Translate

Saturday, June 29, 2013

Ah long ganas diberkas polis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang ah long yang aktif menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang haram di sekitar bandar raya ini diberkas polis dalam satu serbuan di sebuah premis di Bercham di sini kelmarin.
Siasatan mendapati, selain mengenakan kadar faedah melampau, lelaki berusia 34 tahun tersebut sering bertindak ganas dan mengasari pelanggannya yang gagal melunaskan hutang pada tempoh ditetapkan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, tiga bilah parang samurai yang dipercayai digunakan untuk menakut-nakutkan pelanggan turut dirampas.
"Polis turut menjumpai dua bungkusan yang mengandungi tali pengikat diperbuat daripada plastik dipercayai digunakan untuk mengikat tangan mangsanya.
"Selain itu, sebanyak 47 kain pemidang yang dipercayai untuk dipasang di bandar raya ini terutama di Bercham turut dirampas," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Mohd. Shukri berkata, barangan lain yang dirampas ialah 36 dokumen pemberi pinjaman tanpa lesen, tiga telefon bimbit, dua buku catatan mengandungi senarai peminjam wang, sebuah mesin kira-kira dan baucar gaji.
Katanya, berdasarkan aduan mangsa, sindiket itu sering menggunakan ugutan dan kekerasan termasuk mengancam keselamatan keluarga peminjam untuk mendapatkan kembali wang pinjaman.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda di antara RM250,000 dan RM1 juta.

No comments:

Post a Comment