Translate

Wednesday, September 18, 2013

Perak akui tidak rela berputih mata

PERAK akan bermain bermati-matian membenam cabaran Kedah pada saingan Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh hari ini, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Kemenangan sangat penting dalam usaha memastikan laluan ke suku akhir semakin selesa.

Jurulatih Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, kekalahan 1-2 kepada Lion XII di Stadium Jalan Besar sebelum ini menyebabkan skuad Seladang tiada pilihan lain selain memastikan tiga mata penuh dalam perlawanan kelima peringkat kumpulan tersebut.

“Walaupun berkongsi tujuh mata dengan pasukan Sarawak di kedudukan teratas kumpulan D, ia bukan jaminan Lion XII dan Kedah tidak mampu memintas pada saat-saat akhir.

“Kita tidak ada pilihan ada selain menewaskan Kedah kalau tak mahu berputih mata,” katanya kepada Kosmo! di Ipoh semalam.

Mohd. Azraai berkata, pemain-pemain sudah melupakan kontroversi kekalahan dengan Lion XII dan akan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk meraih kemenangan.

Tambah beliau, skuad Kejor Yop Kejor juga mahu memastikan rekod bersih dua kemenangan terhadap Sarawak dan Lion XII di Stadium Perak dipertahankan.

“Lagipun kita mahu menebus kembali kehampaan pada perlawanan terdahulu di Stadium Darul Aman (Alor Setar) yang kita dinafikan kemenangan berikutan gol penyamaan Kedah pada minit-minit akhir perlawanan,” katanya.

Begitupun, Mohd. Azraai menegaskan, beliau tidak pernah memandang rendah kemampuan Kedah biarpun pasukan negeri jiran tersebut beraksi di Liga Perdana.

Menurut beliau, saingan Piala Malaysia adalah kancah pertandingan yang berbeza dan ia dibuktikan skuad Kenari setakat ini berjaya mengutip tiga mata dan masih berpeluang mencuri slot suku akhir.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Azraai membayangkan akan menurunkan pemain tengah, Mohd. Nasir Basharuddin yang baru membantu skuad Harimau Muda menjuarai Pestabola Merdeka.

“Saya bangga dengan dia (Mohd. Nasir), pertama kali dipanggil menyertai Harimau Muda tetapi turut menjaringkan gol pada perlawanan antarabangsa pertamanya (ketika Harimau Muda menewaskan Thailand 3-0).

“Insya-Allah dia akan diturunkan menentang Kedah esok (hari ini),” katanya.

No comments:

Post a Comment