Translate

Thursday, September 12, 2013

Angkara pemandu kereta cilik

IPOH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila jasadnya ditemui dalam keadaan terduduk secara melutut dihimpit ke dinding rumah teres manakala kedua-dua belah tangan memegang selipar di Taman Kerian, Parit Buntar di sini semalam.
Lebih menyedihkan apabila tragedi pada pukul 12.30 tengah hari itu berlaku selepas abang mangsa yang berusia empat tahun menghidupkan enjin kereta bapanya sebelum kanak-kanak itu memasukkan gear undur.
Tindakan si abang itu menyebabkan kereta jenis Mazda tersebut bergerak secara mengundur lalu merempuh si adik yang berada di belakang kereta untuk memakai selipar.

Mangsa yang terbunuh Mohd. Adam Mohd. Ali manakala abang mangsa, Mohd. Aiman tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Fauzi Mat Nayan berkata, sewaktu kejadian kenderaan yang diletakkan di dalam kawasan rumah itu tanpa berkunci dari luar oleh bapa kanak-kanak berkenaan, Mohd. Ali Hussin, 53.

"Bapa mangsa baru pulang menghantar isterinya berniaga di Alor Pungsu, Bagan Serai dan masuk sebentar ke dalam rumah untuk mengambil barang sebelum bercadang menghantar pula seorang anak perempuannya ke sekolah.

"Mohd. Aiman yang sebelum itu bermain di luar kereta kemudian masuk ke dalam kereta dan duduk di tempat duduk pemandu lalu menghidupkan enjinnya.

"Mohd. Aiman kemudian dipercayai termasuk gear undur yang kemudian menyebabkan kenderaan itu bergerak lalu merempuh Mohd. Adam yang berada di belakang kereta itu," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, Mohd. Ali yang menyedari enjin keretanya dihidupkan bergegas keluar dari rumah namun terlambat apabila kereta tersebut sudah merempuh Mohd. Adam yang dikatakan sedang mengambil selipar untuk dipakai.

"Kanak-kanak itu ditemui mati di tempat kejadian dengan badannya dihimpit ke dinding rumah. Mangsa terbunuh akibat kecederaan parah di kepala," kata beliau.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

Difahamkan Mohd. Adam merupakan anak bongsu daripada lima beradik manakala Mohd. Aiman anak keempat.

Semasa kejadian kereta itu diletakkan dalam posisi bahagian depan kenderaan menghala ke luar rumah.

No comments:

Post a Comment