Translate

Friday, January 11, 2013

Dua lelaki cuba tipu kolej swasta ditangkap


IPOH – Dua lelaki termasuk seorang bekas anggota kumpulan muzik tempatan ditahan selepas dipercayai cuba menipu sebuah kolej swasta kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 40-an itu diberkas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kafe sebuah hotel di sini pada pukul 2.40 petang.

Jurucakap SPRM berkata, ketika serbuan, dua lelaki terbabit sedang menerima wang RM10,000 daripada pengurus sebuah kolej latihan antarabangsa.

Beliau berkata, kolej yang terletak di Taman Perdagangan dan Perindustrian Bercham di sini itu berdepan masalah penggantungan lesen manakala empat pelatihnya disenarai hitam baru-baru ini atas kesalahan melanggar peraturan imigresen.

“Kolej yang menyediakan latihan dalam bidang perkapalan, kulinari dan perlombongan yang berpangkalan di Singapura itu disenarai hitam selepas didapati memberi butiran palsu dalam surat memorandum persefahaman dengan majikan yang menghantar pelatih ke kolej berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.


Jurucakap SPRM itu memberitahu, suspek menawarkan diri menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana mendakwa mempunyai hubungan dengan pegawai Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen.

Ujarnya, siasatan awal SPRM mendapati kedua-duanya tidak mempunyai kaitan dengan kementerian seperti yang didakwa.

"Pada mulanya, mereka meminta suapan RM100,000 daripada pihak kolej namun akhirnya mereka bersetuju menerima RM45,000.

Wang RM10,000 yang diserahkan itu merupakan pendahuluan," katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, dua lelaki tersebut ditahan reman selama lima hari mulai semalam selepas perintah tahanan itu dibenarkan oleh Majistret Nur Syafiqah Noorinda.

No comments:

Post a Comment