Translate

Sunday, July 21, 2013

Meninggal dunia sebelum mencuri



Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang pemuda ditemui mati selepas badannya tersepit pada celah besi tingkap dipercayai ketika cuba memasuki rumah jirannya di Taman Saz, Silibin dekat sini semalam.

Mayat Sherul Aizam Mohd. Damanhuri, 27, dijumpai oleh pemilik rumah tersebut yang baru tiba di rumahnya pada pukul 12.15 tengah malam. Semasa kejadian, rumah teres satu tingkat itu tiada penghuni.
Ketika ditemui, separuh badan si mati daripada kepala ke dada berada di dalam rumah mangsa manakala pinggang ke kaki masih berada di luar dengan hanya berseluar dalam.
Rumah yang cuba dimasuki si mati adalah selang tiga rumah daripada rumah keluarganya, namun pemuda itu tidak menetap di situ kerana menyewa bersama rakan-rakannya di Buntong, lima kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu selepas pemilik rumah berkenaan yang berusia 58 tahun menghubungi polis.
"Semasa polis tiba di lokasi kejadian, pemuda itu sudah tidak sedarkan diri.
"Anggota bomba perlu memotong besi tingkap belakang rumah berkenaan untuk mengeluarkan badan suspek yang tersepit sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)," katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat HRPB di sini.

Menurut Chang Keong berkata, semasa ditemui, si mati yang bekerja membantu menguruskan perniagaan bapanya hanya berseluar dalam manakala baju, seluar dan kasutnya ditemui di dalam sinki bersebelahan tingkap rumah mangsa.

Siasatan awal percaya si mati cuba memecah masuk rumah tersebut melalui celah tingkap selepas menanggalkan cerminnya.

“Setakat ini tiada unsur jenayah dalam kejadian itu. Laporan bedah siasat menunjukkan si mati meninggal dunia kerana sesak nafas akibat tersepit,” kata beliau.

Ekoran kejadian itu juga, bapa si mati, Mohd. Damanhuri Mohd. Fuad, 50, membuat laporan di Balai Polis Jelapang kerana mendakwa anak sulung daripada lima beradik itu kemungkinan dibelasah sehingga menemui ajal.

Mengulas lanjut, Chang Keong memberitahu, pihaknya akan menyiasat dakwaan tersebut termasuk permintaan keluarga si mati untuk melakukan bedah siasat kali kedua.

Sementara itu, suasana di rumah mayat HRPB sedikit kecoh apabila ahli keluarga Sherul Aizam tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat yang dijalankan oleh hospital itu.

Mohd. Damanhuri berkata, dia sekeluarga curiga apabila terdapat banyak kesan lebam terutama pada leher dan dada anaknya disyaki akibat dipukul dan ditendang.

"Saya akui kesalahan anak saya memasuki rumah orang, tetapi (tindakan) memukulnya sehingga mati tidak boleh dibiarkan.

"Saya minta bedah siasat kali kedua dijalankan supaya kami dapat keputusan (punca kematian) yang jelas," katanya sambil ditemani isterinya, Zaitun Hassan, 46.

Lelaki itu memberitahu, Sherul Aizam ada menghubunginya petang kelmarin untuk meminta bantuan kewangan namun tidak dipenuhinya kerana ketika itu dia berada di luar Ipoh.

Sehingga petang semalam, mayat Sherul Aizam tidak dituntut oleh ahli keluarganya.

No comments:

Post a Comment