Translate

Monday, August 12, 2013

Zambry umum tidak bertanding MT UMNO

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengumumkan untuk tidak bertanding merebut jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam pemilihan parti Oktober depan.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, ia bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai muka baharu menawarkan diri bagi memberi sumbangan kepada parti.

“Saya berpandangan sebagai Menteri Besar, saya menjadi ahli MT secara automatik. Kalau tidak secara lantikan pun, kami adalah ahli MT yang turut hadir.

“Walaupun sebagai ahli MT yang turut hadir, saya masih boleh menyertai dan berkongsi idea dan pandangan dalam mesyuarat MT UMNO. Itu pandangan peribadi saya,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Pemuda UMNO Perak di Dewan Besar Jabatan Belia dan Sukan negeri di sini semalam.

Zambry berkata, sepanjang pengalamannya, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah membeza dan mengenepikan sebarang pandangan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri biarpun berposisi sekadar MT lantikan atau yang turut hadir.

Sehubungan itu, beliau berpendapat keputusan untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti akan datang merupakan pilihan terbaik tanpa memikirkan kedudukan.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Azwan Harun menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda pada pemilihan parti itu nanti.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat pandangan di peringkat akar umbi dan mendapat restu daripada Zambry.

No comments:

Post a Comment