Translate

Friday, March 29, 2013

Warga LHDN Perak bersama Menteri Kewangan II



MESRA. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni  Hanadzlah melakukan lawatan kerja ke Wisma Lembaga  Hasil Dalam Negeri (LHDN) Perak, Ipoh, Perak baru-baru  ini.

Ahmad Husni berkata, lawatan kerja itu bertujuan se bahagian daripada program transformasi kerajaan bagi  merakyatkan perkhidmatan awam.

Beliau berkata, ia juga bertujuan untuk menghargai sum bangan kakitangan LHDN yang telah bekerja keras men capai sasaran kutipan hasil tinggi.

“Berdasarkan prestasi cemerlang kebelakangan ini, saya  yakin LHDN mampu mencapai sasaran kutipan hasil se banyak RM130 bilion pada tahun ini,” katanya.

Tiada calon payung terjun di Perak

IPOH - Barisan Nasional (BN) dijangka tidak akan menampilkan calon payung terjun di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Ujarnya, biarpun bakal menampilkan beberapa calon baharu, mereka adalah individu yang sudah dikenali dan dibiasakan dengan kawasan yang bakal ditanding sejak sekian lama.
"Kita memahami sentimen akar umbi yang mahukan calon berwibawa yang boleh menang. Apapun keputusan akhir terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN," katanya pada program Sarapan bersama Ketua-ketua Biro Media Perak di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini pagi ini. - KOSMO!

Damai Laut bangun vila laut di Lumut


MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Firma hartanah, PJ Developmet Holding Bhd. (PJD), akan membangunkan  projek pembinaan vila laut bernilai RM200 juta di perairan Damai Laut berhampiran Teluk Senangin, Lumut dekat sini.

Timbalan Pengarah Urusan PJD, Andrew Wong berkata, pembangunan vila terapung itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat Swiss Garden International Bhd. yang merupakan divisyen pelancongan PJD, Damai Laut Golf Resort Sdn. Bhd. (Damai Laut).

“Sebanyak 300 vila terapung akan dibina di kawasan persisiran pantai seluas 202.5 hektar yang terletak berhampiran pusat peranginan Resort Swiss-Garden Golf dan Spa Damai Laut yang juga diuruskan Damai Laut.

“Projek pembangunan ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2016, ” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, beliau yang mewakili PJD telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan tersebut dengan kerajaan negeri Perak yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Puhat Mat Nayan.

Andrew berkata, projek pembangunan itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan seperti spa, gimnasium, kolam renang dan ruangan rekreasi air.

Menurut beliau, Sea Villa yang bakal menjanjikan pengalaman penginapan unik kepada pengunjung dan mampu memangkin ekonomi kawasan sekitar.

Thursday, March 28, 2013

Konvensyen rangka hala tuju usahawan Felda



USAHAWAN. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan  (Felda) menganjurkan Konvensyen Usahawan Felda di Taman Rekreasi Air Panas (TRAP) Sungai Klah, Sungkai, Perak baru-baru ini.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata,  konvensyen selama dua hari itu bertujuan untuk merangka  hala tuju jangka panjang program keusahawanan di kalangan peneroka tanah rancangan agensi tersebut yang kini berjumlah lebih 35,000 orang.

Beliau berkata, ia juga menjadi medan kepada usahawan  Fleda untuk berkongsi pengalaman, cabaran dan maklum  balas berhubung perniagaan masing-masing.

“Jaringan perhubungan di antara usahawan Felda dengan  agensi berkepentingan seperti Unit Pe neraju Agenda Bu miputera (Teraju) dan Perbadanan Usa hawan Nasional  Berhad (PUNB) juga dipertingkat menerusi konvensyen ini,”  katanya.

Perkhidmatan bas ekspres beroperasi di Terminal Amanjaya bulan depan


IPOH - Perkhidmatan bas ekspres yang kini beroperasi di Terminal Medan Gopeng akan  dipindahkan sepenuhnya ke Terminal Amanjaya, Bandar Meru Raya di sini pada bulan depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir  berkata, semua 50 pengendali bas ekspres terbabit akan  berpindah ke Terminal Amanjaya secara berperingkat-pe ringkat dalam tempoh 30 hari.

“Setakat ini sebanyak 25 pengendali bas ekspres terbabit  sudah membuka kaunter di Terminal Amanjaya manakala  baki selebihnya akan berpindah dari Terminal Bas Medan  Gopeng dalam tempoh sebulan bermula hari ini (semalam),”  katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis me nandatangani perjanjian bagi perpindahan operasi bas eks pres dari Terminal Bas Medan Gopeng ke Terminal Amanjaya di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad  Puhat Mat Nayan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan  Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Aminuddin Md.  Desa.

Zambry berkata, terminal bas baharu yang diuruskan The Combined Bus Services itu bercirikan moden dan  dilengkapi kemudahan seperti hotel bajet, 400 tempat letak  kenderaan dan kaunter e-Ticketing.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Terminal Bas Medan  Gopeng bakal diubah suai menjadi kompleks makanan dan  kraftangan Perak berikutan penutupannya pada hujung  bulan depan dan bakal dikenali sebagai Kompleks Silveritage.

Solat hajat, tahlil wira negara Lahad Datu


PRIHATIN. Pergerakan Wanita UMNO mengadakan majlis solat hajat dan tahlil bersama keluarga anggota Komando 69 di Kem Pasukan Gerakan Am ( PGA ),  Ulu   Kinta , Ipoh, Perak baru-baru ini.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri  Shahrizat  Abdul Jalil berkata, program tersebut bertujuan memberi sokongan moral kepada keluarga anggota keselamatan yang terlibat dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.

"Kami prihatin dengan kebajikan dan emosi ahli keluarga anggota Komando 69 yang perlu diberi perhatian sewaktu suami mereka sedang bersabung nyawa mempertahankan negara," katanya.

Turut hadir Nurunnisa Abu Bakar, 40, iaitu isteri Koperal Sabarudin Daud, 46, yang terkorban dalam insiden berdarah tersebut dan Pengerusi Persatuan Isteri dan Keluarga Polis cawangan Komando 69, Datin Rosnani A. Latif.

Risda Zon Utara sambut ulang tahun ke-40 di Perak


RAI. Kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah ( RISDA )  Zon   Utara  menyambut ulang tahun ke-40 agensi itu di Pusat Transformasi Luar Bandar, Gopeng, Perak baru-baru ini.

Majlis itu disertai lebih 500 kakitangan agensi berkenaan dari Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang itu turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Ketua Pengarah  RISDA , Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata, sumbangan dan komitmen jitu diberikan warga agensi itu dalam menjayakan misi membantu meningkatkan taraf hidup pekebun kecil di seluruh negara amat dihargai.

"Sempena ulang tahun ke-40 ini, semua 16 surau pejabat  RISDA  di  zon   utara  akan menerima peruntukan sebanyak RM1,000 bagi program mengimarahkan surau di pejabat masing-masing selain sumbangan kerusi roda kepada kakitangan kurang bernasib baik," katanya.


INFO Atur Cara Karnival Mesra Belia 1Malaysia Parlimen Lenggong


Hari ini
--------
7.30 pagi : Senam Cergas 1 Malaysia
8 pagi : Larian Mesra Belia 1Malaysia
9 pagi - 1 tengah hari : Sukaneka Perpaduan
                                   Pertandingan Bola Jaring
                                   Pertandingan tarik tali
                                   Pertandingan Lagu Patriotik
2 petang : Futsal dan Sukaneka Kemas
3 petang - 6 petang : Persembahan Seni Silat dan Taekwando
9 malam hingga 12 tengah malam : Konsert Astro

Esok
-----
8 pagi : Bola Sepak sembilan sebelah
            Kenduri Rakyat
            Pertunjukan Automobil
3 petang : Majlis penutup oleh Ahli Parlimen
                Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah

Wednesday, March 27, 2013

1,000 meriahkan perasmian Karnival Mesra Belia


LENGGONG - Lebih 1,000 pengunjung termasuk golongan  belia  memeriahkan majlis perasmian  Karnival   Mesra   Belia  1Malaysia Parlimen  Lenggong  di Dataran Lawin dekat sini malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskian dan Perladangan Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pengunjung terbabit yang datang dari sekitar daerah Hulu Perak itu dihiburkan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan nasyid terkenal, Nowseeheart.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata, majlis perasmian  karnival  tersebut juga diisi dengan ceramah agama.

" Karnival   Mesra  1Malaysia Parlimen  Lenggong  ini bertujuan untuk menyemarak gaya hidup sihat dan membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan  belia  tempatan.

"Pelbagai acara menarik telah diatur seperti Senam Cergas 1Malaysia, sukaneka, persembahan seni silat dan taekwondo dan pertandingan menyanyi lagu patriotik," katanya ketika merasmikan  karnival  berkenaan di Dataran Lawin dekat sini malam tadi.

Sebanyak 6,000 naskhah Kosmo! dan Kosmo! Ahad akan diedarkan secara percuma kepada pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran  karnival  tersebut.

Karnival itu dianjurkan bersama Pejabat Ahli Parlimen  Lenggong  serta Pejabat  Belia  dan Sukan  Lenggong .

Kerajaan mampu laksana BR1M setiap tahun


IPOH - Kerajaan mempunyai keupayaan daripada segi kewangan dan pengurusan untuk melaksanakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai inisiatif tahunan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad  Husni  Hanadzlah (gambar) berkata, kemampuan itu adalah berdasarkan kutipan hasil yang semakin meningkat setiap tahun dan dasar perbelanjaan berhemah kerajaan.

"Sejak tahun 2010, Lembaga Hasil Dalam Negeri ( LHDN ) secara konsisten berjaya mengutip hasil melebihi RM100 bilion termasuk yang tertinggi RM124.8 bilion tahun lalu.

"Kita juga yakin agensi ini mampu mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan iaitu RM130 bilion tahun ini," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Wisma  LHDN   Perak  di sini semalam.

Ahmad  Husni  berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan mahu menjadikan BR1M inisiatif tahunan ketika membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara pada Selasa lalu.

Menurut Ahmad  Husni , dasar perbelanjaan berhemah menerusi pendekatan nilai untuk wang bagi setiap pelaksanaan dan pengeluaran tender projek telah banyak menjimatkan wang kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, lebihan hasil dan penjimatan wang kerajaan boleh disalurkan semula kepada rakyat yang memerlukan selaras dengan konsep mensejahterakan rakyat.

Dalam perkembangan sama, Ahmad  Husni  memberitahu, sebanyak 6.1 juta penerima mendapat BR1M 2.0 dan daripada jumlah itu, 4.3 juta adalah penerima isi rumah manakala bakinya penerima bujang.

Katanya, kerajaan menyasarkan semua peruntukan BR1M 2.0 dapat diagihkan sepenuhnya pada 1 April ini.

Tahun lalu, sebanyak RM2.6 bilion diperuntukkan untuk BR1M.

Saturday, March 23, 2013

Dua wanita dicari

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BATU GAJAH – Polis mencari dua wanita dalam lingkungan usia 30-an bagi membantu siasatan kes kecurian barangan berharga termasuk wang hantaran RM8,000 yang dilaporkan hilang pada satu majlis kenduri perkahwinan di Taman Permai di sini, 17 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, imej kedua-dua wanita terbabit yang tidak dikenali keluarga pengantin kelihatan pada rakaman video ketika upacara persandingan pengantin berkenaan berlangsung.

“Kebanyakan tetamu yang hadir memeriahkan kenduri perkahwinan tersebut dapat dicam oleh keluarga pengantin, kecuali dua wanita berkenaan.

“Sehubungan itu, mereka diminta tampil ke balai polis terdekat untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Shaharon berkata, orang ramai yang mengenali dan mengetahui identiti dua wanita itu turut diminta membantu menyalurkan maklumat kepada polis.


Katanya, bagi mereka yang ingin menyalurkan maklumat tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Razalee Mohd. Yatim di talian 05-3629222 atau hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Kosmo! 19 Mac lalu melaporkan kemeriahan sebuah kenduri perkahwinan bertukar suram selepas keluarga pengantin mendakwa kerugian lebih RM15,000 apabila barangan berharga termasuk wang hantaran RM8,000 dicuri.

Semasa kejadian yang dipercayai berlaku antara pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang, upacara persandingan sedang berlangsung dan dianggarkan seramai 30 tetamu berada di dalam rumah tersebut.

Friday, March 22, 2013

Karnival jualan di RTC Gopeng bermula Sabtu ini hingga 31 Mac


GOPENG - Karnival Florikultur yang membabitkan jualan pelbagai hasil produk seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan herba dari Cameron Highlands, Pahang akan dianjurkan
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bermula Sabtu ini hingga 31 Mac ini.

Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Korporat FAMA, Noor Azian Mustafa berkata, karnival yang berlangsung sepanjang musim cuti penggal persekolahan itu berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 10 malam.

“Kita dapati ramai pengunjung akan mengambil kesempatan daripada musim cuti sekolah kali ini  untuk berkunjung ke Cameron Highlands bagi mendapatkan sayur-sayuran segar.

“Namun bukan semua orang dapat ke pusat peranginan tersebut. Sehubungan itu, FAMA mengambil  inisiatif untuk membawa konsep sama ke RTC Gopeng bagi membolehkan penduduk setempat memperolehi produk pertanian secara terus dari situ dengan lebih mudah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Noor Azian menjelaskan, selain pasar lambak di kawasan Agromall, 60 gerai pameran turut disediakan di kawasan letak kereta berhampiran Hentian Sebelah RTC Gopeng sepanjang karnival tersebut.

Beliau berkata, pelbagai acara sampingan menarik seperti pertandingan gubahan bunga, demonstrasi masakan, ceramah agama dan klinik futsal akan diadakan sebagai tarikan kepada pengunjung.

“Selain masyarakat setempat, kita harap karnival ini turut menarik pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan untuk mengunjungi lokasi ini menerusi Hentian RTC Gopeng,” katanya.

1,183 calon di Perak peroleh semua A

TAPAH - Seramai 1,183 calon Perak memperolehi semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang diumumkan di Sekolah Menengah Sains Tapah di sini hari ini.
Pengarah Pelajaran negeri, Perak, Muhamat Roli Hassan berkata, Low Yan Qing dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Idris, Pantai Remis dekat sini muncul sebagai pelajar terbaik negeri setelah memperolehi 11A .
Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kuala Kangsar pula diumumkan sekolah terbaik SPM 2012 Perak. - KOSMO!

Thursday, March 21, 2013

Tiga maut kereta rempuh treler

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SUNGAI SIPUT - Sepasang suami isteri dan jirannya maut selepas kereta jenis Proton Saga Aeroback yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 41.3, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dekat Kampung Setia dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 9 malam itu mengakibatkan Romlan Ros Abdul Bakar, 52, isteri, Haniza Hussin, 46, dan jirannya, Mohd. Ridzuan Mohd. Nor, 55, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, isteri Mohd. Ridzuan, Zaharah Abdullah, 52, pula cedera parah.

"Semua mangsa yang menaiki kereta Proton Iswara dalam perjalanan ke Ipoh dari Felda Bersia, Gerik. Sewaktu melalui lokasi kejadian, kereta yang dipandu Romlan tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

"Kenderaan itu kemudian merempuh bahagian hadapan sebuah treler membawa muatan besi pencawang," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Azman berkata, akibat rempuhan itu, kenderaan terbabit remuk teruk dan terperosok ke bawah treler berkenaan hingga menyebabkan ketiga-tiga mangsa mati di tempat kejadian.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa.

Mayat Romlan Ros, Haniza dan Mohd. Ridzuan dihantar ke Hospital Sungai Siput di sini untuk bedah siasat sementara Zaharah yang mengalami kecederaan parah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Pemandu treler berkenaan tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wednesday, March 20, 2013

KDNKK lancar laman Facebook Kids@Kepenggunaan


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING  - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan  Kepenggunaan  (KPDNKK) semalam melancarkan laman Facebook  Kids @ Kepenggunaan  yang merupakan medium menyalurkan ilmu  kepenggunaan  kepada golongan muda.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, pembukaan akaun laman jaringan sosial itu adalah inisiatif KPDNKK untuk mendekati murid dan pelajar sekolah.

"Kita tahu pada hari ini anak-anak kita lebih suka berinteraksi dan mendapatkan maklumat dalam laman jaringan sosial seperti facebook.

"Sehubungan itu, menerusi http://facebook.com/ kids . kepenggunaan  kita salurkan maklumat tentang hak dan tanggungjawab pengguna untuk memberi kesedaran kepada golongan tersebut," katanya selepas merasmikan program  Kids @ Kepenggunaan  : Gerak Gempur Cetak Rompak di Sekolah Kebangsaan (SK) King Edward VII (1) di sini.

Seramai 1,000 murid dari 10 buah sekolah rendah terlibat dalam siri jelajah program tersebut selepas Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.

Lian Hoe berkata,  Kids @ Kepenggunaan  yang merupakan program kerjasama KPDNKK dan Kementerian Pelajaran di bawah Strategi Lautan Biru akan memberi pendedahan asas  kepenggunaan  menerusi pendidikan dan permainan interaktif kepada masyarakat sejak di bangku sekolah lagi.

Selain itu, menurut beliau, golongan terbabit juga dididik agar sentiasa menghormati harta intelek dengan tidak membeli cakera padat video dan cakera video digital cetak rompak.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, KPDNKK akan menyediakan insentif RM500 setahun sebagai galakan kepada pengurusan sekolah rendah untuk membuka Kelab Pengguna Sekolah (KPS).

"Setakat ini, semua 2,272 sekolah menengah di seluruh negara sudah membuka kelab itu. KPDNKK merancang untuk memperluaskan keanggotaan kelab kepada sekolah rendah pula.

"Sebagai galakan, bantuan kewangan yang diterima KPS sekolah menengah akan turut diberikan kepada sekolah rendah yang mengambil inisiatif membuka kelab terbabit," katanya.

Kakitangan Felcra maut dibelasah 4 penyamun

Oleh  MOHD . AZLI ADLAN dan AINSAFRE BIDIN
berita@kosmo.com.my

KAMPUNG GAJAH - Sekumpulan penyamun bertindak kejam apabila membelasah seorang kakitangan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) sehingga mati dalam kejadian pecah rumah di Kampung Sungai Badak, Jejawi dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa,  Mohd .  Suhaili   Abdul   Salim , 27, dipukul dengan paip besi dan seterika di hadapan isteri, Masitah Zamberi, 26, dan anak perempuannya, Nor Farah Izzaty, 7.
Menceritakan kejadian tersebut, Masitah berkata, mereka sekeluarga yang sedang tidur terjaga apabila kumpulan penjenayah itu menendang pintu bilik mereka.

"Suami saya cuba melawan menyebabkan empat lelaki terbabit bertindak memukulnya dengan paip besi menyebabkan dia rebah ke lantai.

"Mereka mengikat kami sekeluarga dan menggeledah rumah namun gagal menemui barangan kemas.

"Mereka kemudian memukul suami saya dengan belakang parang serta seterika dan mengugut saya agar memberitahu tempat barangan kemas," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ujarnya, ekoran cemas melihat keadaan suaminya, dia terpaksa memberitahu mereka lokasi barangan tersebut yang disimpan di dalam sebuah almari.

Katanya, kesemua suspek yang dipercayai warga Indonesia itu kemudian melarikan dua telefon bimbit, sejumlah barangan kemas dan sebuah kereta Proton Waja milik suaminya.

"Saya berjaya melepaskan diri dan mendapati suami sudah tidak bergerak dan segera meminta bantuan jiran," katanya.

Masitah berkata, suaminya telah disahkan meninggal dunia dan jenazahnya di bawa ke Hospital Teluk Intan dekat sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk  Mohd . Shukri Dahlan berkata, pihaknya sedang memburu suspek dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Wang hantaran RM8,000 lesap dicuri ketika pengantin bersanding


IPOH - Kemeriahan sebuah kenduri perkahwinan bertukar suram selepas keluarga pengantin mendakwa kerugian lebih RM15,000 apabila barangan berharga termasuk  wang   hantaran  dicuri di Taman Tasik Permai,  Batu   Gajah  dekat sini kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang iaitu ketika upacara persandingan sedang berlangsung.

Ketua Polis Daerah  Batu   Gajah , Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, kejadian itu disedari pengantin perempuan apabila mendapati  wang   hantaran  RM8,000 yang disimpan di dalam sebuah bilik di rumah dua tingkat milik keluarganya lesap selepas upacara persandingan selesai.

"Mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibunya sebelum pemeriksaan lanjut mendapati bukan sahaja  wang  itu hilang malah, lima telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri milik keluarga tersebut turut lesap.

"Dokumen peribadi seorang tetamu dari Singapura yang diletakkan di dalam sebuah bilik lain di dalam rumah itu juga turut dilarikan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Shaharon Anuar berkata, bilik berkenaan tidak berkunci dan tidak dijaga oleh sesiapa sewaktu kedua-dua mempelai itu sedang bersanding.

Menurut beliau, ketika majlis, seramai 30 tetamu berada di dalam rumah tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Tuesday, March 19, 2013

Sindiket jual tanah guna geran palsu tumpas

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan urus niaga pembelian tanah yang tidak wujud apabila empat lelaki berusia antara 38 tahun hingga 54 tahun ditahan di sekitar bandar raya ini pada 8 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sindiket tersebut menggunakan geran tanah dan dokumen sokongan palsu.

Katanya, penahanan keempat-empat suspek terbabit berikutan pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan mereka.

“Pengadu mendakwa kerugian RM166,650 apabila membeli tanah seluas 60.75 hektar yang tidak wujud di sebuah hutan simpan di daerah Larut, Matang dan Selama.

“Mangsa membayar wang secara tunai kepada salah seorang suspek secara ansuran dari 7 Disember 2012 hingga 3 Mac lalu sebelum menyedari ditipu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.


Menurut  Mohd .  Shukri , siasatan awal mendapati, keempat-empat suspek yang terdiri daripada pengusaha restoran dan pelayan warung makanan terbabit memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai Pejabat  Tanah  dan Galian (PTG) Perak dan ahli politik berpangkat Datuk.

Menurutnya  sindiket  berkenaan juga menggunakan geran  tanah  palsu, selain menyalah guna akaun bank milik individu orang kelainan upaya (OKU) bagi mengaburi mangsa dan pihak berkuasa.

Katanya, pegawai PTG dan ahli politik bergelar Datuk terbabit sebenarnya tidak wujud dan ahli  sindiket  berkenaan juga berpakaian kemas bagi memperdaya mangsa.

"Mangsa  sindiket  berkenaan biasanya terdiri daripada peniaga industri kecil dan sederhana yang tidak mengetahui prosedur pembelian  tanah  dengan betul.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Curi motosikal beli dadah

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Polis memberkas 23 individu kerana disyaki terlibat dalam 100 kes mencuri motosikal di sekitar bandar raya ini sejak November lalu.

Suspek-suspek berusia antara 17 hingga 38 tahun tersebut diberkas secara berperingkat selama enam hari bermula 8 Mac lalu. Mereka merupakan ahli kumpulan Geng Hairo, Geng Kema Pengkalan dan Geng Adik-Beradik Bukit Merah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kesemua suspek merupakan penagih dadah. Motosikal curi itu pula akan dijual pada harga antara RM200 hingga RM300 kepada pengedar dadah.

Katanya, pembongkaran aktiviti ketiga-tiga kumpulan itu bermula apabila polis menahan 11 ahli Geng Hairo pada 8 Mac lalu dalam Ops Lejang.

"Dua daripada mereka diberkas pada pukul 6 petang di depan sebuah bank di Jalan Sultan Yusof di sini manakala bakinya ditahan di sekitar Tanjung Rambutan, Lahat dan Menglembu beberapa jam kemudian.

"Selain tangkapan, polis turut merampas tiga kekunci L, lima buah motosikal dan sejumlah komponen motosikal yang telah dileraikan. Ketua kumpulan mereka bergelar Hairo, 30, dan mempunyai lima rekod jenayah," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, 10 ahli Geng Kema Pengkalan pula diberkas di sekitar Pasir Puteh, Simpang Pulai dan Lahat keesokan harinya.

Menurut Mohd. Shukri, dua beradik bergelar Geng Adik-Beradik Bukit Merah pula diberkas pada pukul 7.45 malam pada 13 Mac lalu di Menglembu dan Bukit Merah dekat sini.

Difahamkan, ketiga-tiga sindiket tidak berkaitan antara satu sama lain.

"Kita turut menemui enam rangka dan lima enjin motosikal yang dibuang di dalam lombong di Taman Pinji Mewah, Simpang Pulai dan Sungai Kinta," katanya.



Lelaki tetak pengarah hospital ditahan

IPOH - Seorang kakitangan Hospital Taiping yang menyerang dan menetak pengarah hospital itu, Dr. Mohd. Yassim Abdul Rah man sehingga parah kelmarin akhirnya menyerah diri ke pada pihak berkuasa semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata,  suspek yang bertugas di Jabatan Pengimejan dan Diagostik  hospital terbabit telah menyerah diri di Jalan Maharajalela,  Taiping pada pukul 11.30 pagi.

“Lelaki berusia 53 tahun itu telah menghubungi polis dan  menyerah diri di tepi jalan Jalan Maharajalela kira-kira lima  kilometer dari Hospital Taiping.

“Dia kini ditahan reman untuk  membantu siasatan berhubung kes berkenaan,” katanya  kepada pemberita di sini semalam.

Mohd. Shukri berkata, setakat ini motif serangan di percayai disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana diarahkan oleh  mangsa untuk bertukar ke unit lain.

Kosmo! semalam melaporkan Mohd. Yassim cedera parah  ditetak dengan parang oleh kakitangannya sendiri gara-gara  masalah di tempat kerja.

Mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa ba hagian badan, kepala dan tangan kini ditempatkan di Hospital Selayang, Selangor dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Monday, March 18, 2013

Misi tarik 50,000 orang tercapai

Fiesta Taiping 2013 tutup tirai dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING  -  Fiesta   Taiping  2013 di Dataran Kedamaian, Taman Tasik  Taiping  di sini berjaya menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran yang berakhir semalam.

Kejayaan itu dapat disaksikan dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum dan pelbagai lapisan yang tidak putus-putus membanjiri lokasi  fiesta  seawal pukul 8 pagi lagi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, beliau gembira dan bersyukur matlamat  Fiesta   Taiping  2013 untuk menyalurkan maklumat mengenai agensi kementeriannya kepada penduduk setempat sambil berhibur tercapai.

"Sasaran kita untuk mengetengahkan informasi terkini kepenggunaan disambut baik penduduk di bandar ini.

"Ini terbukti sepanjang tiga hari ini, mereka tidak putus-putus membanjiri Dataran Kedamaian yang menjadi lokasi  fiesta  dari pagi hingga lewat malam bagi memeriahkan acara yang dianjurkan," katanya selepas merasmikan penutup  Fiesta   Taiping  2013 di sini semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran  Taiping  (MPT), Shahrom Abd. Malik.

Pada majlis itu, Lian Hoe menghulurkan bantuan peribadi kepada golongan tidak bernasib baik di sekitar  Taiping  tanda keprihatinannya.

Beliau berkata,  Fiesta   Taiping  merupakan serampang dua mata bagi membantu merancakkan sektor ekonomi dan pelancongan di bandar itu.

"Berdasarkan maklum balas, pengunjung  Fiesta   Taiping  bukan sahaja penduduk bandar ini malah dari sekitar utara Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

"Sepanjang penganjuran  Fiesta   Taiping  didapati kadar penginapan di hotel-hotel di bandar ini telah melonjak tinggi dan kebanyakan restoran dipenuhi pelanggan," katanya.

Sehubungan itu, Lian Hoe bercadang untuk menjadikan  fiesta  anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan kerjasama MPT itu sebagai acara tahunan.

Sebanyak 5,000 naskhah Kosmo! percuma diedarkan kepada pengunjung sepanjang tiga hari  fiesta  itu.

Wednesday, March 6, 2013

Pengarah Hospital Taiping parah ditetak staf sendiri

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING – Gara-gara perbalahan mengenai masalah di tempat kerja, Pengarah Hospital Taiping, Dr. Mohd. Yassim Abdul Rahman cedera parah ditetak dengan parang oleh kakitangannya sendiri di ruang legar hospital itu di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11.20 pagi itu, Mohd. Yassim, 50-an, mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan, kepala dan tangan akibat ditetak oleh kakitangan Jabatan Pengimejan dan Diagnostik terbabit.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, sebelum kejadian, mangsa telah mengarahkan suspek yang berusia 53 tahun berpindah ke unit lain.

“Pada pagi tadi (semalam), mangsa telah menemui kakitangan tersebut dan meminta dia mengosongkan pejabatnya dengan segera.

“Suspek yang tidak berpuas hati telah meninggalkan pejabatnya namun kembali semula dengan sebilah parang lalu menetak mangsa yang sedang berjalan di ruang legar hospital,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Yusof memberitahu, Mohd. Yassim kemudian diselamatkan oleh beberapa kakitangan hospital manakala suspek bertindak melarikan diri.

Beliau berkata, mangsa yang turut patah tulang lengan telah dipindahkan ke Hospital Selayang, Selangor untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Suspek dipercayai berada di sekitar bandar Taiping dan kita meminta agar dia menyerah diri di balai polis berdekatan," ujarnya.

Saturday, March 2, 2013

Ibu rindu pelukan Inspektor Zulkifli, isteri pengsan dengar berita kematian

BESUT - Khadijah Ismail akan merindui pelukan dan kemanjaan anaknya, Inspektor Zulkifli Mamat, 30, yang sering tidur diribanya setiap kali pulang ke kampung selepas pegawai polis itu terbunuh di Lahad Datu, Sabah semalam.

Khadijah, 64, berkata, anak ketiga daripada enam beradik itu adalah seorang penyayang dan sikapnya tidak pernah berubah walaupun sudah beristeri dan bakal mempunyai tiga orang anak.

Isteri Zulkifli ialah Nor Aziah Nor, 28.

"Setiap kali balik ke kampung, perkara pertama arwah buat ialah peluk saya, Perangai arwah tidak berubah dari sebelum kahwin hingga dia sudah memiliki anak," kata warga emas itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Ikan dekat sini semalam.

Kata wanita itu, Zulkifli, 29, yang dipanggil Ngah dalam kalangan ahli keluarga berlepas ke Sabah pada Jumaat lalu dan sepanjang berada di Sabah dia ada menghubunginya dan memaklumkan akan pulang segera.

"Saya tidak sangka, genap seminggu berkhidmat di Sabah hanya jasad arwah yang pulang," katanya sambil memberitahu kali terakhir dia bertemu anaknya adalah ketika Zulkifli pulang ke kampung pada 21 Januari lalu bagi menziarahi neneknya yang meninggal dunia.

Bagaimanapun, Khadijah memberitahu, dia reda dengan pemergian arwah yang sudah tujuh tahun berkhidmat dalam komando polis di Ulu Kinta, Perak.

Jenazah Zulkifli akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Bayor pukul 11 pagi hari ini.

Sementara itu, di Ipoh, Nor Aziah pengsan selepas memaklumkan berita sedih itu kepada keluarganya di Bandar Baru Putra, Bercham di sini.

Nor Aziah yang hamil dua bulan merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Tanjung Rambutan di sini.