Translate

Tuesday, May 14, 2013

Gerakan tidak akan ikut jejak MCA tolak jawatan


IPOH - Parti Gerakan tidak akan mengikut jejak MCA untuk menolak sebarang jawatan dalam kerajaan dan menutup pusat khidmat berikutan prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Timbalan Presidennya, Datuk Chang Ko Youn (gambar) berkata, sebagai parti yang menerima polisi dan dasar Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tiada keperluan untuk Gerakan berbuat demikian.
"Saya rasa ia tidak betul. Hanya kerana kalah teruk, tidak bermakna perlu menolak jawatan.
"Kamu boleh menolak jawatan jika kamu berbeza polisi atau tidak bersetuju dengan polisi kerajaan. Kalau menerima polisi kerajaan, saya tidak nampak sebarang sebab untuk menolak jawatan dan menutup pusat khidmat," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Ko Youn berkata, kredibiliti parti berkenaan akan dipandang rendah sekiranya Gerakan menutup pusat khidmatnya hanya semata-mata kerana gagal memenangi pilihan raya dan menjadi wakil rakyat.
"Gerakan tidak perlu tutup pusat khidmat hanya kerana tidak mendapat sokongan daripada majoriti kaum Cina kerana parti ini untuk semua kaum, bukan hanya untuk orang Cina seperti MCA," katanya.
Tegasnya, parti tersebut sentiasa menyokong dan berpegang teguh terhadap dasar yang dilaksanakan Najib dan polisi terbabit harus dipuji kerana telah berjaya memberikan dimensi baharu kepada negara ini.
Gerakan hanya memenangi satu daripada 11 kerusi Parlimen yang ditandingi dan tiga daripada 31 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi pada PRU-13.

No comments:

Post a Comment