Translate

Saturday, September 7, 2013

Bentley Datuk Seri hilang 8 jam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH – Sebuah kereta mewah Bentley bernilai RM1.2 juta ditemui semula selepas lapan jam dilarikan penjenayah dari sebuah banglo di Jalan Watson berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Othman berkata, kereta berwarna kelabu kebiruan milik pemaju hartanah bergelar Datuk Seri itu dijumpai di sebuah bengkel membaiki kereta di Menglembu pada pukul 12 tengah hari hari sama.
“Seorang lelaki berusia 20-an yang berada di dalam bengkel tersebut ditahan untuk membantu siasatan mengenai kecurian kereta mewah itu.
“Polis percaya perbuatan melarikan kereta Bentley itu dilakukan satu sindiket yang membabitkan lebih daripada seorang anggota. Baki suspek lain sedang diburu,” kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, kereta mewah yang diletak di kawasan banglo pemiliknya dipercayai dilarikan seorang lelaki pada pukul 4 pagi.

Pemilik kereta tersebut terjaga daripada tidur selepas dia mendengar bunyi bising di luar kediamannya.

"Sewaktu membuka pintu rumah, tuan rumah nampak seorang lelaki yang memakai topeng muka sedang  menghidupkan kereta Bantley miliknya.

"Pemilik kereta itu kemudian masuk ke dalam rumah dan mengambil pistol miliknya sebelum melepaskan tiga das tembakan ke udara sebagai amaran kepada penjenayah tersebut," kata beliau.

Anuar memberitahu, suspek yang terkejut dengan bunyi tembakan itu telah mengundur kereta Bentley itu secara panik dan hampir merempuh pemiliknya.

"Pemilik kereta yang sempat mengelak daripada dirempuh melepaskan enam das lagi tembakan ke udara namun suspek bertindak nekad dengan merempuh pintu pagar banglo itu sebelum memecut laju melarikan kereta mewah berkenaan," kata beliau.

Pemeriksaan polis di hadapan banglo itu menjumpai sebuah kereta Honda CRV yang menggunakan nombor plat palsu dipercayai milik suspek.

"Honda CRV itu didapati kereta curi yang dilaporkan hilang semalam (kelmarin) di Kampung Rapat di sini," katanya.
Anuar berkata, pemeriksaan di dalam kereta Honda CRV itu menemui kad pengenalan milik Wong Kai Yew berumur 31 tahun di dalam sehelai seluar.

Sehubungan itu, beliau meminta lelaki tersebut tampil untuk membantu siasatan polis mengenai penemuan pengelaan dirinya.

No comments:

Post a Comment