Translate

Monday, January 14, 2013

JPJ Perak diarah sedia laporan

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak diarah menyediakan laporan terperinci berhubung insiden sebuah kenderaan pacuan empat roda milik agensi itu yang rentung dibakar orang awam di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Ayer Tawar, Sitiawan Jumaat lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, laporan tersebut perlu diserahkan kepada kementeriannya dalam tempoh seminggu.

“Pelbagai versi cerita telah keluar. Apa yang terjadi di Ayer Tawar terpulang kepada pihak polis untuk siasat.
“Saya tidak melindungi sesiapa pun dan yang paling baik tunggu polis beritahu apa sebenarnya berlaku,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda JPJ yang remuk dan rentung angkara tindakan agresif orang awam yang berang selepas kenderaan itu didakwa menjadi punca kemalangan membabitkan lapan kenderaan lain.

Beberapa saksi mendakwa kenderaan Toyota Fortuner yang dinaiki tiga penguat kuasa JPJ dari arah Sitiawan itu secara tiba-tiba menyeberang pembahagi jalan untuk menahan sebuah lori membawa muatan kelapa sawit di laluan bertentangan.

Tindakan itu menyebabkan lapan kenderaan lain terbabas dan berlanggar semasa sendiri menyebabkan empat orang cedera parah manakala 10 orang lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Seri Manjung.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan mengesahkan tiga individu ditahan bagi membantu siasatan kes yang melibatkan dua buah kenderaan pacuan empat roda milik JPJ, dua buah lori, dua bas sekolah, tiga kereta dan sebuah motosikal itu.

"Seramai 14 orang mengalami kecederaan tetapi tiada sebarang kemalangan jiwa. Polis masih meneruskan siasatan kes ini.

"Saya menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini yang dikhuatiri boleh menggugat ketenteraman awam," katanya.



No comments:

Post a Comment