Translate

Tuesday, July 9, 2013

Hadkan tempoh pinjaman elak rakyat terbeban hutang

IPOH - Peraturan baharu  Bank   Negara  untuk mengehadkan tempoh maksimum pinjaman peribadi dan perumahan masing-masing kepada 10 tahun dan 35 tahun bertujuan memastikan pendapatan boleh guna rakyat mencukupi untuk membiayai sara hidup.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad  Husni  Hanadzlah (gambar) berkata, kajian  Bank   Negara  mendapati, pendapatan boleh guna yang dibawa pulang ke rumah oleh individu yang mempunyai pinjaman peribadi jangka panjang sangat sedikit.

"Kesan daripada mudahnya mendapat pinjaman peribadi dalam jangka masa yang panjang itu menjadi kebimbangan kita.

"Kita juga berharap peraturan ini dapat mengelakkan pinjaman peribadi untuk tujuan tidak produktif seperti belanja kenduri- kendara dan membeli barangan tidak perlu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perpustakaan 1Malaysia Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan III, Gugusan Manjoi di sini semalam.

Ahmad  Husni  berkata, ia juga untuk mengelakkan individu yang mempunyai pendapatan boleh guna sedikit itu terjebak kepada masalah pinjaman dengan ah long.

Menurut beliau, ia kerana peminjam yang mempunyai daya mampu rendah berikutan bebanan pinjaman jangka panjang itu, berkemungkinan terdesak mencari jalan keluar dengan meminjam dengan institusi haram seperti ah long.

"Jadi, kita mahu rakyat Malaysia mempunyai pendapatan boleh digunakan yang tinggi untuk menjaga keluarga mereka.

"Pada masa sama, kualiti sektor perbankan dapat ditingkatkan. Kita percaya peningkatan kualiti perbelanjaan rakyat dan perbankan tersebut dapat menyumbang kepada pembangunan  negara ," katanya.

Ahmad  Husni  berkata, sektor perbankan tidak akan terjejas dengan peraturan tersebut kerana kecairan dana pinjaman itu boleh disalurkan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), pelabur dan sektor korporat.

Gabenor  Bank   Negara , Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pada Jumaat lalu telah mengumumkan peraturan baharu mengehadkan tempoh maksimum pinjaman peribadi sehingga 10 tahun manakala pinjaman perumahan pula tidak melebihi tempoh 35 tahun.

No comments:

Post a Comment