Translate

Sunday, April 28, 2013

Tiga sahabat lemas ditelan kepala air

MOHD. AZLI ADLAN dan HASHIM P. MAMAT
berita@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Dua remaja perempuan dan seorang remaja lelaki yang mandi di kawasan perkelahan Batu Hampar di Kampung Paya Lintah, Padang Rengas dekat sini ketika hujan lebat petang kelmarin mati lemas dihanyutkan arus deras kepala air.

Kejadian berlaku pada pukul 5.20 petang.

Mereka yang maut ialah Muhamad Khairul Safuan Tajudin, 18, Farah Anisah Ahmad Rafi, 17, dan Nor Aida Azhar, 17.

Abang kembar kepada Muhamad Khairul Safuan iaitu Muhamad Khairul Azwan, 18, bagaimanapun terselamat dan mengalami cedera ringan.

Mayat Muhamad Khairul Safuan ditemui sejam kemudian tersangkut di celah pokok buluh kira-kira lima kilometer (km) dari lokasi dia dihanyutkan.

Mayat Farah Anisah pula ditemui pada pukul 10.30 malam kelmarin kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian, manakala mayat Nor Aida ditemui pada pukul 7.30 pagi semalam kira-kira tujuh kilometer dari tempat dia dihanyutkan.

Muhamad Khairul Azwan yang terselamat berkata, mereka pergi ke kawasan itu bersama tujuh rakan lain.

"Hujan agak lebat ketika itu. Ketika kami bersiap-sedia untuk pulang, arus deras tiba-tiba datang dan menghanyutkan adik saya.

"Saya sendiri sempat berpaut pada pokok buluh di tebing sungai. Saya kemudian menyedari dua rakan kami iaitu Farah Anisah dan Nor Aida turut hilang," katanya.

Dalam pada itu, ibu saudara Nor Aida, Noriza Ibrahim, 40, berkata, ahli keluarganya telah cuba menegah niat anak saudaranya itu berkelah di pusat perkelahan tersebut memandangkan keadaan cuaca yang mendung ketika itu.

"Lagi pun, kawasan perkelahan Batu Hampar agak berbahaya.

"Kerana tidak mahu mengecilkan hati kawan-kawan dia (Nor Aida) tetap pergi juga selepas dijemput Farah Anisah pada pukul 4 petang semalam (kelmarin)," katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Kuala Kangsar (HKK) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Mohamad berkata, difahamkan empat remaja berkenaan di kawasan tersebut bersama lima rakan lain yang berasal dari sekitar Kuala Kangsar dan Sungai Siput dekat sini dengan menaiki motosikal.

No comments:

Post a Comment