Translate

Wednesday, March 20, 2013

Wang hantaran RM8,000 lesap dicuri ketika pengantin bersanding


IPOH - Kemeriahan sebuah kenduri perkahwinan bertukar suram selepas keluarga pengantin mendakwa kerugian lebih RM15,000 apabila barangan berharga termasuk  wang   hantaran  dicuri di Taman Tasik Permai,  Batu   Gajah  dekat sini kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang iaitu ketika upacara persandingan sedang berlangsung.

Ketua Polis Daerah  Batu   Gajah , Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, kejadian itu disedari pengantin perempuan apabila mendapati  wang   hantaran  RM8,000 yang disimpan di dalam sebuah bilik di rumah dua tingkat milik keluarganya lesap selepas upacara persandingan selesai.

"Mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibunya sebelum pemeriksaan lanjut mendapati bukan sahaja  wang  itu hilang malah, lima telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri milik keluarga tersebut turut lesap.

"Dokumen peribadi seorang tetamu dari Singapura yang diletakkan di dalam sebuah bilik lain di dalam rumah itu juga turut dilarikan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Shaharon Anuar berkata, bilik berkenaan tidak berkunci dan tidak dijaga oleh sesiapa sewaktu kedua-dua mempelai itu sedang bersanding.

Menurut beliau, ketika majlis, seramai 30 tetamu berada di dalam rumah tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment