Translate

Wednesday, February 27, 2013

Tujuh Perpustakaan 1Malaysia dibuka di Chemor

 KEMUDAHAN. Sebanyak tujuh buah Perpustakaan 1Malaysia telah dibuka untuk kegunaan penduduk setempat di sekitar Chemor, Ipoh baru-baru ini.

Ia melibatkan kawasan Seri Desa Tanah Hitam, Taman Klebang Jaya, Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Batu 10 Chemor, Kampung Ulu Kuang, RPT Batu 10 Ulu Chepor, Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2 dan Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 3.

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Husni Hanadzlah berkata, setakat ini, 23 Perpustakaan 1Malaysia telah diwujudkan di kawasan Parlimen itu.

Sokong kerajaan BN pada PRU-13

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH - Penjawat awam termasuk pesara kerajaan perlu menghargai kerajaan sedia ada yang telah melakukan pelbagai penambahbaikan dan transformasi dalam sektor itu dengan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Osman Omar berkata, ia dibuktikan apabila golongan tersebut telah menerima sebanyak 18 manfaat menerusi penambahbaikan terbabit dalam tempoh lima tahun ini.

"Sebagai pemimpin kesatuan, saya nasihat ahli-ahli (CUEPACS) sebagai anggota perkhidmatan awam agar buat keputusan dengan kebijaksanaan.

"Apa hendak lagi? Sudah bagus sekarang. Skim pencen pun naik sebanyak dua peratus setahun," katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kad Skuad Pengguna kepada ahli-ahli CUEPACS Perak di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Mohd. Helmi Mohd. Noor.

Osman berkata, transformasi dalam sektor perkhidmatan awam bakal berterusan dengan lebih banyak lagi manfaat lain dijangka diumumkan kerajaan diterajui BN dalam masa terdekat.

Beliau berkata, segala manfaat yang telah dan bakal diperoleh tidak pasti akan berkekalan serta dilaksanakan jika pucuk pimpinan kerajaan sekarang bertukar tangan.

"Fikirkan apa manfaat yang kita telah dapat seperti kenaikan gaji, pangkat, gaji minimum dan sebagainya.

"Penjawat awam di Malaysia paling beruntung di dunia. Tiada negara lain yang membenarkan wang pencen dibayar dan dipindahkan kepada pasangan setelah pesara meninggal dunia," katanya.

Tuesday, February 26, 2013

Royal Belum World Drums Festival jadi acara nasional tahun depan


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kejayaan penganjuran  Royal   Belum   World   Drums  Festival 2013 menarik perhatian Kementerian Pelancongan untuk mengangkat acara anjuran kerajaan negeri Perak itu sebagai acara nasional tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Musa Dun berkata, acara persembahan dram bertaraf antarabangsa tersebut bakal disenaraikan di dalam Kalendar Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Kejayaan penganjuran dua edisi  Royal   Belum   World   Drums  Festival sejak 2012 berjaya menarik minat banyak pihak.

"Edisi tahun ini berjaya menarik lebih ramai pengunjung berbanding dengan penganjuran kali pertama pada tahun lalu," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Musa menganggarkan lebih 20,000 termasuk pelancong asing menyaksikan  Royal   Belum   World   Drums  Festival 2013 sepanjang lima hari acara itu berlangsung.

Malam Gala  Royal   Belum   World   Drums  Festival 2013 yang diadakan secara gilang-gemilang di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini kelmarin telah berjaya menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Festival dianjurkan oleh kerajaan negeri Perak melalui Tourism Perak dan diuruskan oleh Kilatan Unggul EZ Events Sdn. Bhd.

Mesyuarat agung Mubarak cawangan Perak kali ke-11

 BERSATU. Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) cawangan Perak mengadakan mesyuarat agung tahunan ke-11 di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Ipoh baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Saharuddin Abdul Jabar berkata, mesyuarat dihadiri kira-kira 80 ahli terdiri daripada bekas wakil rakyat Perak dan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Turut hadir, Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Katanya, Mubarak berazam membantu Barisan Nasional mempertahankan mandat kerajaan negeri Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Monday, February 25, 2013

400 baju-T ekslusif Kosmo! jadi rebutan

IPOH - Bagai pisang goreng panas.

Sebanyak 400 helai baju-T eksklusif Kosmo! diagih-agih kepada pengunjung bertuah dalam tempoh 24 minit sahaja pada Malam Gala Royal Belum World Drums Festival di sini malam tadi.

Hujan renyai tidak menjadi penghalang untuk pembaca setia akhbar ini beratur panjang sejak dari pukul 6.30 petang lagi.

Pengunjung hanya dikehendaki membawa tiga keratan kepala akhbar Kosmo! bagi menukarkannya dengan baju-T istimewa berkenaan di kaunter urus setia yang dibuka seawal pukul 8 malam di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini.

Pengurus Acara Kilatan Unggul EZ Events Sdn. Bhd., Ruzaini Abdul Razak berkata, pemberian b baju-T dengan kerjasama Kosmo! tersebut bagi menghargai pengunjung khususnya pembaca akhbar berkenaan yang sudi memeriahkan acara tersebut.

"Kita memang sudah menjangkakan sambutan hangat orang ramai terhadap pemberian baju-T eksklusif Kosmo! tersebut berdasarkan penganjuran kali pertama acara ini pada  tahun lalu.

"Saya berharap dapat bekerjasama lagi dengan Kosmo! untuk penganjurkan Royal Belum World Drums Festival pada tahun hadapan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sebanyak 11 kumpulan dram dari beberapa negara seperti Australia, Azerbaijan, Mesir, Maldives, India, Indonesia. Vietnam dan Thailand menyertai festival anjuran kerajaan negeri Perak melalui Tourism Perak dan diuruskan oleh Kilatan Unggul EZ Events.

Aksi dram pukau penonton


IPOH – Royal Belum World Drums Festival 2013 yang berlangsung di Perak sejak lima hari lalu menutup tirainya malam tadi dengan penuh gilang-gemilang di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini.

Persembahan kesemua 11 pasukan dari 10 negara pada Malam Gala tersebut berjaya memukau lebih 10,000 pengunjung.

Biarpun bandar raya Ipoh dilanda hujan renyai, mereka yang membanjiri lokasi festival sejak pukul 8 malam nyata terhibur dengan aksi dan kemahiran kumpulan dram tempatan dan antarabangsa.

Persembahan dimulakan kumpulan Rhythm of Malaysia yang menjuarai pertandingan Royal Belum World Drums Festival 2013 peringkat kebangsaan.

Anak-anak muda yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak mensia-siakan penghormatan itu dengan memberi persembahan bertenaga.

Suasana semakin gamat apabila kumpulan Harubee dari Maldives muncul menampilkan persembahan gendang dan tarian ala aksi filem Tamil.

Keceriaan jelas tergambar ketika penonton bersorak dan bertepuk tangan mengiringi persembahan dua lagi wakil negara iaitu Aswara Percussion Ensemble (APE) dan Perkusi Gatra.

Persembahan kumpulan antarabangsa lain seperti Natiq Rhythm (Azerbaijan), Tataloe Percussion (Indonesia), Wicked Aura (Singapura), Wild Marmalade (Australia) dan Egyptian Nile Folkoric Musical Troupe (Mesir) juga tidak kurang hebatnya.

Kumpulan dram dari Mesir memukau penonton dengan tarian seorang penari lelaki yang menggunakan teknik putaran kain yang mengasyikkan.

Persembahan yang bermula pada pukul 8.45 malam diserikan dengan kehadiran Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim yang berkenan merasmikan Malam Gala Royal Belum World Drums Festival 2013.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan negeri, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Datuk Hamidah Osman.

Kebajikan 5,000 ahli masyarakat India di Buntong terbela


IPOH - Kebajikan kira-kira 5,000 ahli masyarakat India di kawasan  Buntong  di sini mendapat perhatian kerajaan yang mengumumkan peruntukan lebih RM1 juta untuk membina dan menaik taraf infrastruktur di kawasan tersebut.

Peruntukan tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri  Muhyiddin  Yassin sempena lawatan kerja seharinya ke Perak baru-baru ini dan ia disambut gembira oleh penduduk  Buntong .

Ia melibatkan peruntukan untuk keperluan pendidikan, agama, kemudahan asas dan sosial di kawasan yang terkenal dengan perindustrian snek berasaskan kacang putih itu.

Antaranya bagi membina bangunan Persatuan Pengajian Kitab Tradisional Hindu Malaysia dengan peruntukan RM50,000, pembinaan bangunan Pertubuhan Penganut-Penganut Jegathguru Sri Raghavendra (RM50,000) dan sumbangan RM50,000 kepada Persatuan Shirdi Sai Baba.

Sebanyak RM150,000 pula diperuntukkan bagi membina bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil St. Philomena, mengecat rumah pangsa Taman Pertaman  Buntong  (RM80,000) dan pembinaan bangunan Kelab Kacang Putih  Buntong  (RM200,000).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kebajikan kaum lain di kawasan itu juga tidak dilupakan apabila RM50,000 diperuntukkan untuk membina jalan masuk ke Tanah Perkuburan Islam  Buntong  dan pembinaan gelanggang serba guna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina  Buntong  (RM100,000).

"Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa prihatin dengan nasib rakyat dan sedaya upaya membantu tanpa mengira kaum.

"Pelbagai program dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional termasuk memperkenalkan hampir 200 produk 1Malaysia seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Begitu juga beberapa langkah lain seperti kawalan harga pada musim perayaan, subsidi gula dan minyak," katanya.

Sunday, February 24, 2013

Pergolakan di Johor bukti pembangkang tidak sepakat


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SUNGAI SIPUT  - Pergolakan secara terbuka antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung pembahagian kerusi di  Johor  membuktikan pakatan pembangkang tidak pernah mempunyai kesefahaman dan muafakat untuk bergabung.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri  Muhyiddin  Yassin berkata, pakatan pembangkang tersebut bukan sahaja tidak ada kesepakatan dalam isu pembahagian kerusi malah mengenai hala tuju dan dasar masing-masing.

"Soal kerusi pun tak boleh selesai, apabila pilihan raya nanti pasti bergaduh. Mereka tidak ada haluan yang sama, inilah yang ada dalam parti pembangkang.

"Ini tidak beri gambaran yang baik kepada parti pembangkang dan boleh menjejaskan keyakinan masyarakat kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,000 penduduk pekan  Sungai   Siput  di sini sempena program Perhimpunan Rakyat 1Malaysia yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir.

Beliau mengulas pertelagahan terbuka pakatan pembangkang di  Johor  berhubung pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) termasuk Pengerusi PKR negeri, Datuk Chua Jui Meng hendak bertanding ke Parlimen Gelang Patah yang turut mahu ditandingi DAP.

Pengerusi DAP  Johor , Dr. Boo Cheng Hau mendesak Jui Meng dipecat kerana bekas Naib Presiden MCA itu menyebabkan pakatan pembangkang negeri berpecah dan sering memperlekeh pandangan partinya dan Pas.

Pengerusi DAP, Karpal Singh juga menyebelahi Cheng Hau dengan mencurigai kredibiliti Jui Meng sebagai bekas pemimpin MCA yang melompat ke PKR dan meminta kepimpinan Pakatan Rakyat memberi perhatian kepada desakan Pengerusi DAP Johor tersebut.

Royal Belum World Drums Festival buka tirai hari ini


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH -  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 membuka tirainya hari ini dengan persembahan pembukaan di dua buah lokasi iaitu Aeon Seri Manjung, Manjung dekat sini dan Taiping Sentral Mall, Taiping.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak,  Musa   Dun  berkata, lima kumpulan  dram  termasuk Aswara Percussion Ensemble akan membuat persembahan selama dua jam bermula pukul 4 petang di Aeon Seri Manjung.

"Jelajah sulung ini akan turut disertai empat kumpulan  dram  antarabangsa iaitu Pancasura STSI Bandung (Indonesia), Natiq Rhythm Group (Azerbaijan), Harubee (Maldives) dan Nakhonsawan Rajabhat University and Absolutely Thai (Thailand).

"Setiap kumpulan ini akan mempersembahkan kebudayaan dan irama  dram  negara masing-masing untuk santapan pengunjung," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

 Musa  berkata, jelajah  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 kemudiannya akan diteruskan di Taiping Sentral Mall pada sebelah malam.

Beliau berkata, persembahan berlangsung dari pukul 8 malam hingga 10 malam itu disertai kumpulan Tataloe Percussion (Indonesia), Wild Marmalade (Australia), Egyptian Nile Folkloric Musical Troupe (Mesir) dan Wicked Aura (Singapura).

"Orang ramai terutama di sekitar Manjung dan Taiping dijemput memeriahkan kedua-dua program jelajah tersebut," katanya.

 Musa  berkata, Rhythm of Malaysia (ROM) yang baru memenangi pertandingan  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 peringkat kebangsaan pada Sabtu lalu akan diberi penghormatan untuk membuat persembahan pada acara kemuncak di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini pada Ahad ini.

Katanya, pihak penganjur juga memutuskan kumpulan Perkusi Gatra yang merupakan johan pertandingan  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 peringkat Perak selain meraih tempat ketiga peringkat kebangsaan diberi peluang sama membuat persembahan di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Festival dianjurkan oleh kerajaan negeri Perak melalui Tourism Perak dan diuruskan oleh Kilatan Unggul EZ Events Sdn. Bhd.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web, www.royalbelumworlddrumfest.com.

Wednesday, February 20, 2013

Serbuan cari makmal dadah jumpa peluru


IPOH - Misteri timbunan pasir di belakang sebuah rumah teres tidak berpenghuni di  Anjung   Bercham   Megah ,  Bercham  di sini kelmarin membuka rahsia apabila polis menemui satu beg plastik mengandungi 177 butir peluru hidup tertanam di dalam timbunan pasir itu.

Sebelum peluru untuk kegunaan pistol jenis automatik itu ditemui pada pukul 2 petang, polis mulanya membuat serbuan ke rumah teres setingkat itu selepas menerima maklumat bahawa kediaman terbabit dijadikan makmal pemprosesan dadah.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, pemeriksaan di dalam rumah yang tidak berpenghuni tetapi lampu di ruang tamu bernyala tidak menemui apa-apa bukti yang rumah itu dijadi makmal memproses dadah.

"Pemeriksaan di belakang rumah itu menemui satu timbunan pasir yang mencurigakan. Polis yang menggali timbunan itu menemui satu bungkusan beg plastik yang mengandungi 149 butir jenis .9 mm dan 28 butir peluru jenis .22 mm," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di sini semalam.

Menurut beliau, setakat ini tiada tangkapan dan polis sedang menyiasat pemilik rumah tersebut bagi mendapat maklumat mengenai penemuan peluru itu.

"Berdasarkan maklumat, rumah itu sering tiada penghuni tetapi beberapa lelaki didakwa pernah keluar masuk di rumah tersebut," kata beliau.

Tuesday, February 19, 2013

Kumpulan ROM bersedia gegar

Berjanji beri persembahan hebat pada Royal Belum World Drums Festival 2013


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kumpulan Rhythm of Malaysia ( ROM ) sudah bersiap sedia untuk memberi persembahan hebat pada  Royal   Belum  World Drums Festival 2013 yang bermula esok.

Pengurusnya, Norazman Mohd. Ramli (gambar kecil) berkata, semua 17 anggota kumpulan tersebut giat berlatih bagi menghadapi festival bertaraf antarabangsa itu.

"Persiapan rapi dibuat dengan berlatih setiap hari sejak memenangi pertandingan  Royal   Belum  World Drum Festival 2013 peringkat kebangsaan pada Sabtu lalu.

"Kami mahu memberi persembahan bertenaga bukan sahaja untuk menyaingi kumpulan dram dari luar negara, malah bagi membalas kepercayaan penganjur yang memilih  ROM  mewakili negara," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Katanya, berbanding persembahan pada Sabtu lalu yang berkonsep tradisional, pihaknya bercadang menyuntik elemen muzik moden dalam persembahan pada  Royal Belum  World Drums Festival 2013 nanti.

Katanya, beberapa instrumen dram moden akan turut dimainkan bagi diharmonikan dengan irama pukulan rebana ubi, gendang, cak lempung dan geduk.

ROM  terpilih mengisi mewakili negara selepas menewaskan cabaran sembilan pasukan tempatan lain pada pertandingan  Royal   Belum  World Drum Festival 2013 peringkat kebangsaan di RTC Gopeng dekat sini pada Sabtu lalu.

Kumpulan yang diketuai Zulbakri Ujang itu dianggotai sebahagian besarnya oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Satu lagi pasukan yang akan mewakili Malaysia ialah Kumpulan Aswara Percussion Ensemble.

Royal  Belum  World Drums Festival 2013 yang akan berlangsung selama lima hari turut disertai kumpulan dari Azerbaijan, Australia, Nigeria, Mesir, India, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura.

Ketua pencuri kenderaan tewas

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.co.my

IPOH – Ketua penjenayah curi kenderaan mewah bergelar Geng Farid yang bermaharajalela di Manjung sejak dua tahun lalu mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Ayer Tawar, Sitiawan dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 4 pagi, Farid Abdul Hamid, 25, yang menjadi buruan polis kerana dipercayai terlibat dalam sembilan kes curi kereta mewah dan satu kes bunuh mati di tempat kejadian akibat terkena tiga das tembakan di beberapa anggota badan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, sebelum kejadian, sepasukan polis yang membuat rondaan di pekan Sitiawan dekat sini terserempak dengan suspek yang memandu kenderaan Naza Citra menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Polis cuba memeriksa kenderaan itu namun suspek memecut laju menyebabkan polis mengejar sejauh lima kilometer sehingga tiba di satu selekoh di Taman Sungai Wangi, Ayer Tawar sebelum kenderaan itu terbabas,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

Menurut beliau, suspek keluar daripada kenderaannya yang terbabas sambil melepaskan satu tembakan yang mengenai cermin kereta peronda polis sehingga pecah.

Bagi mempertahankan diri, polis membalas dengan melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan suspek terkorban.


"Pemeriksaan pada suspek menemui sepucuk pistol revolver, tiga butir peluru, sebuah beg silang mengandungi lesen memandu dan satu beg plastik berisi kapsul dipercayai syabu.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan pula menemui sebilah parang panjang manakala kenderaan itu dilaporkan hilang di Jalan Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur pada 7 Mei 2012," kata beliau.

Paramasivam memberitahu, siasatan awal mendapati suspek merupakan ketua kumpulan penjenayah yang terlibat dalam sembilan kes curi kenderaan mewah di sekitar Sitiawan, Lumut dan  Ayer   Tawar  sejak Februari 2011 hingga Jun tahun lalu.

Suspek itu juga dipercayai individu yang bertanggungjawab menembak mati seorang mekanik, Steven Ling Hock Chuan, 33, di depan rumahnya di Taman Sejati Dua, Seri Manjung pada 10 November tahun lalu.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, mekanik itu maut di tempat kejadian terkena beberapa das tembakan.

Selain kes bunuh dan kes curi kenderaan, suspek juga mempunyai tiga kes jenayah melibatkan penyalahgunaan dadah dan samun.

"Pada akhir tahun lalu, polis sudah memberkas beberapa anggota geng diketuai suspek di sekitar Manjung," kata beliau sambil memberitahu pihaknya sedang memburu saki-baki anggota kumpulan penjenayah itu.

Sunday, February 17, 2013

INFO Atur cara Royal Belum World Drums Festival 2013


20 Februari 2013 (Rabu)
Persembahan Dram
Tempat : Aeon Seri Manjung
Masa : 4 petang - 6 petang
Tempat : Taiping Sentral Mall, Taiping
Masa : 8 malam - 10 malam

21 Februari 2013 (Khamis)
Persembahan Dram
Tempat : Mydin RTC Gopeng
Masa : 2 petang - 4 petang
Tempat : Mydin Meru Raya, Ipoh
Masa : 8 malam - 10 malam

23 Februari 2013 (Sabtu)
Majlis pembukaan
Tempat : Padang Lapangan Terbang Gerik
Masa : 8.45 malam - 11.30 malam

24 Februari 2013 (Ahad)
Majlis Penutup
Tempat : Dataran MBI, Ipoh
Masa : 8.45 malam - 11.30 malam

Untuk makluman lanjut layari :

laman web :
www.royalbelumworlddrumfest.com

facebook :
royal belum world drums festival 2013

twitter : @royalbelumwdf

youtube : worlddrumsfest

instagram : worlddrumsfest


ROM bawa cabaran Malaysia

Bakal bertanding pada Royal Belum World Drums Festival 2013

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.my

GOPENG - Kumpulan Rhythm of Malaysia (ROM) dari  Hulu Bernam, Selangor mengisi slot terakhir bagi mewakili negara pada  Royal Belum World Drums Festival 2013 yang bakal bermula Rabu depan.

Kumpulan dram dianggotai 17 anak muda yang  sebahagian besarnya merupakan pelajar Universiti Sultan Idris Shah  (UPSI) mengatasi sembilan kumpulan lain pada pertandingan peringkat kebangsaan di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini semalam.

Berikutan kejayaan itu, mereka meraih wang tunai RM18,000.

ROM akan mewakili negara pada Royal Belum Wold Drums Festival 2013 di enam lokasi di Perak bersama satu lagi kumpulan dram tempatan, Aswara Percussion Ensemble.

Pengurus ROM, Norazman Mohd. Ramli berkata, selain gendang kumpulan terbabit bermain pelbagai alatan muzik  tradisional seperti rebana ubi, geduk, seruling dan cak  lempung.

“Peluang beraksi bersama kumpulan dram dari seluruh dunia nanti menjadi kebanggaan kepada kami," katanya selepas majlis penyampaian hadiah oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan,  Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan  Perak, Datuk Hamidah Osman.

Royal Belum World Drums Festival 2013 yang akan berlangsung selama lima hari disertai kumpulan dari Azerbaijan, Australia, Nigeria, Mesir, India, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura.

Saturday, February 16, 2013

Cukai pendapatan individu kekal pada kadar rendah


IPOH - Kerajaan memberi jaminan rakyat akan terus menikmati kadar cukai pendapatan individu yang rendah biarpun hasil negara dijangka terus meningkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini sejajar dengan model pembangunan Malaysia yang mahu menjadi negara berpendapatan tinggi tetapi dengan kadar cukai rendah.
"Kita menuju ke arah sebuah negara pendapatan tinggi tetapi kadar cukai (individu) berada pada tahap rendah malah dalam jangka masa panjang dan sederhana dapat dikurangkan.
"Kadar cukai pendapatan kita yang tertinggi cuma 25 peratus berbanding seperti Perancis mengenakan 75 peratus dan negara Scandinavia pula 60 peratus," katanya selepas melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini semalam.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Najib menegaskan biarpun kadar cukai rendah, tumpuan kerajaan merancang pembaharuan dan pembangunan negara tidak terjejas kerana kerajaan mampu menjana pendapatan memberangsangkan dari setahun ke setahun.
Ujarnya, ia dibantu kemampuan Lembaga Hasil Dalam Negeri mengutip hasil tinggi pada tahun lalu dan kemasukan pelaburan luar yang terbanyak dalam tempoh 10 tahun.
"Gagasan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan bukan sekadar slogan tetapi berjaya diterjemahkan dalam bentuk produk seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia dan Bantuan Persekolahan 1Malaysia," katanya.


Friday, February 15, 2013

Perak tuan rumah Pesta Kebudayaan Cina


IPOH - Dewan Perhimpunan  Cina   Perak  dengan kerjasama kerajaan negeri  Perak  akan menganjurkan  Pesta   Kebudayaan   Cina  peringkat kebangsaan pada September depan.

Timbalan Pengerusi Dewan Perhimpunan  Cina   Perak , Chai Wai Keong berkata, program yang bakal dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri pada 2013 itu bakal melibatkan penyertaan ribuan ahli Dewan Perhimpunan  Cina  dari seluruh negara.

"Sebanyak 30 acara  kebudayaan   Cina  seperti tarian, kaligrafi, nyanyian, makanan dan opera telah diatur sepanjang program tiga hari bermula 20 September 2013 tersebut," katanya selepas menghadiri sambutan Tahun Baru  Cina  anjuran Dewan Perhimpunan  Cina   Perak  di sini baru-baru ini.

Rakyat Perak sokong BN


IPOH - Barisan Nasional (BN) Perak yakin sokongan  rakyat yang menghargai kerja keras parti itu  menyediakan perkhidmatan terbaik sejak kembali menerajui  kerajaan negeri pada Februari 2009 akan diterjemah ke peti  undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir  berkata, rakyat di segenap pelosok negeri itu telah didekati  kerajaan negeri hampir setiap minggu sejak empat tahun  lalu.

“Bagi memberi perkhidmatan berkualiti, kita amalkan  prinsip 3P iaitu Padang, Perasaan dan Penyelesaian serta  motto Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir.

“Hari demi hari, sokongan rakyat di lihat semakin ber tambah dan ini memberi keyakinan kepada BN untuk menghadapi PRU-13,” katanya kepada Kosmo! di sini  semalam.

Beliau yang juga Pengerusi BN Perak berkata, keberkesanan pendekatan terbabit terbukti apabila 75 peratus  daripada aduan rakyat yang disampaikan pada Hari Ber temu Rakyat berjaya diselesaikan.

Tambahnya, Perak adalah satu-satunya kerajaan negeri  yang menganjurkan Hari Bertemu Rakyat bagi memberi  peluang kepada rakyat untuk menyuarakan masalah mereka  secara terbuka kepada Menteri Besar.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Perak, Datuk Chang Ko Youn juga mengakui BN berada momentum  terbaik untuk memenangi PRU-13.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Gerakan berkata,  komitmen kerajaan negeri berkhidmat telah menyentuh hati  rakyat untuk kembali memberi sokongan kepada BN.

“Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan pengundi di  negeri ini yang telah berpaling arah pada PRU lalu telah  kembali menyatakan sokongan kepada BN," ujarnya.

Pada PRU ke-12 lalu, BN yang menerajui  kerajaan negeri sejak kemerdekaan gagal mendapat mandat  selepas sekadar memperolehi 28 kerusi daripada 59 kerusi  yang dipertandingkan.

27 kerusi yang dimenangi itu disandang oleh UMNO, MCA  (satu) manakala MIC dan Parti Progresif Rakyat (PPP) gagal  memenangi sebarang kerusi.

Begitupun pakatan pembangkang iaitu DAP, Pas dan Parti  Keadilan Rakyat (PKR) sekadar mampu memerintah selama  11 bulan sahaja selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN)nya keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai  wakil rakyat bebas yang menyokong BN.

Langkah Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Osman  Mohd. Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Fong (Jelapang)  itu kemudiannya diikuti seorang ahli ADUN DAP, Keshvin der Singh pada 15 Jun 2010.

Thursday, February 14, 2013

Ibu Catriona Ross maut nahas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

GERIK - Ketika peristiwa kemalangan yang hampir meragut nyawanya pada 14 April 2007 masih belum dapat dilupakan, pelakon Catriona Ross kini terpaksa menerima hakikat kehilangan ibunya selepas warga emas tersebut maut dalam nahas semalam.

Kejadian pada pukul 12.40 tengah malam di Kilometer 61.8, Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Perhentian Titiwangsa dekat sini itu mengakibatkan Siti Zawiyah Ab. Rahman, 63, meninggal dunia di tempat kejadian.

Turut maut dalam kejadian itu ialah dua kenalannya, Norini Abd. Ghani, 52, dan Sitah Abdullah, 42. Pemandu kereta Proton Saga BLM, Mustapa Che Su, 59, pula parah dan kini dirawat di Hospital Taiping dekat sini.

Kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan untuk ke rumah kenalan mereka di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Difahamkan selepas itu, kesemua mangsa bercadang untuk menyampaikan sumbangan kepada Madrasah Zabaydiah, Merbok, Kedah namun hasrat itu tidak tercapai.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Manab Baharom berkata, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Mustapa telah bertembung dengan sebuah bas di laluan bertentangan ketika hendak memotong beberapa kenderaan di hadapannya.

"Ekoran itu, kereta tersebut telah terbabas ke dalam longkang. Tempat kejadian terletak tidak jauh dari Hutan Belum dan berkabus," katanya.

Tambahnya, pemandu dan 29 penumpang bas berkenaan yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu, Terengganu tidak cedera.

Menurut Manab, mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Gerik dekat sini.

Sebelum ini, Catriona atau nama sebenarnya Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 33, yang membintangi beberapa filem dan drama seperti Qabil Khushry Qabil Igam, Cermin, Rafflesia dan Sephia pernah terlibat dalam kemalangan ngeri yang mengakibatkan kedua-dua belah tangan dan kakinya patah pada 14 April 2007.

Kemalangan di Kilometer 230.8, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Rembau, Negeri Sembilan itu berlaku selepas kenderaan Chevrolet yang dipandu rakannya, Jeniffer Govia ke arah Ayer Keroh, Melaka dirempuh sebuah treler.

Wednesday, February 13, 2013

15 kumpulan bakal berentap

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Sebanyak 15 kumpulan dram tempatan bakal berentap bagi mengisi satu lagi slot untuk mewakili negara dalam Royal Belum World Drums Festival 2013 pada Sabtu dan Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, pertandingan peringkat kebangsaan itu akan diadakan di Mydin RTC Gopeng dekat sini.

"Tiga kumpulan dram iaitu Perkusi Gatra, Sekolah Integrasi Sultan Azlan Shah, Bota serta Persatuan Gendang Anak Harimau Perak bakal mewakili negeri Perak dalam pertandingan tersebut.

"Mereka dipilih menerusi pertandingan dram peringkat negeri yang diadakan di Teluk Intan pada 9 dan 10 Februari lalu," katanya di sini semalam.

Hamidah berkata, kumpulan yang memenangi pertandingan itu nanti berpeluang beraksi pada Royal Belum World Drums Festival 2013 bersama sebuah lagi kumpulan dari Malaysia iaitu Aswara Percussion Ensemble.

Selain itu, beliau memberitahu, juara pertandingan peringkat kebangsaan itu bakal meraih wang tunai RM18,000.

"Naib juara akan menerima wang tunai RM12,000 manakala RM6,000 untuk kumpulan yang mendapat tempat ketiga.

"Saya harap orang ramai dapat memeriahkan pertandingan itu yang merupakan acara pemanas badan Royal Belum World Drums Festival 2013," katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, Royal Belum World Drums Festival 2013 yang bakal berlangsung selama lima hari mulai 20 Februari ini menjanjikan kepuasan kepada peminat muzik irama dram.

Menurut beliau persembahan bertaraf antarabangsa yang memasuki edisi kedua tersebut dijangka disertai kumpulan dram dari 10 negara.

Festival itu dianjurkan oleh kerajaan negeri Perak melalui Tourism Perak dan diuruskan oleh Kilatan Unggul EZ Events Sdn. Bhd.

Untuk maklumat lanjut layari laman web, www.royalbelumworlddrumfest.com.

Tuesday, February 12, 2013

11 peniaga ingkar kena kompaun

IPOH - Seramai 11 peniaga di seluruh negara telah  dikenakan kompaun sebanyak RM1,150 sehingga semalam  sejak pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan  Tahun Baru Cina pada 6 Februari lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi  dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Tan Lian Hoe ber kata, semua kesalahan tersebut berkaitan dengan kegagalan  meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu.

“Penguat kuasa KPDNKK turut merampas barangan  peniaga terlibat bernilai RM1,204.30. Setakat ini tiada kes  menjual barang kawalan melebihi harga maksimum di laporkan.

“Kita juga telah memeriksa 24,885 premis perniagaan di  seluruh negara sejak seminggu pelaksanaan Skim Kawalan  Harga Tahun Baru Cina ini,” katanya kepada pemberita di  sini semalam.

Terdahulu beliau ditemui selepas menghadiri sambutan  Tahun Baru Cina Dewan Perhimpunan Cina Perak di Hotel  Impiana di sini.

Lian Hoe memberitahu, penguatkuasaan skim kawalan  harga melibatkan 13 barangan itu akan diteruskan sehingga  Ahad ini.

Antara barang yang dikawal ialah ayam, telur, kubis bulat  import, bawang putih, ikan bawal putih, udang putih besar  dan daging babi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pe niaga tidak mematuhi peraturan tersebut boleh membuat  aduan melalui e-mel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my.

Selain itu, mereka juga boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 atau sistem kiriman  ringkas (SMS) ke 15888 dengan menaip KPDNKK Aduan butiran aduan.

Sunday, February 10, 2013

TNB Perak rai petugas media

 ERAT HUBUNGAN. Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak mengadakan majlis ramah mesra dengan pengamal media tempatan di Restoran Shabu-Shabu di Ipoh baru-baru ini.

Pengurus Besar TNB Perak, Wan Kamizi Wan Ishak berkata, majlis tersebut bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara syarikat utiliti tersebut dengan wakil media tempatan yang sudah sedia terjalin selama ini.

Pada majlis tersebut, beliau turut memperkenalkan semua pengurus cawangan yang mengetuai TNB di peringkat daerah.

"Kami turut mengatur beberapa program khidmat masyarakat melibatkan penyertaan wakil media Perak sepanjang tahun ini," katanya.
 

Penduduk Kubu Gajah gembira terima BR1M 2.0

 SYUKUR. Seramai 700 penduduk Kubu Gajah menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 di Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun, Kubu Gajah, Selama, Perak baru-baru ini.

Baucar BR1M sebanyak RM500 setiap keluarga tersebut disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Omar.

Beliau berkata, pemberian bantuan untuk keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah di kawasan tersebut melibatkan peruntukan RM350,000.

"Pemberian bantuan berkenaan buat kali kedua bukti keprihatinan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap kebajikan rakyat," katanya.

Thursday, February 7, 2013

Diberkas 5 jam selepas menyamun


IPOH - Dua penyangak tidak sempat menikmati hasil samun apabila kedua-duanya diberkas lima jam selepas menyamin seorang kerani wanita di Kawasan Perin dustrian Pengkalan 2, Pusing, Batu Gajah dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Sha haron Anuar Abdul Latif berkata, kedua-dua suspek berusia 38 tahun dan 36 tahun tersebut di tahan di sekitar Bandar Baru Lahad antara pukul 8.40 malam hingga 9.45 malam.

Katanya, sebelum itu, suspek telah menyamun  mangsa berusia 25 tahun selepas memecah masuk pejabat sebuah kilang.

"Mangsa yang sedang bertugas bersama seorang rakan sekerjanya terkejut apabila didatangi suspek yang memakai topi keledar bertutup penuh.

"Suspek yang bersenjatakan pisau rambo kemudian merampas empat telefon bimbit, wang RM700, beberapa dokumen penting dan komputer riba," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, polis yang menjalankan siasatan kemudian berjaya memberkas suspek pertama di sebuah rumah kosong. Suspek kedua ditangkap ketika sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5 tidak jauh dari rumah itu.



Beli petrol sebelum rentung

 MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Misteri kematian empat beranak yang ditemui rentung di dalam banglo yang terbakar di Taman Bukit Medan, Sungai Siput dekat sini kelmarin semakin terungkai apabila siasatan lanjut polis mendapati mangsa telah membeli petrol dalam kuantiti yang banyak.

Petrol melebihi 30 liter berharga RM60 tersebut dibeli di sebuah stesen minyak berdekatan rumah mereka beberapa jam sebelum kejadian.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, minyak itu dibeli oleh S. Jayalatchumy, 45, dan tiga anaknya iaitu R. Thilagawati, 23, R. Puvaneswary, 21 serta R. Suhan, 17.

Berdasarkan maklumat terbaharu itu, polis masih mengekalkan kes tersebut sebagai mati mengejut kerana ia tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Berdasarkan maklumat jiran-jiran, kali terakhir kelibat empat beranak itu dilihat di pekarangan rumah antara pukul 6 petang hingga 7 malam.

“Jiran-jiran memberitahu, mereka tidak mendengar sebarang pertengkaran atau pergelutan dari dalam banglo yang disewa sejak setahun lalu oleh keluarga berkenaan pada malam kejadian,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan, empat beranak tersebut ditemui rentung selepas disyaki membakar diri setelah tertekan dan tidak dapat menerima hakikat berhubung kematian ketua keluarga mereka, S. Rajan, 48, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Jumaat lalu.

Keluarga berkenaan merahsiakan kematian Rajan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini daripada pengetahuan keluarga terdekat dan jiran-jiran.

Menurut Mohd. Shukri, siasatan percaya keluarga berkenaan begitu tertekan dengan kematian Rajan empat hari sebelum kejadian hingga sanggup mengambil tindakan drastik tersebut.

Tambahnya, keluarga Jayalatchumy juga disifatkan sebagai orang yang kurang bergaul dengan masyarakat setempat.

Namun menurut Mohd. Shukri, pihaknya masih menunggu laporan forensik untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Sementara itu, Pengawai Kanan 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Rushisha Haris pula berkata, siasatan lanjut pihaknya percaya kebakaran di dalam banglo itu telah menyebabkan tong gas di dapur meletup.

“Rumusan itu dilakukan selepas unit forensik bomba melakukan pemeriksaan di dalam banglo yang telah 80 peratus musnah itu semalam (kelmarin),” katanya.

Speaker DUN Perak fail saman malu

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan memfailkan saman malu RM25 juta terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Perak di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Lima ADUN pembangkang itu ialah Datuk Ngeh Koo Ham (Sitiawan), V. Sivakumar (Tronoh), Nga Kor Ming (Pantai Remis), A. Sivasubramaniam (Buntong) dan Lim Pek Har (Menglembu).

Ganesan yang juga Timbalan Pengerusi MIC Perak berkata, kesemua defendan telah mengeluarkan kenyataan fitnah ke atasnya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di sini baru-baru ini.

“Sebelum ini, saya telah memaklumkan akan melakukan tindakan perundangan kepada individu yang menerbitkan, menyebabkan untuk diterbitkan, menerbitkan semula, mengulangi, menyebabkan untuk mengulangi perkataan yang telah memfitnah saya dengan mengatakan terdapatnya cakera padat salah laku saya.

“Saya juga telah membuat laporan polis supaya siasatan terperinci dapat dilakukan terhadap pihak-pihak terlibat pada 22 Disember lalu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Terdahulu, beliau melalui peguam, Azad Bashir Abdul Karim Bashir menyerahkan writ saman di Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 11.53 pagi.

Ganesan memberitahu, kelima-lima defendan gagal memberi maklum balas ke atas surat tuntutan agar mereka menarik balik tuduhan tersebut dan memohon maaf kepada beliau yang dihantar peguamnya pada 15 Januari lalu.

Sehubungan itu, beliau telah memfailkan tindakan saman malu terhadap kesemua defendan untuk mendapat ganti rugi injuksi, faedah dan kos.

Pada 21 Disember lalu, Sivakumar dan Sivasubramaniam pada sidang akhbar berkenaan mendakwa menerima sampul surat berisi cakera padat yang tertera di atasnya gambar lucah Ganesan bersama seorang wanita.

Wednesday, February 6, 2013

MB Perak turun padang jumpa rakyat


MESRA RAKYAT. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr.  Zambry Abd. Kadir menghadiri program turun padang di mukim Padang Rengas, Kuala Kangsar baru-baru ini.

Antara program yang dihadiri beliau ialah penyampaian  bantuan kepada 53 mangsa banjir Kampung Jaya, Lubuk  Merbau sebelum mengumumkan peruntukan RM300,000  bagi pembinaan surau Sekolah Agama Bantuan Kerajaan  (SABK) Maahad Al-Yahyawiah.

Zambry kemudiannya beramah mesra dengan lebih 1,000  penduduk Paya Ranggam, Lubuk Merbau sempena program  kenduri rakyat.

Turut mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Padang  Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Dewan  Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Siti Salmah  Mat Jusak.

Empat beranak hilang ketua keluarga rentung

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 SUNGAI SIPUT - Empat beranak yang dipercayai tertekan dan tidak dapat menerima hakikat kematian ketua keluarga akibat kanser paru-paru ditemui mati terbakar dengan dua daripada mereka berpelukan di rumah banglo di Taman Bukit Medan di sini semalam.

Empat mangsa itu ialah S. Jayalatchumy, 45, dan tiga anaknya, R. Thilagawati, 23, R. Puvaneswary, 21, serta R. Suhan, 17. Kematian ibu dan tiga beradik itu berlaku hanya empat hari selepas S. Rajan, 48, suami kepada Jayalatchumy mati.

Mayat keempat-empat beranak itu ditemui di bahagian dapur dengan Thilagawati dan Puvaneswary dalam keadaan berpelukan.

Difahamkan keluarga berkenaan merahsiakan kematian Rajan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Jumaat lalu daripada pengetahuan keluarga terdekat dan jiran-jiran.

Jiran sebelah rumah mereka, Mok Kam Hing, 43, berkata, dia menyedari berlaku kebakaran di rumah disewa keluarga itu sewaktu menonton televisyen pada pukul 12.10 tengah malam.

"Saya terkejut terdengar bunyi letupan kuat dan pada mulanya disangka mercun tetapi selepas menjenguk ke luar rumah, saya mendapati rumah sebelah sedang terbakar," kata Kam Hing yang kemudian menghubungi bomba.

Kata jiran itu lagi, dia percaya letupan itu berpunca daripada tong gas yang terbakar sebelum api merebak membakar hampir semua ruang rumah berkenaan.

Kam Hing memberitahu, keluarga tersebut sering menyendiri dan tidak bercampur dengan masyarakat sejak mendiami banglo milik seorang doktor kira-kira setahun lalu.

Sementara itu, abang Jayalatchumy, S. Ramesh Rao, 47, berkata, dia terkejut apabila mengetahui kematian adiknya dan tiga anak wanita itu dalam keadaan tragis.

Lebih mengejutkan, dia yang tinggal di Taman Muhibbah di sini mendakwa baru mengetahui mengenai kematian adik iparnya, Rajan yang disembunyikan oleh Jayalatchumy.

"Saya difahamkan pengkebumian Rajan diuruskan sendiri oleh Jayalatchumy dan anak-anaknya pada Sabtu lalu.

"Sejak tiga tahun lalu, Jayalatchumy dan keluarganya bertindak menjauhkan diri daripada keluarga kandung dan keluarga sebelah mertua ekoran satu perselisihan faham," katanya yang enggan mendedahkan punca perselisihan faham itu.

Bagaimanapun, Ramesh berkata, dia tetap akan melakukan kewajipan sebagai seorang abang dengan menyempurnakan persemadian Jayalatchumy dan anak-anaknya di Kampung Rimba Panjang di sini pada hari ini.

Rajan dan Jayalatchumy mengusaha ladang getah milik mereka di sini manakala Thilagawati bekerja sebagai kerani, Puvaneswary masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dan Suhan pula pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muhibbah di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput dan Ipoh dihantar ke tempat kejadian pada pukul 12.22 tengah malam sebaik menerima panggilan kecemasan.

Menurut beliau, kebakaran itu dipercayai bermula dari bahagian dapur itu sebelum merebak ke beberapa bahagian rumah.

Katanya, kesemua mayat mangsa ditemui di dapur rumah tersebut pada pukul 12.57 tengah sejurus selepas api berjaya dipadamkan.

"Pihak bomba berjaya memadam api 35 minit kemudian dan mengesyaki kebakaran itu berpunca daripada letupan tong gas," kata beliau.

Azman memberitahu, polis mengklasifikasi kematian empat beranak itu sebagai mati mengejut dan sebelum ditemui mati mereka dikatakan amat tertekan selepas kehilangan ketua keluarga yang menjadi tempat bergantung.

Monday, February 4, 2013

Hubungan ibarat pinggan pecah

Pakatan pembangkang kini ibarat retak menanti belah


MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Hubungan antara parti-parti komponen dalam  pakatan pembangkang diibaratkan sebagai sebuah pinggan yang sudah pecah cuba dicantumkan semula.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, rakyat boleh menilai dan melihat sendiri perbalahan  berterusan dalam kalangan pemimpin pembangkang, termasuk  dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri  berkata, hubungan itu akan terus berantakan walaupun  pelbagai usaha dilakukan untuk membaikinya, termasuk mengadakan sambutan hari lahir Mursyidul Am Pas, Datuk Nik  Abdul Aziz Nik Mat di rumah Pengerusi DAP, Karpal Singh baru-baru ini.

“Bagi saya, hubungan di kalangan parti pembangkang  bukan setakat ibarat retak menanti belah tetapi sudah terbelah pun.

“Mereka bersungguh-sungguh memperbaikinya, tetapi ibarat cuba mencantumkan semula pinggan yang sudah pecah  dengan gam; gam gajah barangkali. Pinggan itu tetap akan jatuh pecah berderai,” katanya mengulas pertikaian berterusan antara DAP dan Pas dalam isu peng gunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di sini semalam.

Karpal dipetik sebagai menyanggah kenyataan Presiden  Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan isu  tersebut sudah selesai dan keputusan Majlis Syura Ulama  Pas sebelum ini yang memutuskan kalimah Allah hanya  untuk orang Islam sahaja telah diterima baik pemimpin  DAP.