Translate

Saturday, June 29, 2013

Meru Raya dapat balai bomba baharu


BANGUNAN BAHARU. Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya seluas 1.62 hektar yang dibina dengan kos RM11 juta telah memulakan operasinya di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Buat masa ini, balai bomba dan penyelamat tersebut memiliki sebuah jentera dengan 27 anggota.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Yahaya Madis berkata, balai bomba itu memberi perkhidmatan kepada lebih 100,000 penduduk Bandar Meru Raya dan kawasan sekitar.

"Ia turut melibatkan sebahagian besar bandar raya Ipoh, Simpang Pulai dan Sungai Siput, katanya pada majlis penyerahan bagunan balai bomba dan penyelamat itu.

Turut hadir Pengarah Cawangan Projek Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Azman Md. Hashim.

Ah long ganas diberkas polis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang ah long yang aktif menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang haram di sekitar bandar raya ini diberkas polis dalam satu serbuan di sebuah premis di Bercham di sini kelmarin.
Siasatan mendapati, selain mengenakan kadar faedah melampau, lelaki berusia 34 tahun tersebut sering bertindak ganas dan mengasari pelanggannya yang gagal melunaskan hutang pada tempoh ditetapkan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, tiga bilah parang samurai yang dipercayai digunakan untuk menakut-nakutkan pelanggan turut dirampas.
"Polis turut menjumpai dua bungkusan yang mengandungi tali pengikat diperbuat daripada plastik dipercayai digunakan untuk mengikat tangan mangsanya.
"Selain itu, sebanyak 47 kain pemidang yang dipercayai untuk dipasang di bandar raya ini terutama di Bercham turut dirampas," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Mohd. Shukri berkata, barangan lain yang dirampas ialah 36 dokumen pemberi pinjaman tanpa lesen, tiga telefon bimbit, dua buku catatan mengandungi senarai peminjam wang, sebuah mesin kira-kira dan baucar gaji.
Katanya, berdasarkan aduan mangsa, sindiket itu sering menggunakan ugutan dan kekerasan termasuk mengancam keselamatan keluarga peminjam untuk mendapatkan kembali wang pinjaman.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda di antara RM250,000 dan RM1 juta.

Friday, June 28, 2013

Sindiket Fly By Night tidak pernah serik

IPOH – Sindiket 'Fly By Night' yang disangka terkubur berikutan penahanan lima anggotanya pada Januari tahun ini lalu rupa-rupanya masih aktif.
Terbaharu, 14 syarikat pengedar minyak pelincir, tayar dan alat gantian kereta di sekitar bandar raya ini menjadi mangsa mereka bulan lalu.
Kesemua mangsa mengalami kerugian hampir RM130,000 apabila sindiket tersebut membayar transaksi bagi pembelian barangan menggunakan cek palsu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, berikutan itu, satu pasukan khas ditubuhkan dan membawa kepada penangkapan tiga anggota sindiket berusia 34 tahun hingga 60 tahun di Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 17 Jun lalu.
“Turut ditahan ialah ketua baharu sindiket berkenaan yang berusia 40-an,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.
Mohd. Shukri berkata, dalam serbuan tersebut, polis menemui semula sebahagian barangan yang dilarikan seperti sebuah mesin kompresor angin, sebuah alat timbang tayar, peralatan membaiki kenderaan, sebuah mesin membuka dan memasang tayar serta empat gulung filem cermin gelap kenderaan.
Tambahnya, wang tunai berjumlah RM2,073, dua buah telefon bimbit, satu buku cek dan beberapa dokumen pendaftaran syarikat penipuan turut dirampas.
Menurutnya, sindiket 'Fly By Night' masih menggunakan modus operandi sama iaitu mendaftarkan syarikat menggunakan nama proksi, biasanya merupakan seorang penagih dadah yang sanggup menjual identiti mereka.
“Sindiket itu kemudiannya akan aktif membeli pelbagai alat gantian kereta, minyak pelincir dan tayar dalam kuantiti banyak dengan menggunakan cek tertangguh daripada akaun bank yang telah ditutup,” katanya.
Mohd. Shukri berkata, dua lagi anggota kumpulan berkenaan yang dikenali sebagai Lau Wai Hoon, 37 dan Chan Cheng Hean, 32 sedang diburu untuk membantu siasatan.
Kosmo! 5 Januari lalu melaporkan lima anggota sindiket 'Fly By Night' berusia 43 tahun dan 54 tahun termasuk perancang utama kumpulan itu ditahan di sekitar Taiping dekat sini dan Simpang Empat, Pulau Pinang.
Mereka didakwa memperdaya sekurang-kurangnya 10 syarikat pemborong barangan runcit, baja pertanian dan alatan pejabat sehingga menyebabkan kerugian hampir RM155,000.

Thursday, June 27, 2013

Sindiket 'Fly By Night' kembali aktif

IPOH - Sindiket 'Fly By Night' yang pernah dilumpuhkan polis pada Januari lalu kembali mengganas dengan memperdaya syarikat pengedar barangan gantian kereta di Chemor dekat sini melibatkan kerugian RM130,000 pada bulan lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, berikutan itu, sebuah pasukan khas ditubuhkan yang membawa kepada penangkapan tiga anggota sindiket itu berusia 34 tahun hingga 60 tahun di Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 17 Jun lalu.
"Dua lagi saki-baki anggota sindiket berkenaan sedang diburu untuk membantu siasatan kes yang disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya. -KOSMO!

Ah long kutip hutang guna parang ditahan


IPOH - Seorang ah long yang aktif menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang tanpa lesen di sekitar Bercham di sini diberkas polis di sebuah premis di Bercham di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukei Dahlan berkata, lelaki berusia 34 tahun tersebut dipercayai sering bertindak ganas termasuk mengacu parang samurai ke pelanggannya gagal melunaskan hutang.

"Selain tiga bilah parang samurai milik lelaki tersebut, polis turut dua bungkusan mengandungi tali pengikat diperbuat daripada plastik dipercayai untuk mengikat mangsa-mangsanya yang gagal bayar hutang mengikut tempoh masa ditetapkan,"katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontijen Polis (IPK) Perak di sini hari ini. - KOSMO!

183 kakitangan JKR Perak terima anugerah


PENGHARGAAN. Seramai 183 kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, penyampaian anugerah bagi menghargai dedikasi kakitangan jabatan itu disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir.
Beliau berkata, seramai 172 orang atau 93 peratus daripada kakitangan JKR Perak yang menerima pengiktirafan terbabit terdiri daripada kumpulan sokongan.
"Setiap kakitangan JKR Perak perlu sentiasa berusaha memperbaiki mutu perkhidmatan memandangkan agensi tersebut sentiasa terdedah kepada kritikan," katanya.

Wednesday, June 26, 2013

Indeks Kebahagiaan Bajet 2014

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kerajaan akan membangunkan Indeks Kebahagiaan Nasional sebagai penunjuk aras hala tuju dasar kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober depan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pengenalan penunjuk terbaharu itu bagi memastikan struktur ekonomi yang bakal diperkenal kerajaan dapat dinikmati secara seimbang oleh semua anggota masyarakat.

“Kita tidak mahu melihat dasar kerajaan dalam konteks pembangunan ekonomi semata-mata tetapi dapat dikait dengan kesejahteraan rakyat.

“Kita hendak seimbangkan kehidupan rakyat, bekerja bukan sekadar untuk mendapat pendapatan tetapi juga kebahagiaan,” katanya ketika menghadiri majlis kesyukuran dan terima kasih Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun sempena kejayaan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini di Dataran Sunway Tambun di sini semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah  dan ADUN Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin.

Jelas Ahmad Husni, Indeks Kebahagiaan Nasional adalah salah satu daripada 15 topik yang akan disentuh kumpulan fokus persiapan penyediaan Bajet 2014.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, antara aspek bakal dihalusi oleh kumpulan fokus terbabit secara makro dan mikro ialah strategi mewujudkan kebahagiaan isi rumah dan suasana yang sejahtera di kalangan masyarakat.

“Kumpulan fokus membincangkan Indeks Kebahagiaan Nasional ini pada Julai ini dan akan dipengerusikan saya sendiri,” katanya.

Tambahnya, isu lain yang akan disentuh oleh baki 14 kumpulan fokus Bajet 2014 lain ialah pembangunan kawasan bandar, memperkukuh kedudukan fiskal negara, meningkatkan peranan wanita dalam pasaran tenaga kerja, merangsang sumbangan industri kecil dan sederhana (IKS), usahawan tekno dan inovasi serta pemilikan perumahan.

Turut dibincangkan ialah mewujudkan agihan lebih adil terhadap perbezaan pendapatan di kalangan struktur masyarakat yang ketara pada masa ini, menjenamakan sektor perkhidmatan sebagai sektor khusus, meningkatkan pertumbuhan pelaburan dan produktiviti serta memperkukuh rantaian bekalan makanan akan turut diperbincangkan.

Tuesday, June 25, 2013

Pusat pentadbiran baharu KKTPB dirasmikan


PERASMIAN. Pusat Pentadbiran Ladang Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad (KKTPB) dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek di Kampung Batu 3, Lintang, Sungai Siput, Perak baru-baru ini.
Pengerusi KKTPB, Muhammad Akhiar Ahmad Wazir Affandi berkata, pembukaan pusat pentabdiran itu serentak dengan mesyuarat agung kali ke-48 koperasi tersebut.
Beliau berkata, koperasi berkenaan yang ditubuhkan kira-kira 60 tahun lalu itu dianggotai oleh 518 orang dengan syer terkumpul sebanyak RM2.8 juta.
"KKTPB memiliki aset hampir RM18 juta dengan terlibat dalam perniagaan perladangan kelapa sawit, ternakan lebah madu, penyewaan premis lot kedai dan perlombongan bijih besi," katanya.

Monday, June 24, 2013

111 peserta tamat latihan asas konstabel Orang Asli PDRM

TAMAT LATIHAN. Seramai 111 peserta Latihan Asas Konstabel Orang Asli Polis Diraja Malaysia (PDRM) menamatkan latihan di Lapang Sasar Utama, Markas Briged Utara Pasukan Gerak Am (PGA), Ipoh baru-baru ini.
Para peserta terlibat mengikuti latihan asas itu selama empat bulan di markas tersebut.
Sijil tamat latihan itu disampaikan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid.

Saturday, June 22, 2013

3 syarikat jayakan aktiviti kesedaran alam sekitar

TAIPING - Sebanyak tiga syarikat swasta di Perak tampil menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri bagi menjayakan aktiviti-aktiviti kesedaran alam sekitar di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, firma swasta berkenaan ialah TNB Janamanjung Sdn. Bhd. (TNB Janamanjung), Vale Malaysia Minerals Sdn. Bhd. (Vale) dan Hume Cement Sdn. Bhd. (Hume Cement)

“Sektor korporat tersebut akan menyalurkan bantuan kewangan, tenaga kerja dan kepakaran untuk membantu JAS melaksanakan aktiviti kesedaran alam sekitar kepada masyarakat di negeri itu.

“Komitmen menjayakan program Rakan Alam Sekitar anjuran JAS negeri tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka,” katanya selepas merasmikan Hari Bersama Alam anjuran JAS Perak di Dataran Pavillion, Zoo Taiping di sini semalam.

Turut hadir Pengarah JAS negeri, Abdul Razak Abdul Manap, Ketua Pegawai Operasi TNB Janamanjung, Shamsul Ahmad, Pengarah Vale, Marcello Eduard Figueiredo dan Penasihat Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Hume Cement, Ahmad Syukri Mohd. Ghazman.

Pada majlis sama, Muhammad Amin menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara JAS Perak dengan TNB Janamanjung, Vale dan Hume Cement.

JAS negeri diwakili manakala Shamsul, Marcello dan Ahmad Syukri mewakili syarikat masing-masing.

Friday, June 21, 2013

'Black 505' : Polis minta bantuan ATM jika perlu

IPOH - Polis akan meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) jika keadaan memerlukan dalam menangani pelbagai insiden yang mungkin timbul sekiranya pembangkang meneruskan perhimpunan 'Black 505' di ibu negara esok.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata, setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil langkah perlu bagi menghadapi perhimpunan yang dirancang diadakan di Padang Merbok itu.

“Kalau keadaan bertambah buruk, kita akan minta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Saya sudah bercakap dengan Panglima Tentera Darat (Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor) mengenai persediaan ini.

“Bagaimanapun, setakat ini polis masih lagi mampu untuk mengekalkan keamanan negara. Kami sentiasa berhubung dengan tentera dan sekiranya perlu, tentera akan diminta membantu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan upacara Tamat Latihan  Asas Konstabel Orang Asli PDRM di sini semalam.

Mengulas lanjut, Salleh menasihati orang ramai agar menjauhi perhimpunan itu yang jika diadakan adalah tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.

Penganjuran Perhimpunan Black 505 yang bertujuan membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini yang kononnya tercemar dengan penipuan dan manipulasi.

Majlis Bandaraya Ipoh juara Kejohanan Sukan PBT Perak

UNGGUL. Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Perak di Padang Majlis Daerah Tapah, Tapah, Perak baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Perladangan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Saarani Mohammad berkata, PBT itu telah menewaskan 15 kontinjen lain yang turut bertanding dalam kejohanan dwitahunan tersebut.
Beliau berkata, kontinjen Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak berada di tempat kedua dan ketiga selepas masing-masing mengutip sebanyak 25 mata dan 23 mata.
"Sebanyak 10 acara telah dipertandingkan pada kejohanan tersebut iaitu boling, menembak, karom, dart, bola jaring, bola sepak, sepak takraw, ping pong, badminton dan golf," katanya ketika ditemui di Tapah.

Skim gaji Senoi Praaq dikaji

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengkaji untuk mempertingkatkan lagi skim penggajian pasukan Senoi Praaq (polis Orang Asli) yang pada waktu ini lebih rendah berbanding skim perkhidmatan biasa.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata, kenaikan tangga gaji tersebut sejajar dengan kelulusan dan kebolehan anggota baharu polis daripada komuniti tersebut kini yang semakin baik.
"Skim gaji (pasukan Senoi Praaq) pada masa ini kurang sedikit berbanding skim perkhidmatan biasa.
"Pada pengambilan (Konstabel Orang Asli) kali ini, kita mendapati kebanyakan pelatih mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi berbanding pengambilan lalu, sebab itu kita kaji balik skim berkenaan," katanya selepas merasmikan upacara Tamat Latihan Asas Konstabel Orang Asli PDRM Siri 1/2013 di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta di sini semalam.


Pengambilan dalam tempoh 10 tahun selepas kali terakhir pada tahun 2003 itu melibatkan seramai 111 pelatih berketurunan Orang Asli, termasuk tiga daripada mereka berkelulusan Diploma.

Konstabel Mohamad Hafizan Mazlan, 23, dari suku Temuan yang mempunyai kelulusan Diploma Seni Bina Lanskap dinobat sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan.

Salleh berkata, mutu kerja anggota polis berketurunan Orang Asli kini sudah hampir setaraf dengan anggota dari kaum-kaum lain berdasarkan kelayakan, kebolehan dan kematangan mereka.

Berikutan itu, beliau memberitahu, Pasukan Gerakan Am (PGA) Orang Asli yang ditempatkan di Batalion 2, Bidor dan Batalion 18, Pengkalan Hulu telah didedahkan dengan penugasan baru berbanding hanya tertumpu di sempadan negara dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sahaja pada masa lalu.

“Terbaru, 100 anggota dari pasukan Senoi Praaq telah dihantar untuk membantu operasi keselamatan dan ketenteraman di Sabah,” katanya.

Kali terakhir semakan skim perkhidmatan Senoi Praaq dilakukan pada 11 tahun lalu.

Ia dilakukan selepas kerajaan meluluskan Skim Perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli pada 1 Januari 2002.



Thursday, June 20, 2013

Waris remaja beli senjata tiruan boleh dikenakan tindakan

IPOH - Waris pelajar tingkatan tiga yang ditahan kastam kerana membeli pelbagai senjata api tiruan melalui internet boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, penjaga remaja tersebut perlu bertanggungjawab terhadap perbuatan anak mereka yang masih di bawah umur.

“Walaupun senjata api yang dibeli adalah tiruan dan sebagai koleksi (hobi) namun ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Senjata Api 1960.

“Senjata tersebut amat berbahaya dan boleh mengancam nyawa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan, seorang remaja ditahan pada Isnin lalu selepas membeli lima set senjata api tiruan berupa senapang jenis M16, dua laras Air Rifle MP5, pistol jenis Glock dan Colt.45 automatik tiruan di internet

Perkara tersebut terbongkar selepas petugas kastam curiga dengan bungkusan senjata tiruan itu ketika melakukan imbasan di Unit Kastam Pos, Pejabat Pos Besar Ipoh Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri memberitahu, sebanyak 12 kes melibatkan pembelian dan pembuatan senjata tiruan telah dilaporkan di sekitar Perak sejak awal tahun ini.

"Kebanyakan individu yang ditahan kerana memiliki senjata tiruan tersebut memberi alasan menggunakannya untuk menembak haiwan seperti burung dan anjing," katanya.

Jelas beliau, menyimpan senjata api tiruan, buatan sendiri dan permainan yang menyerupai dan berfungsi seperti senjata tulen merupakan salah kesalahan jenayah.

“Individu yang disabitkan bersalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Geng kongsi gelap bergaduh

IPOH – Beberapa kes bunuh yang melibatkan penggunaan senjata api yang berlaku di Taiping sejak akhir-akhir ini rupa-rupanya berpunca daripada pertelingkahan dua kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah bagi merebut kawasan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan polis mendapati sekurang-kurangnya empat kes bunuh termasuk yang terbaharu pada Isnin lalu yang berlaku di bandar ini berpunca daripada masalah perebutan kawasan oleh dua kumpulan kongsi gelap berkenaan.
“Walaupun setakat ini kes tembak dan pembunuhan itu hanya melibatkan anggota kedua-dua kumpulan terbabit, kejadian jenayah itu telah mengganggu ketenteraman awam kerana dilakukan secara terbuka terutamanya di restoran.
“Oleh itu, satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim ditubuhkan bagi menangani masalah tersebut,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Mohd. Shukri berkata, operasi besar-besaran Polis Perak ke atas kegiatan pengedaran dadah di utara Perak termasuk Taiping sejak 2011 telah menyebabkan ramai anggota salah sebuah kumpulan kongsi gelap terbabit diberkas.


Beliau memberitahu, kekurangan anggota kongsi gelap akibat ditangkap polis itu menyebabkan sebuah kumpulan kongsi gelap lain cuba mengambil kesempatan dengan menguasai pasaran pengedaran dadah di kawasan tersebut.

“Persaingan untuk merebut penguasaan pasaran dadah di utara Perak itu telah menyebabkan anggota kedua-dua kumpulan saling menyerang antara satu sama lain hingga berlaku kematian.

“Walaupun masih tiada tangkapan dibuat setakat ini, semua suspek kes tembak dan bunuh tersebut telah dikenalpasti dan menunggu masa untuk diberkas," kata beliau.

Mohd. Shukri berkata, daripada siasatan didapati dua kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam pegedaran dadah itu berselindung di sebalik operasi pusat pengumpulan besi lusuh.

"Ketua kumpulan kongsi gelap itu pula dipercayai berada di luar Perak dan merancang kumpulannya dari sebuah negeri di di utara tanah air," kata beliau.

Kosmo! 16 April lalu melaporkan seorang pengusaha besi lusuh, A. Muthazagal, 46, mati di tembak ketika sedang bersarapan di sebuah warung di Dataran Pasar, Simpang, Taiping.

K Govintaraju, 36, juga maut setelah ditembak di bahagian leher oleh seorang lelaki yang memakai topi keledar penuh di sebuah restoran di bandar sama pada 5 Jun lalu.

Dalam kejadian Isnin lalu, seorang pengutip barangan lusuh, V. Kali Thasen, 35, pula ditemui mati akibat ditetak oleh sekumpulan lelaki berhampiran sebuah rumah di Taman Simpang Bersatu, Taiping.


Wednesday, June 19, 2013

Waris anggota Rela Perak terima pampasan insurans


PRIHATIN. Waris kepada 17 anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) Perak yang telah meninggal dunia sejak setahun lalu menerima pampasan insurans berkelompok di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Pengarah Rela Perak, Mohd. Khairi Ibrahim berkata, penyampaian insurans berkelompok daripada Tabung Amal Jariah Rela itu disampaikan oleh Pengarah Bahagian Persenjataan Rela, Ezani Harun.
Beliau berkata, setiap pewaris anggota Rela terbabit menerima pampasan insurans sebanyak RM14,000.
"Kepada 13 lagi anggota Rela yang mengalami kecederaan akibat kemalangan, mereka menerima pampasan insurans antara RM200 hingga RM1,900," katanya.

Sunday, June 16, 2013

Kaji semula cadangan naik tambang bas

SUNGAI SIPUT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) mengkaji semula cadangan mereka untuk menaikkan harga tambang bas sebanyak 30 peratus demi kepentingan pengguna.
Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, cadangan PMBOA itu mendapat maklum balas negatif daripada orang ramai.

“Saya tengok ramai yang membantah. Saya minta syarikat bas jangan hanya memikirkan keuntungan sahaja dan mengetepikan kebajikan dan keselesaan pengguna.

“Ini sesuatu kenaikan (tambang bas) yang mendadak. Selama ini kerajaan sudah bantu macam-macam dalam bidang pengangkutan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-48 Koperasi Kemajuan Tanah Perak Berhad (KKTPB) di Kampung Batu 3, Lintang dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan PMBOA agar tambang bas ekspres dinaikkan sebanyak 30 peratus yang sedang diteliti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Presiden PMBOA, Datuk Mohammad Ashfar Ali memberitahu majoriti ahli persatuannya juga tidak akan melakukan jualan awal tiket-tiket bas ekspres untuk musim Hari Raya Aidilfitri sehinggalah hasil kajian cadangan tersebut diumumkan SPAD.

Hasan berkata, kenaikan tambang bas tidak boleh dilakukan sesuka hati sebaliknya memerlukan rundingan dan rujukan daripada agensi berwajib memandangkan ia melibatkan kepentingan awam.

Lawatan sulung Menteri Pertahanan ke TLDM Lumut


TURUN PADANG. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak baru-baru ini.
Ia merupakan kunjungan sulung beliau ke markas tersebut selepas dilantik menerajui kementerian itu pada 15 Mei lalu.
Kehadiran beliau disambut oleh Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Selepas menerima tabik hormat di Markas Armada, Hishammuddin dibawa melawat kapal KD Jebat, Simulasi Anjungan dan Pusat Kecemerlangan Sukan Air serta menyaksikan demonstrasi daripada Pasukan Khas Laut.
"Saya akan turun padang untuk meneliti secara dekat bagi memastikan semua sayap Angkatan Tentera Malaysia sentiasa bersedia untuk berdepan dengan cabaran masa kini dan akan datang," katanya.

Wednesday, June 12, 2013

IDR anjur majlis ramah mesra bersama pengamal media

MESRA. Institut Darul Ridzuan (IDR) telah mengadakan majlis ramah mesra dengan pengamal media negeri Perak bertempat di Restoran Simpang Tiga, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim berkata, majlis tersebut bertujuan merapatkan hubungan agensi kerajaan negeri Perak itu dengan wakil media tempatan.
Beliau berkata, IDR sebagai badan pemikir menjalankan peranan di belakang tabir bagi merangka strategi dan pelan tindakan sosioekonomi untuk kerajaan negeri.
"Namun mulai tahun 2013, kami telah merangka beberapa program melibatkan penyertaan rakyat Perak yang turut memerlukan sokongan pengamal media tempatan bagi menjayakannya," katanya.

Tuesday, June 11, 2013

Perasmian Klinik Kesihatan Teluk Intan

KEMUDAHAN. Klinik Kesihatan Teluk Intan yang dibina melibatkan kos RM23.46 juta dirasmikan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Teluk Intan, Perak baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, klinik kesihatan seluas 3.04 hektar itu menyediakan perkhidmatan untuk pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, pergigian serta kesihatan sekolah.
Beliau berkata, Klinik Kesihatan Teluk Intan yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 malam setiap hari kecuali Ahad berkenaan turut dilengkapi kemudahan makmal, farmasi dan radiologi.
"Sejak dibuka sejak hampir dua tahun lalu, kira-kira 300 hingga 350 pesakit menerima perkhidmatan di klinik kesihatan ini pada setiap hari," katanya.

Angkara minta rasuah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH - Tindakan jahat seorang Pembantu Syariah meminta suapan RM1,000 daripada seorang wanita berbalas apabila dia dihukum penjara dua tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Mohd. Shahrin Ahmad, 29, yang bertugas di Mahkamah Syariah Parit Buntar dekat sini diperintahkan menjalani hukuman itu selepas Hakim Julie Leck Abdullah mendapatinya bersalah meminta dan menerima rasuah tersebut bagi menyelesaikan kes anak wanita itu yang hamil di luar nikah lebih dua tahun lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah meminta rasuah berkenaan dengan cara menghubungi pengadu dari pejabat Mahkamah Syariah Parti Buntar pada pukul 3.20 petang 8 Oktober 2010 dan mendakwa boleh menggunakan bidang kuasanya untuk membantu menyelesaikan kes anak perempuannya itu.
Tertuduh yang sudah lapan tahun berkhidmat sebagai Pembantu Syariah kemudian didakwa menerima wang tersebut daripada pengadu di tempat letak kereta mahkamah syariah berkenaan kira-kira satu jam selepas itu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B)/17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun, denda 10 kali suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Hakim Julie Leck kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak bermula semalam.

Beliau turut memerintahkan tambahan hukuman penjara selama tiga bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya Mohd. Shahrin gagal membayar denda tersebut. Beliau turut membenarkan hukuman penjara ditangguh.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd. Asri Othman dan Hatim Musa kemudian dihantar ke Penjara Tapah selepas gagal membayar denda tersebut.

Sunday, June 9, 2013

Kementerian Kewangan tubuh Divisyen Antarabangsa

IPOH - Kementerian Kewangan akan menubuhkan unit  baru iaitu Divisyen Antarabangsa yang berperanan mengkaji isu-isu globalisasi semasa.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Dr. Ahmad Husni  Hanadzlah berkata, ia bertujuan memastikan negara dapat  berperanan pada kedudukan sewajarnya di peringkat an tarabangsa.

“Penubuhan Divisyen Antarabangsa itu merupakan se bahagian daripada pelaksanaan program transformasi Ke menterian Kewangan yang sedang berlangsung sejak awal  tahun ini.

“Penstrukturan tersebut bertujuan mengukuhkan dan  meningkatkan lagi kualiti kementerian untuk lebih mara ke  hadapan seiring dengan perubahan globalisasi,” katanya selepas merasmikan Pusat Ak tiviti Kumpulan Pengembangan Wanita Gugusan  Manjoi di Rancangan Penempatan Tersusun Jelapang  Baru di sini semalam.

Saturday, June 8, 2013

Tiga program disambut secara serentak


KERJASAMA. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke-67, Hari Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-67 dan Hari Telekomunikasi Sedunia peringkat negeri di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Ipoh baru-baru ini.
Zambry berkata, sambutan tiga program serentak melibatkan warga Jabatan Perhutanan, RTM dan Telekom Malaysia Berhad (TM) itu merupakan sebahagian daripada pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan.
"Kerjasama strategik tersebut bertujuan untuk memperkasa kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar, komunikasi dan perhubungan awam.
"Bagi menunjukkan komitmen antara tiga agensi tersebut, sebuah taman mini dinamakan Taman Herba As-Syifa yang ditanam dengan 130 spesies pokok herba telah diwujudkan di pekarangan kompleks bersepadu ini," katanya.


Friday, June 7, 2013

BMLR lancar program baharu ekspedisi alam semula jadi


MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BAGAN SERAI - Taman tema air terkenal Perak, Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) dekat sini memperkenalkan program baru, Ekspedisi 'Katakan Hello kepada Alam Semulajadi' yang disasar kepada murid sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengurus Besar MK Land Hotels & Resorts, Azahar Ahmad berkata, pakej berkenaan bertujuan memupuk semangat cintakan alam sekitar dan menyayangi haiwan di kalangan generasi muda.

“Peserta Ekspedisi Katakan Hello kepada Alam Semulajadi akan di bawa menjelajah Taman Eco yang seluas 1.62 hektar.

“Selain dapat berinteraksi secara langsung dengan haiwan yang terdapat di taman tersebut, mereka juga didedahkan dengan konsep pembelajaran unik oleh renjer bertugas,” katanya selepas majlis pelancaran Ekspedisi 'Katakan Hello kepada Alam Semulajadi' di Taman Eco, BMLR dekat sini semalam.

Turut hadir 30 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selamat, Simpang Empat dekat sini yang menjadi peserta terawal program ekspedisi tersebut.

Azahar berkata, sebagai program tanggungjawab sosial korporat BMLR, setiap peserta tanpa mengira usia hanya dikenakan caj RM6.

Katanya, ia jauh lebih murah berbanding kadar memasuki Taman Eco bagi pengunjung biasa iaitu RM16 bagi dewasa dan RM12 (kanak-kanak).

“Antara pengisian ekspedisi berkenaan ialah sesi memberi makan beruang, rusa, burung merak, ikan koi dan ikan arapaima serta pertunjukan ular.

“Manakala sesi Makmal Alam pula, peserta akan diberi pendedahan dan informasi mengenai kehidupan haiwan dan manfaat tumbuh-tumbuhan daripada renjer bertugas,” katanya.

Azahar berkata, pihaknya akan menjelajah ke kebanyakan sekolah di Semenanjung Malaysia bagi mempromosikan program yang mendapat sokongan Jabatan Pelajaran tersebut sepanjang bulan ini.

Kerajaan Persekutuan bakal bina tiga hospital baharu di Perak

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TELUK INTAN - Kerajaan Persekutuan akan membina tiga buah hospital baharu di negeri ini untuk meningkatkan kemudahan keapda penduduk setempat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, tiga hospital baharu itu ialah Hospital Parit Buntar, Hospital Kampar dan Hospital Seri Iskandar yang akan dibina dalam tempoh terdekat sini dan dijangka siap pada tahun 2018.

Menurutnya, pembinaan hospital itu menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan setanding di peringkat antarabangsa.

"Kos pembinaan Hospital Parit Buntar dianggarkan bernilai RM150 juta, Hospital Kampar sebanyak RM120 juta sementara projek Hospital Seri Iskandar masih peringkat penilaian.

"Setakat ini proses pengambilan tanah ketiga-tiga buah hospital tersebut sudah selesai dan kita akan memulakan kerja-kerja pembinaan tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Klinik Kesihatan Teluk Intan di sini semalam.

Perasmian klinik kesihatan itu disempurnakan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Turut berangkat Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadri juga hadir.

Dalam perkembangan sama, Subramaniam memberitahu sebuah blok bangunan baharu yang menempatkan Unit Penjagaan Ibu Mengandung dan Anak-Anak akan dibina di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dekat sini.

Beliau berkata, penyediaan kemudahan tambahan itu adalah bagi perkhidmatan kesihatan kepada ibu dan kanak-kanak di HRPB.

Dua pekerja kilang pakaian rentung


PARIT BUNTAR - Dua operator pengeluaran warga Myanmar ditemui rentung manakala nasib tiga lagi rakan senegara mereka masih belum diketahui selepas sebuah kilang pakaian musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Labu Bawah, Bagan Tiang dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 4 petang itu, mayat kedua-dua mangsa yang identitinya masih belum dikenalpasti ditemui masing-masing di bahagian belakang dan hadapan kilang berkenaan.

Pengusaha Bomba Kanan 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Utara, Zainuddin Abdul Rahim berkata, mayat mangsa yang ditemui bahagian hadapan kilang dipercayai terperangkap selepas ditimpa serpihan bumbung yang runtuh akibat kebakaran itu.

“Kita percaya mangsa itu gagal keluar dari pintu hadapan bangunan kilang tersebut.

“Seorang lagi mangsa yang turut rentung ditemui dipercayai sedang tidur di bahagian belakang kilang berkenaan,” katanya di sini semalam.

Zainuddin berkata, tiga lagi pekerja kilang tersebut yang dilaporkan berada di lokasi berkenaan sewaktu kejadian masih belum ditemui.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka mungkin terperangkap di dalam timbunan sisa struktur bangunan itu yang musnah dalam kebakaran itu.

"Setakat pukul 8.30 malam, hanya dua mayat ditemui. Siasatan awal mendapati litar pintas sebagai punca kebakaran tersebut,"katanya.

Zainuddin memberitahu, kebakaran itu dipercayai bermula dari bahagian hadapan kilang terbabit sebelum merebak ke bahagian belakang yang dipenuhi dengan timbunan kain.

Difahamkan kilang berkenaan baru beroperasi sejak enam bulan lalu dan menggunakan sepenuhnya khidmat pekerja warga asing yang berasal dari Myanmar.

Thursday, June 6, 2013

Lelaki maut ditembak ketika bersarapan di restoran

TAIPING - Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah ditembak dari jarak dekat di sebuah restoran di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 8.45 pagi itu, K Govintaraju, 36, maut dan rakannya yang hanya dikenali sebagai Morthy, 36, cedera parah selepas mereka ditembak di bahagian leher.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, sewaktu kejadian kedua-dua mangsa sedang menikmati sarapan pagi di restoran tersebut.

“Tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topi keledar bermuka penuh memasuki ke dalam restoran itu dan menuju ke meja mereka.

“Suspek melepaskan tiga das tembakan yang salah satunya mengenai leher kedua-dua mangsa.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan membonceng sebuah motosikal yang menunggu di luar restoran tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Yusuf memberitahu, Govintaraju meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Taiping dekat sini pada pukul 10 pagi.

Sementara itu, beliau berkata, Morthy yang cedera parah dilaporkan semakin stabil dan kini dirawat di hospital sama.

“Motif kejadian masih disiasat namun siasatan awal mendapati ia dipercayai berpunca daripada pertikaian membabitkan sindiket dadah.

Wednesday, June 5, 2013

NGO buat laporan polis terhadap 2 individu



IPOH - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat  dan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat  laporan polis ke atas dua individu yang didakwa menghina  titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'ad zam Shah menerusi akaun laman sosial Facebook dan  Twitter masing-masing di sini semalam.

Antara NGO tersebut ialah Persatuan Kontraktor Melayu  Malaysia Perak, Dewan Perniagaan Melayu Ma laysia Kinta, Gerakan 4B Ipoh Barat, Suara Anak  Muda 1Malaysia dan Majlis Belia Malaysia.

Turut membuat laporan polis ialah Persatuan Peniaga dan  Penjaja Kecil Perak, Persatuan Bas Stesen Ipoh, Majlis  Tindakan Rakyat, Persatuan Belia Islam Perak dan Per satuan Belia 4B Parit.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat,  Syamsul Baharin Putra Ahmad Shabi, pihaknya menggesa  polis melakukan siasatan segera dan mengambil tindakan  tegas terhadap individu terbabit.

“Kami berasa terkejut dan amat marah berhubung ke nyataan celupar mereka yang menghina Yang Di-Dipertuan  Agong,” katanya ketika ditemui selepas  membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini  semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan seorang pengguna  Facebook, Melissa Gooi didakwa menghina titah Tuanku  Abdul Halim sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan  Agong pada Sabtu lalu yang mahu rakyat negara ini akur  dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13.

Sementara itu seorang blogger dikenali sebagai Effi Obe fiend turut didakwa menge luarkan kenyataan yang mempertikai dan menghina Seri Paduka menerusi laman Twitternya.

Tuesday, June 4, 2013

Doktor didakwa cabul wanita 50 tahun


IPOH – Seorang doktor perubatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita berusia 50 tahun di kliniknya dua minggu lalu.
Tertuduh, Dr. T. A. Alagaratham Sivarajah, 63, didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas ahli perniagaan wanita itu sewaktu mangsa berada di Poliklinik Simpang Pulai, Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini antara pukul 11.30 pagi hingga 12 tengah hari pada 22 Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan terhadap mangsa dengan niat mencabul wanita itu.
Semasa kejadian Alagaratham yang berada di dalam bilik rawat bersama mangsa dituduh memeluk pinggang, mencium bibir dan menyelak baju mangsa sehingga menampakkan pakaian dalam.
Sebelum itu, ahli perniagaan itu sedang menguruskan beberapa pekerja asing untuk menjalani pemeriksaan Agensi Pengawasan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) di klinik milik Alagaratham.
Wanita itu menceritakan kepada suaminya mengenai kejadian itu lima hari kemudian sebelum membuat laporan polis.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut.

Alagaratham Sivarajah yang sudah mengusahakan klinik berkenaan sejak 18 tahun lalu tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan.

Difahamkam tertuduh dan mangsa telah berkenalan sejak 20 tahun lalu atas urusan perniagaan.

Tertuduh diwakili peguam bela, K. Nahtan manakala pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Isa.

Majistret Nur Syafiqah Noorinda membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan wang jaminan RM8,000 dan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 4 Julai depan.

Tertuduh membayar wang jaminan.

Pelajar UPSI sertai program Perkhemahan Guru Pertahanan Awam


KOKURIKULUM. Sebanyak 81 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai program Perkhemahan Guru Pertahanan Awam yang diadakan di Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.
Tenaga pengajar Pertahanan Awam, Mohd. Raizol Ramli berkata, perkhemahan tersebut merupakan sebahagian daripada modul kursus Badan Beruniform yang diwajibkan kepada pelajar UPSI.
Beliau berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada bakal pendidik mengenai pengurusan dan aktiviti badan beruniform agar tidak kekok apabila ditempatkan di sekolah masing-masing kelak.
"Sepanjang perkhemahan selama dua hari tersebut, pelajar terbabit menjalani amali ikatan tali, latihan kawad, balutan dan menyelamat," katanya.

Monday, June 3, 2013

Insfrastruktur desa bakal diberi perhatian

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Pembangunan infrastruktur kawasan  luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak menjadi  keutamaan dalam penyediaan Bajet 2014 yang akan di bentangkan Oktober depan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah  berkata, pembinaan kemudahan jalan raya bagi memudahkan jaringan perhubungan merupakan antara fokus  dalam bajet itu.

“Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) telah meng gariskan pelan pembangunan di seluruh negara termasuk  pembinaan kemudahan jalan di kawasan bandar dan luar  bandar.

“Dalam Bajet 2014, pertimbangan akan diberikan bagi  menambah peruntukan infrastruktur luar bandar terutama  di Sabah dan Sarawak,” katanya di Pusat Khidmat Parlimen Tambun di sini semalam.

Ahmad Husni berkata, jumlah peruntukan tersebut akan  ditentukan kemudian berdasarkan siri perbincangan yang  bakal diadakan sepanjang penyediaan bajet itu.

"Tumpuan perlu diberikan kepada kawasan luar bandar terutama dari segi jaringan jalan dan semua ini kita perlu ambil kira.

"Lihat kes feri karam di Sarawak baru-baru ini sungguh menyedihkan apabila negara kita sedang maju, namun ada rakyat yang terpaksa naik feri pergi ke satu tempat selama dua, tiga jam," katanya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof sebelum ini  dipetik sebagai berkata, kementeriannya akan berusaha  untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Pusat bagi pembangunan infrastruktur di Sarawak terutama hubungan pengangkutan darat bagi mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap pengangkutan air.

Sunday, June 2, 2013

Warga emas ditemui mati dibunuh

IPOH - Seorang wanita warga emas ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dan leher di sebuah rumah di Taman Silibin di sini kelmarin.
Mayat A. Sampuranam, 75, ditemui anak perempuannya yang baru pulang dari makan tengah hari pada pukul 4 petang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mayat wanita itu ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang dapur rumah teres itu.

"Mangsa tinggal bersendirian selepas anak, menantu lelaki dan tiga cucunya keluar makan. Tiba di rumah mereka mendapati ada sesuatu tidak kena kerana pintu pagar dan pintu rumah terbuka," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Saturday, June 1, 2013

Bekas Exco, ADUN bebas rasuah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Bekas Exco kerajaan negeri Perak, Mohd. Osman  Jailu, 62, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di  sini semalam daripada tiga pertuduhan rasuah melibatkan  projek pembangunan tanah bernilai RM180 juta di Seri  Iskandar dekat sini lima tahun lalu.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh turut melepas dan  membebaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Bota, Usaili Alias, 61 daripada pertuduhan yang sama.

“Setelah meneliti keterangan pihak pendakwaan dan hujah  pihak pembelaan, mahkamah mendapati pihak pembelaan  telah berjaya mematahkan anggapan undang-undang dan  menimbulkan keraguan terhadap kes.

“Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh dilepas dan di bebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan tersebut,” kata  beliau ketika membacakan penghakiman bertulisnya.

Sejurus keputusan dibacakan, Mohd. Osman, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Modal Insan serta bekas ADUN Changkat Jering menitiskan air  mata kesyukuran sambil dipeluk oleh ahli keluarganya.

“Setelah lima tahun kes berlangsung akhirnya keadilan  dapat ditegakkan hari ini (semalam). Sebagai ahli politik,  saya dapat menerima ujian ini,” kata Mohd. Osman ketika  ditemui.

Pada 23 April 2010, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan  membebaskan kedua-dua tertuduh bersama tiga individu  lain iaitu bekas ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi,  bekas Ahli Majlis Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan,  51, dan Fairul Azrim Ismail, 35, daripada tuduhan rasuah  termasuk rasuah seks.

Namun pada 22 April 2011, Mahkamah Tinggi Ipoh mem benarkan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) terhadap kes tersebut dan meminta Mohd. Osman  dan Usaili mengemukakan pembelaan masing-masing.

Bagaimanapun mahkamah menolak rayuan SPRM ter hadap tiga individu lain dan membebaskan Jamaluddin, Zul  dan Fairul Azrim dibebaskan daripada tuduhan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan berkaitan rasuah di  beberapa tempat berlainan di antara 12 Ogos dan 19 Ogos  2008.

Tempat-tempat tersebut ialah di pejabat Exco kerajaan  negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini dan  Restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana di sini serta di  Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Summit Hotel, Bukit  Mertajam, Pulau Pinang.

Zul dan Fairul Azrim juga didakwa menerima rasuah  seorang perempuan bagi mengadakan hubungan seks, ber kaitan projek sama, pada pukul 8.10 malam, 14 Ogos 2008 di  Sri Sayang Apartment, Pulau Pinang.