Translate

Thursday, June 20, 2013

Geng kongsi gelap bergaduh

IPOH – Beberapa kes bunuh yang melibatkan penggunaan senjata api yang berlaku di Taiping sejak akhir-akhir ini rupa-rupanya berpunca daripada pertelingkahan dua kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah bagi merebut kawasan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan polis mendapati sekurang-kurangnya empat kes bunuh termasuk yang terbaharu pada Isnin lalu yang berlaku di bandar ini berpunca daripada masalah perebutan kawasan oleh dua kumpulan kongsi gelap berkenaan.
“Walaupun setakat ini kes tembak dan pembunuhan itu hanya melibatkan anggota kedua-dua kumpulan terbabit, kejadian jenayah itu telah mengganggu ketenteraman awam kerana dilakukan secara terbuka terutamanya di restoran.
“Oleh itu, satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim ditubuhkan bagi menangani masalah tersebut,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Mohd. Shukri berkata, operasi besar-besaran Polis Perak ke atas kegiatan pengedaran dadah di utara Perak termasuk Taiping sejak 2011 telah menyebabkan ramai anggota salah sebuah kumpulan kongsi gelap terbabit diberkas.


Beliau memberitahu, kekurangan anggota kongsi gelap akibat ditangkap polis itu menyebabkan sebuah kumpulan kongsi gelap lain cuba mengambil kesempatan dengan menguasai pasaran pengedaran dadah di kawasan tersebut.

“Persaingan untuk merebut penguasaan pasaran dadah di utara Perak itu telah menyebabkan anggota kedua-dua kumpulan saling menyerang antara satu sama lain hingga berlaku kematian.

“Walaupun masih tiada tangkapan dibuat setakat ini, semua suspek kes tembak dan bunuh tersebut telah dikenalpasti dan menunggu masa untuk diberkas," kata beliau.

Mohd. Shukri berkata, daripada siasatan didapati dua kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam pegedaran dadah itu berselindung di sebalik operasi pusat pengumpulan besi lusuh.

"Ketua kumpulan kongsi gelap itu pula dipercayai berada di luar Perak dan merancang kumpulannya dari sebuah negeri di di utara tanah air," kata beliau.

Kosmo! 16 April lalu melaporkan seorang pengusaha besi lusuh, A. Muthazagal, 46, mati di tembak ketika sedang bersarapan di sebuah warung di Dataran Pasar, Simpang, Taiping.

K Govintaraju, 36, juga maut setelah ditembak di bahagian leher oleh seorang lelaki yang memakai topi keledar penuh di sebuah restoran di bandar sama pada 5 Jun lalu.

Dalam kejadian Isnin lalu, seorang pengutip barangan lusuh, V. Kali Thasen, 35, pula ditemui mati akibat ditetak oleh sekumpulan lelaki berhampiran sebuah rumah di Taman Simpang Bersatu, Taiping.


No comments:

Post a Comment