kita perlu sistem yang betul-betul terjamin dan terbukti.

“Pilihan yang ada ialah francais kerana industri itu terbukti mempunyai sistem, prosedur operasi standard dan manual yang mudah diikut dan risiko kegagalannya kurang lima peratus,”, katanya selepas merasmikan Jelajah Francais 1Malaysia peringkat Perak di sini semalam.

Pada 14 September llau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan MPEB bagi membela serta meningkatkan taraf kehidupan Bumiputera. 

MPEB merangkumi lima fokus utama iaitu mendaya modal insan Bumiputera, memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera dan memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Program anjuran Biro Ekonomi, Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Francais kementerian tersebut, Afkhar Razi Ariffin.

Sohaimi yang juga Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Muda Malaysia (Perdasama Muda) berkata, industri francais perlu diperkasa bagi merancakkan lagi pertumbuhannya bagi menjadi salah satu saluran perniagaan pilihan kepada usahawan baharu termasuk siswazah institusi pengajian tinggi (IPT).

No comments:

Post a Comment