Translate

Saturday, August 31, 2013

Pasang kamera untuk atasi pencerobohan Royal Belum

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak telah memasang 65 kamera perangkap di Taman Negeri Royal Belum, Gerik dekat sini bagi menangani masalah pencerobohan, terutamanya pemburuan haram di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berakta, kamera perangkap dipasang di pinggir hutan taman negeri tersebut yang terletak berhampiran Jalan Timur-Barat.

"Pemasangan kamera tersebut bertujuan untuk mengesan aktiviti pemburu haram yang menjadikan hasil hutan seperti gaharu dan spesies haiwan dan ikan dilindungi yang terdapat di taman negeri berkenaan sebagai sasaran.

"Selain itu, kakitangan Perhilitan Perak juga melakukan rondaan berkala di Taman Negeri Royal Belum termasuk pada hujung minggu dan cuti umum," katanya ketika menjawab soalan tambahan Salbiah (BN-Temenggor) mengenai tindakan kerajaan negeri Perak untuk menangani masalah pemburuan haram di taman negeri itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan semalam.

Nolee yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata, aktiviti pemantauan menerusi rondaan tersebut mula menampakkan hasil apabila 38 jerangkap haram dan dua kem pemburu haram berjaya dikesan dan dimusnahkan sepanjang tempoh dua tahun ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, seramai 39 individu termasuk 30 warga asing telah ditahan polis dan Unit Pencegah Penyeludupan keran disyaki terlibat dalam aktiviti pencerobohan Taman Negeri Royal Belum sejak tahun 2011.

"Perbadanan Taman Negeri Perak yang menguruskan Taman Negeri Royal Belum mendirikan pos-pos pemeriksaan beroperasi 24 jam di setiap pintu masuk taman negeri tersebut yang mempunyai keluasan 290,000 hektar sejak Oktober 2011.

"Polis Marin turut memainkan peranan dengan mengadakan pemeriksaan ke atas bot-bot yang beroperasi di Tasik Temenggor dan kenderaan diletakkan di Jeti Awam Pulau Banding," katanya.

No comments:

Post a Comment