Translate

Saturday, August 31, 2013

Kanak-kanak 'dibuang' di JKM

IPOH – Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta diselubungi misteri apabila menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan empat tahun yang ditinggalkan oleh seorang lelaki di pejabat itu di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 9.02 pagi itu, lelaki berusia lewat 30-an meninggalkan kanak-kanak yang dikenali sebagai Saiful itu di hadapan kaunter pertanyaan pejabat berkenaan.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, Mohd. Mahir Mohd. Tahir berkata, lelaki yang dipercayai bapa kanak-kanak tersebut menghilangkan diri selepas dilihat keluar kononnya bagi menjawab panggilan telefon bimbitnya.

“Selepas 10 minit, kakitangan JKM di kaunter pertanyaan yang curiga sesuatu tidak kena selepas kanak-kanak berkenaan ditinggalkan begitu lama telah bertindak mencari penjaganya di kawasan sekitar.

“Namun kelibat lelaki itu gagal ditemui sebelum kami bertindak membuat aduan mengenai kejadian tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada pukul 10.50 pagi,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta di sini semalam.

Mohd. Mahir berkata, sewaktu ditinggalkan, budak lelaki tersebut memakai baju jersi kelab bola sepak Chelsea berwarna biru dan bernombor 17.

Menurut beliau, kanak-kanak itu dipercayai berumur empat tahun dan memperkenalkan dirinya sebagai Saiful dan tidak banyak maklumat mengenai latar belakangnya dapat diketahui selain dia memberitahu mempunyai seorang abang yang bernama 'Kimi' dan seorang adik perempuan yang dipanggilnya 'baby'.

“Saiful juga memanggil lelaki yang meninggalkannya itu sebagai 'ayah' namun kita tak pasti hubungan sebenar mereka.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lelaki berkenaan  bersendirian membawa kanak-kanak itu di pejabat JKM Daerah Kinta sebelum meninggalkannya,” katanya.

Mohd. Mahir memberitahu, pemeriksaan fizikal ke atas badan Saiful mendapati dia berada dalam keadaan sihat dan tidak sebarang kesan penderaan dikesan.

Beliau berkata, Saiful kini ditempatkan sementara di Rumah Kanak-Kanak Kuala Kangsar dekat sini setelah memperolehi kebenaran daripada Mahkamah Majistret di sini kelmarin.

“Tidak seperti kanak-kanak lain, dia ceria dan tidak pernah bertanyakan tentang ibu bapa dan ahli keluarga sepanjang di bawah jagaan kami,” katanya. 

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai budak lelaki berkenaan di minta tampil untuk membantu JKM mengesan ahli keluarganya di talian 05-2418860 atau 019-3291176,” katanya.

No comments:

Post a Comment