Translate

Wednesday, July 10, 2013

SPR mahu ganjilkan kerusi DUN


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR ) bercadang untuk menjadikan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri pada jumlah ganjil menerusi persempadanan semula kawasan pilihan raya yang bakal bermula hujung tahun ini.
Pengerusi  SPR ,  Tan   Sri  Abdul  Aziz  Mohd. Yusof berkata, ia bertujuan bagi mengelakkan polemik 'kerajaan tergantung' iaitu kesukaran menubuhkan kerajaan sekiranya berlaku senario parti-parti politik bertanding memenangi jumlah kerusi yang sama banyak di Parlimen mahupun DUN.

"Inilah satu satu perkara yang akan diperbetul  SPR  dalam persempadanan semula. Bagi negeri-negeri dan Parlimen yang mempunyai bilangan kerusi genap, kita akan lihat di mana yang sesuai dan jadikan kerusi ganjil.

"Walaupun ia bukan asas utama tetapi pengenapan jumlah kerusi Parlimen dan DUN di kesemua negeri merupakan salah satu daripada pertimbangan yang akan diambil," katanya selepas menghadiri majlis penghargaan petugas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) peringkat negeri  Perak  di sini malam kelmarin.

Abdul  Aziz  berkata, proses persempadanan semula kawasan pilihan raya akan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Fasal 2, Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.

Selain Parlimen yang mempunyai 222 kerusi dan DUN Terengganu (32), tujuh negeri lain turut mempunyai kerusi DUN pada jumlah genap iaitu Kedah (36), Pulau Pinang (40), Selangor (56), Negeri Sembilan (36), Melaka (28), Pahang (42) dan Sabah (60).

Dalam perkembangan lain, Abdul  Aziz  memberitahu  SPR  akan menguat kuasa peraturan warna pas yang berlainan kepada setiap ejen calon mengikut bidang tugas mereka pada Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut pada 24 Julai ini.

Beliau berkata, sebelum ini semua ejen calon sama ada yang bertugas di bilik mengundi, proses pengiraan undi dan barung  SPR  memakai pas yang sama sehingga menimbulkan kekeliruan dan sukar untuk dikawal.

No comments:

Post a Comment