Translate

Wednesday, June 26, 2013

Indeks Kebahagiaan Bajet 2014

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kerajaan akan membangunkan Indeks Kebahagiaan Nasional sebagai penunjuk aras hala tuju dasar kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober depan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pengenalan penunjuk terbaharu itu bagi memastikan struktur ekonomi yang bakal diperkenal kerajaan dapat dinikmati secara seimbang oleh semua anggota masyarakat.

“Kita tidak mahu melihat dasar kerajaan dalam konteks pembangunan ekonomi semata-mata tetapi dapat dikait dengan kesejahteraan rakyat.

“Kita hendak seimbangkan kehidupan rakyat, bekerja bukan sekadar untuk mendapat pendapatan tetapi juga kebahagiaan,” katanya ketika menghadiri majlis kesyukuran dan terima kasih Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun sempena kejayaan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini di Dataran Sunway Tambun di sini semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah  dan ADUN Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin.

Jelas Ahmad Husni, Indeks Kebahagiaan Nasional adalah salah satu daripada 15 topik yang akan disentuh kumpulan fokus persiapan penyediaan Bajet 2014.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, antara aspek bakal dihalusi oleh kumpulan fokus terbabit secara makro dan mikro ialah strategi mewujudkan kebahagiaan isi rumah dan suasana yang sejahtera di kalangan masyarakat.

“Kumpulan fokus membincangkan Indeks Kebahagiaan Nasional ini pada Julai ini dan akan dipengerusikan saya sendiri,” katanya.

Tambahnya, isu lain yang akan disentuh oleh baki 14 kumpulan fokus Bajet 2014 lain ialah pembangunan kawasan bandar, memperkukuh kedudukan fiskal negara, meningkatkan peranan wanita dalam pasaran tenaga kerja, merangsang sumbangan industri kecil dan sederhana (IKS), usahawan tekno dan inovasi serta pemilikan perumahan.

Turut dibincangkan ialah mewujudkan agihan lebih adil terhadap perbezaan pendapatan di kalangan struktur masyarakat yang ketara pada masa ini, menjenamakan sektor perkhidmatan sebagai sektor khusus, meningkatkan pertumbuhan pelaburan dan produktiviti serta memperkukuh rantaian bekalan makanan akan turut diperbincangkan.

No comments:

Post a Comment