Translate

Wednesday, April 10, 2013

Janji palsu Pakatan 15 Peratus

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan supaya Pakatan Rakyat menukar nama kepada Pakatan 15 Peratus berikutan kegagalan mereka menunaikan pelbagai janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada 2008.
Beliau berkata, sejak memerintah empat negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan, pakatan pembangkang hanya melaksanakan 15 peratus daripada apa yang ditawarkan kepada rakyat, manakala selebihnya tinggal janji.
Sebaliknya, jelas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), kerajaan BN pula telah menunaikan segala janji yang dibuat, selain membawa banyak perubahan kepada negara dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.
"Pakatan Rakyat buat janji dalam pilihan raya pada 2008, hanya 15 peratus sahaja daripada janji-janji mereka telah ditunaikan.
"Jadi, saya ingin mengesyorkan nama Pakatan Rakyat ditukar kepada Pakatan 15 Peratus," katanya semasa berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama 10,000 ahli pertubuhan bukan kerajaan negeri Perak dan orang ramai di Dewan Tokong Tow Boh Keong di sini semalam.
Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Berikutan rekod buruk pembangkang itu, Najib meminta rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan pelbagai janji baharu yang dibuat mereka untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
"Kalau berterusan memberikan janji kepada rakyat, percuma itu dan ini, percuma tol dan pengajian universiti, kurangkan harga minyak, semua mereka kurangkan dan beri percuma, tiada negara di dunia ini yang mampu dan pernah melakukannya.
"Kalau boleh dibuat, sudah tentu negara-negara lain telah lama melaksanakannya. Jadi, jangan mudah percaya dengan janji-janji kosong kerana mereka tidak boleh menunaikannya," ujar beliau.
Menurut Najib, melalui falsafah kesederhanaan, kerajaan BN melalui amalan perkongsian kuasa yang mewakili pelbagai kaum berjaya memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan harmoni, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, semua pencapaian itu yang memberi nikmat kepada rakyat akan dapat diteruskan jika BN diberikan kepercayaan dengan mandat yang lebih besar menerusi PRU-13 nanti.
Najib turut mengulangi komitmen memastikan kerajaan BN akan membawa masa depan yang lebih baik kepada negara dengan mewujudkan kekayaan-kekayaan baharu kepada negara pada masa akan datang.
"Akan ada lagi yang terbaik. Kami telah memberikan sekian banyak. Dengan mandat kukuh diberikan kepada kerajaan, kami boleh melakukan yang lebih baik lagi pada masa akan datang," ujarnya.

No comments:

Post a Comment