Translate

Monday, August 5, 2013

Cerita sedih di sebalik tragedi


Oleh MOHD AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Dua anak pengasas produk kecantikan, Vida Beauty maut akibat lemas selepas terperangkap dalam rumah semi-D yang terbakar dalam kejadian di Meru Hills, Bandar Meru Raya di sini kelmarin.
Rumah tersebut yang baru siap diubah suai selepas dibeli beberapa bulan lalu oleh pengasas produk kecantikan tersebut, Datuk Dr. Hasmiza Othman dijadikan kediaman untuk sembilan pekerjanya.
Rumah itu terletak di belakang kediaman Hasmiza.
Dalam kejadian pukul 9 malam itu, mayat dua beradik berkenaan, Muhammad Eddie Zuhdi Mohd. Amin, 11, dan Muhammad Edrie Zikrie, 10, ditemui di dalam bilik air tingkat atas rumah tersebut. Turut maut dalam kebakaran itu ialah seorang pekerja lelaki, Mohd. Nor Syamil Zaidi, 26.

Polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu disebabkan oleh litar pintas namun sedang menyiasat dakwaan ia berpunca akibat perbuatan membaling mercun hingga mengakibatkan kereta mewah jenis Bentley meletup dan membakar rumah.

Mengimbau kejadian itu, Khairul Anuar Abu Bakar, 32, berkata, dua beradik yang merupakan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Poi Lam di sini dipelawa berkunjung ke rumah berkenaan untuk berbual selepas berbuka puasa.

Katanya, ia merupakan kunjungan pertama anak sulung dan kedua daripada empat beradik berkenaan selepas rumah itu siap diubah suai. 

Turut berada di rumah tersebut ketika kejadian itu ialah seorang lagi pekerja, Ropie Ismail, 31.

"Kami berbual-bual di tingkat atas sementara menunggu untuk mengunjungi sebuah rumah anak yatim di Air Hitam, Chemor yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari rumah bagi menjayakan sebuah program amal anjuran Vida Beauty.

"Ketika saya hendak turun, saya nampak api terus marak di perkarangan rumah sebelum menyambar kereta jenis Bentley dan menyebabkannya meletup," ceritanya ketika ditemui.

Tambah jurugambar dan pereka di Vida Beauty itu, dia kemudian berlari ke tingkat atas untuk memberitahu rakan-rakan dan dua beradik berkenaan mengenai kebakaran tersebut.

Menurut Khairul Anuar, ketika hendak menyelamatkan diri, peti suis utama di ruang tamu meletup menyebabkan bekalan elektrik terputus.

"Dalam keadaan kelam-kabut, saya menarik tangan dua beradik itu sambil diekori Mohd. Nor Syamil dari belakang menuruni tangga namun terpaksa berpatah balik sebab asap tebal dan sebahagian siling tingkat bawah telah runtuh.

"Ropie yang panik nekad terjun dari balkoni tingkat dua. Kami berempat pun mempunyai niat yanga sama namun kerana tidak tahan dengan asap, Mohd. Nor Syamil berpatah balik dan masuk ke bilik air tingkat yang sama," ceritanya.

Ujar Khairul Anuar lagi, dua beradik itu kemudian meronta-ronta melepaskan pegangan tangan dan mengekori Mohd. Nor Syamil.

Katanya, dia yang tiada pilihan lain kemudian turut terjun dari balkoni dan terjatuh atas kanopi sebelum terhempas ke tanah.

"Ropie patah kedua-dua belah kaki kerana terus jatuh atas tanah manakala saya pula bernasib baik tidak cedera," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya akan menyiasat mengenai dakwaan kebakaran itu berpunca daripada perbuatan membaling mercun hingga mengakibatkan kereta Bentley tersebut meletup.

"Setakat ini kita percaya ia berlaku akibat litar pintas. Bomba tiba lima minit selepas menerima panggilan pada pukul 9.23 malam. Selain kereta Bentley, turut musnah dalam kejadian itu sebuah kereta Perodua Kancil dan dua buah motosikal.

"Mayat ketiga-tiga mangsa tidak rentung dan mereka dipercayai lemas akibat terhidu asap tebal," katanya.

Jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan dalam satu lahad di Tanah Perkuburan Meru Raya, Bandar Meru Raya di sini pada pukul 10 pagi manakala jenazah Mohd. Nor Syamil dikebumi di Tanah Perkuburan Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri.

Hasmiza yang mesra dipanggil Vida berada di Pulau Pinang ketika kejadian sebelum bergegas pulang pada pukul 11 malam. Dia enggan ditemu bual kerana masih bersedih dengan kehilangan dua orang anaknya itu,

Hasmiza merupakan ibu tunggal dan telah bercerai dengan suaminya.

Selain Eddie Zuhdi dan Edrie Zikrie, Hasmiza mempunyai dua lagi anak iaitu Nur Adeline, 8 dan Eric Zakuan, 5.

No comments:

Post a Comment