Translate

Friday, August 30, 2013

Tiga pelajar curi motosikal diberkas polis

IPOH - Seramai tiga pelajar sekolah diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar bandar raya ini pada Selasa lalu.

Dua daripada remaja itu yang berusia 16 tahun dan seorang lagi 17 tahun ditahan dalam serbuian di sebuah rumah di Kampung Sri Kinta, Pasir Puteh di sini pada pukul 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketiga-tiga pelajar sebuah sekolah menengah di Pasir Puteh itu dipercayai baru berjinak-jinak dengan kegiatan mencuri motosikal di sekitar bandar raya ini sejak beberapa bulan lalu.

"Pemeriksaan dalam serbuan di dalam rumah salah seorang suspek itu menjumpai dua buah enjin motosikal, dua rangka motosikal dan lain-lain komponen yang telah dileraikan.

"Sebuah beg berwarna hitam mengandungi beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal turut ditemui," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini semalam.

Chang Keong berkata, kebanyakan motosikal yang menjadi sasaran adalah daripada jenis Honda EX5.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek telah ditahan reman sehingga hari ini mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 akta sama kerana mencuri dan memiliki barangan curi.

No comments:

Post a Comment