Translate

Tuesday, March 19, 2013

Sindiket jual tanah guna geran palsu tumpas

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan urus niaga pembelian tanah yang tidak wujud apabila empat lelaki berusia antara 38 tahun hingga 54 tahun ditahan di sekitar bandar raya ini pada 8 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sindiket tersebut menggunakan geran tanah dan dokumen sokongan palsu.

Katanya, penahanan keempat-empat suspek terbabit berikutan pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan mereka.

“Pengadu mendakwa kerugian RM166,650 apabila membeli tanah seluas 60.75 hektar yang tidak wujud di sebuah hutan simpan di daerah Larut, Matang dan Selama.

“Mangsa membayar wang secara tunai kepada salah seorang suspek secara ansuran dari 7 Disember 2012 hingga 3 Mac lalu sebelum menyedari ditipu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.


Menurut  Mohd .  Shukri , siasatan awal mendapati, keempat-empat suspek yang terdiri daripada pengusaha restoran dan pelayan warung makanan terbabit memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai Pejabat  Tanah  dan Galian (PTG) Perak dan ahli politik berpangkat Datuk.

Menurutnya  sindiket  berkenaan juga menggunakan geran  tanah  palsu, selain menyalah guna akaun bank milik individu orang kelainan upaya (OKU) bagi mengaburi mangsa dan pihak berkuasa.

Katanya, pegawai PTG dan ahli politik bergelar Datuk terbabit sebenarnya tidak wujud dan ahli  sindiket  berkenaan juga berpakaian kemas bagi memperdaya mangsa.

"Mangsa  sindiket  berkenaan biasanya terdiri daripada peniaga industri kecil dan sederhana yang tidak mengetahui prosedur pembelian  tanah  dengan betul.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment