Translate

Friday, August 30, 2013

61 penduduk di tebing Sungai Kerian dipindah

IPOH - Sebanyak 61 keluarga yang tinggal berhampiran tebing Sungai Kerian di pekan Parit Buntar dekat sini bakal dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kerian.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pengambilan tanah tersebut terpaksa dilakukan bagi menyiapkan projek tebatan banjir sejauh 200 kilometer itu,

"Berdasarkan taklimat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), projek tebatan banjir itu akan melibatkan pemindahan 61 keluarga yang tinggal di tebing sungai itu.

"Kerajaan negeri Perak akan memastikan mereka yang terlibat akan ditempatkan semula di tapak baharu yang sesuai," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Zambry berkata, penempatan semula penduduk tersebut juga bertujuan memastikan mereka tidak dibelenggu lagi dengan masalah banjir pada masa hadapan.

Beliau memberitahu, walaupun kebanyakan keluarga berkenaan menetap di tanah rizab sungai namun kebajikan mereka yang telah menetap puluhan tahun di kawasan itu tetap diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

"Saya juha berharap projek RTB Sungai Kerian yang menelan belanja hampir RM500 juta ini dapat siap mengikut jadual.

"Kawasan yang terlibat dalam projek tersebut merupakan lokasi yang mengalami masalah banjir serius hampir setiap tahun," katanya.

Projek tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari 2012 untuk mengatasi masalah banjir di kawasan yang berada di sempadan tiga negeri iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment