Translate

Thursday, July 11, 2013

Permit import ayam dibuka

Oleh IKHWAN HAZWAN HAMIDUN dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Sudah lumrah, setiap kali menjelang Ramadan, harga runcit  ayam  di pasaran di seluruh negara mengalami kenaikan secara mendadak.

Kenaikan harga tersebut menimbulkan keresahan dalam kalangan pembeli kerana terasa teraniaya berikutan terpaksa membayar harga mahal bagi membeli  ayam .

Tinjauan  Kosmo! di beberapa pasar basah dan pasar raya di ibu negara semalam mendapati harga  ayam  naik antara RM1.20 hingga RM1.70 sekilogram berbanding harga siling yang ditetapkan iaitu RM6.80.

Harga  ayam  segar di Pasar Pudu, Kuala Lumpur naik RM1 daripada RM7.50 menjadi RM8.50 sekilogram ekoran pembekal menaikkan harga borong sehingga RM7.60 sekilogram.

Seorang peniaga, Zamri Ismail, 44, memberitahu, pembekal telah menaikkan harga  ayam  sejak beberapa minggu lalu dan semakin mahal menjelang Ramadan.

Apabila pembekal menaikkan harga, Zamri mendakwa dia juga terpaksa menjual lebih mahal.Katanya, walaupun harga naik, kadar untung bagi setiap kilogram tetap 50 sen.

Rakannya, Rahim Ahmad, 38, pula berkata, harga  ayam  yang dibekalkan kepadanya berbeza mengikut saiz  ayam  tersebut.

Katanya, bagi  ayam  saiz kecil, harga yang ditetapkan pembekal ialah RM7.60 sekilogram sementara untuk saiz sederhana dan besar pula RM7 hingga RM7.30 sekilogram.

"Apabila harga yang kami terima daripada pembekal sudah tinggi, maka kami terpaksa jual lebih mahal untuk mendapat sedikit untung," kata Rahim.Sementara itu, di  Ipoh ,  tinjauan  di Pasar Besar  Ipoh  mendapati  ayam  segar turut naik dan dijual pada harga RM8.50 sekilogram.

Seorang peniaga, Rahimah Mat Noor, 43, berkata, dia tiada pilihan selepas pembekal bertindak menaikkan harga  ayam  sejak lebih sebulan lalu.

"Sejak harga  ayam  naik, jualan  ayam  di gerai saya juga semakin berkurangan.

"Kebanyakan pelanggan terutama pengusaha restoran sudah beralih ke pasar raya besar untuk membeli  ayam ," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

No comments:

Post a Comment