Translate

Thursday, March 21, 2013

Tiga maut kereta rempuh treler

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SUNGAI SIPUT - Sepasang suami isteri dan jirannya maut selepas kereta jenis Proton Saga Aeroback yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 41.3, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dekat Kampung Setia dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 9 malam itu mengakibatkan Romlan Ros Abdul Bakar, 52, isteri, Haniza Hussin, 46, dan jirannya, Mohd. Ridzuan Mohd. Nor, 55, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, isteri Mohd. Ridzuan, Zaharah Abdullah, 52, pula cedera parah.

"Semua mangsa yang menaiki kereta Proton Iswara dalam perjalanan ke Ipoh dari Felda Bersia, Gerik. Sewaktu melalui lokasi kejadian, kereta yang dipandu Romlan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

"Kenderaan itu kemudian merempuh bahagian hadapan sebuah treler membawa muatan besi pencawang," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Azman berkata, akibat rempuhan itu, kenderaan terbabit remuk teruk dan terperosok ke bawah treler berkenaan hingga menyebabkan ketiga-tiga mangsa mati di tempat kejadian.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa.

Mayat Romlan Ros, Haniza dan Mohd. Ridzuan dihantar ke Hospital Sungai Siput di sini untuk bedah siasat sementara Zaharah yang mengalami kecederaan parah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Pemandu treler berkenaan tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment