Translate

Tuesday, January 8, 2013

Penculik ditembak mati

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Penderitaan seorang wanita yang diculik selama 11 hari oleh tiga lelaki bersenjatakan pistol berakhir apabila dia diselamatkan manakala dua suspek ditembak mati dan seorang lagi berjaya ditahan dalam kejadian berbalas tembak di Kilometer 76, Jalan Sitiawan-Taiping dekat Trong, Taiping kelmarin.

Kejadian pukul 9.45 malam itu mengakibatkan dua lelaki berusia lingkungan 30 dan 40-an mati selepas terkena tembakan yang dilepaskan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, mangsa berusia 52 tahun yang merupakan anggota keluarga ahli perniagaan terkenal di sini diculik di depan rumahnya oleh empat lelaki menggunakan sejenis kenderaan di Taiping pada 26 Disember lalu.

Katanya, pada masa sama, suspek turut cuba menculik anak saudara mangsa berusia empat tahun yang berada bersama wanita itu namun gagal.

“Penculik kemudian menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang tebusan sebanyak RM30 juta. Polis yang menerima laporan kemudian menubuhkan satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, polis kemudian berjaya mengesan lokasi penculik mengurung mangsa iaitu di sebuah bangsal yang ditinggalkan di sebuah kebun getah di Trong.

Jarak antara rumah dan tempat mangsa dikurung kira-kira 20 kilometer.

Menurut Mohd. Shukri, polis yang menyerbu tempat itu kemudian telah berbalas tembak dengan penjenayah menyebabkan dua lelaki berusia lingkungan 30 dan 40-an maut selepas terkena tembakan.

"Kita turut merampas sepucuk pistol automatik jenis Walter .22, sebutir peluru hidup, tiga kelongsong peluru, sepucuk pistol mainan jenis Penthum, 44 biji bebola besi, dua pasang gari, topeng muka, sepasang sarung tangan, tiga sarung kaki wanita, bahan bacaan berbahasa Cina, makanan ringan dan botol minuman di dalam bangsal itu.

"Polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 33 tahun bagi membantu siasatan di Kamunting, Taiping pada pukul 4 pagi tadi (semalam)," katanya.

Ujar Mohd. Shukri, mangsa mengalami cedera ringan dan masih trauma dengan kejadian itu.

Polis membayangkan akan menahan beberapa lagi suspek bagi membantu siasatan kes penculikan berprofil tinggi itu mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961.

No comments:

Post a Comment