Translate

Thursday, August 29, 2013

Yob makin bersemangat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KEMENANGAN 1-0 ke atas Lions XII di gelanggang keramat - Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin merupakan tonik berharga kepada skuad Seladang bagi mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

Jaringan tunggal menerusi tandukan penyerang, Azlan Ismail pada minit kesembilan sudah cukup buat Perak meraih tiga mata berharga, lantas mengungguli saingan Kumpulan D dengan tujuh mata.
Jurulatih Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya yang bijak memanfaatkan peluang menjinakkan juara Liga Super itu.
“Ini merupakan kemenangan yang indah dan saya cukup puas hati Perak berjaya menewaskan juara Liga Super. Apa yang penting misi untuk tidak keciciran mata di gelanggang sendiri setakat ini tercapai.
“Setelah menewaskan Sarawak 2-1 pada perlawanan pertama, kali ini Lion XII pula dijinakkan,” kata Azraai kepada Kosmo! semalam.
Azraai turut memuji prestasi cemerlang yang dipamerkan pemain muda, M. Yoganathan pada perlawanan itu yang turut disaksikan lebih 25,000 penyokong skuad Kejor YobKejor.
Menurut beliau, persembahan ampuh pemain tengah yang dipinjamkan daripada skuad Piala Presiden Perak itu menjadi antara kunci kemenangan ke atas Lions XII.
“Dia (Yoganathan) semakin menunjukkan kematangan dan telah beraksi baik sehinggalah terpaksa ditukarkan dengan Hakim (Mohd. Norhakim Isa) akibat kecederaan pada babak akhir perlawanan,” katanya.
Azraai berkata, beliau turut lega barisan pertahanan Perak yang dikemudi pemain kelahiran Brazil, Rafael Souza berjaya menyerap tekanan daripada barisan serangan Lions XII yang melakukan serangan bertubi-tubi terutama pada 10 minit terakhir perlawanan.
Bagaimanapun, beliau meminta anak-anak buah tidak terlalu selesa dengan kemenangan itu kerana laluan ke suku akhir Piala Malaysia masih berliku.
“Belum selamat lagi, masih ada tiga perlawanan lagi yang perlu diharungi termasuk di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Sabtu ini.
“Apa pun alhamdulillah pasukan Perak pada waktu ini berada dalam motivasi tinggi untuk meneruskan misi Piala Malaysia kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment