Translate

Thursday, January 31, 2013

Bermesra dengan ular jinak di Lost World of Tambun


IPOH - Bersempena sambutan Tahun Baru Cina, Lost World of Tambun ( LWOT ) akan menampilkan koleksi lebih daripada 50 jenis  ular  untuk dipamerkan selama tiga hari di taman tema air itu bermula 10 Februari ini.

Pengurus Besarnya, Calvin Ho berkata, sepanjang tempoh berkenaan, para pengunjung boleh bermain dan bermesra dengan koleksi  ular  jinak itu.

"Penerangan tentang  ular  juga akan diberikan bagi mendidik orang ramai khususnya golongan muda untuk memahami dan menghargai pola kehidupan haiwan reptilia tersebut," katanya pada sidang akhbar sempena pameran  ular  di sini semalam.

Ho menjelaskan, antara  ular  yang akan dipamerkan ialah  ular  tedung selar sepanjang hampir empat meter, anakonda kuning,  ular  sawa albino dan  ular  sawa Burma.

Katanya, selain di zoo mini, sebahagian daripada  ular - ular  berkenaan akan ditempatkan di Gua Kempura di taman tema itu bagi membolehkan pengunjung dapat merasai suasana berada di kawasan habitat sebenar reptilia berkenaan.

"Lebih menarik lagi, para pengunjung juga boleh menikmati kek cawan  ular  yang boleh didapati secara eksklusif di Restoran Waves yang terdapat di  LWOT . Selain itu, pelbagai cenderahati yang bercirikan tahun  ular  seperti baju juga dijual," katanya.

Tuesday, January 29, 2013

26 keluarga di Slim River dapat rumah

 BANTUAN. Seramai 26 keluarga menerima surat tawaran Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Taman Tasik YDP, Slim River baru-baru ini.

Pengarah Urusan SPNB, Datuk Kamarul Rashdan Salleh berkata, pemberian surat tawaran skim perumahan itu melibatkan penduduk Kampung Balun dan Kampung Pekan Trolak yang berkelayakan iaitu berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Beliau berkata, mereka bakal memiliki rumah yang berkeluasan 80.45 meter persegi dan mempunyai tiga bilik air pada harga RM45,000 sahaja.

Saturday, January 26, 2013

Dua lelaki mati selepas dirempuh van di Kuala Kangsar


KUALA KANGSAR - Niat baik seorang pekerja kilang  membantu mangsa kemalangan berakhir dengan tragedi  apabila dia dan ejen trak penunda maut dirempuh sebuah van di Kilometer 258.7 Lebuh Raya Utara-Selatan  arah utara berhampiran Terowong Menora dekat sini semalam.

Kejadian pukul 10.54 pagi itu mengakibatkan S. Lee Pride, 31, dari Taman Sri Tengah,  Kluang, Johor dan ejen trak penunda, S. Praveen, 29, maut di  tempat kejadian.

Lee Pride yang memandu kereta Proton Wira dikatakan telah berhenti sebaik ternampak kemalangan iaitu sebuah treler membawa muatan besi, lori dan dua kereta melanggar belakang antara satu sama lain.

Kelindan treler berkenaan, S. Teebhan, 20, berkata, antara mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu ialah sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anaknya. Mereka menaiki kereta jenis Proton Persona.

Katanya, Lee Pride yang melalui jalan itu kemudian telah berhenti untuk membantu keluarga terbabit.

"Tidak lama kemudian, datang sebuah van merempuh belakang Proton Persona mengakibatkan mangsa dan seorang ejen trak penunda yang sedang berdiri di depan kereta itu melambing," ceritanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Muhamad berkata, sebelum kejadian, Lee Pride dan dua ahli keluarganya dalam perjalanan ke kampung isterinya di Sungai Petani, Kedah untuk menyambut Thaipusam esok.

Katanya, mangsa lain tidak cedera dalam kemalangan itu.

Friday, January 25, 2013

SSM Bersama Rakyat di Taiping esok

IPOH - Orang ramai khususnya yang berada di sekitar Taiping dan utara Perak dijemput memeriahkan program Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Bersama Rakyat yang diadakan di Taman Tasik Taiping esok.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam SSM, Mohamad Shahren Mohamad Yusri berkata, program tersebut berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang di kawasan tempat letak kereta E taman rekreasi berkenaan.

"Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap peranan agensi SSM.

"Orang ramai akan diberi pendedahan dan panduan lebih jelas tentang kepentingan dan keperluan memperbadankan syarikat masing-masing," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohamad Shahren berkata, usahawan dan individu yang berminat menceburi dunia perniagaan juga disaran tidak melepaskan peluang untuk menyertai sesi taklimat mengenai skim perniagaan secara francais dan sumber pembiayaan yang diadakan secara percuma di program itu.

Menurutnya, SSM juga akan memberi penjelasan mengenai skim-skim pelaburan yang sah di sisi undang-undang sebagai panduan kepada orang ramai.

"Selain itu, pengunjung juga akan dihiburkan dengan pelbagai acara selingan seperti sukaneka, persembahan muzik dan kuiz di samping berpeluang membawa pulang hadiah menarik menerusi acara cabutan bertuah," katanya.

Katanya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dijangka merasmikan program terbabit.

Thursday, January 24, 2013

Rekaan pelajar PUO terpilih jadi model PSIP


KREATIF. Idea enam pelajar  Politeknik   Ungku   Omar  (PUO) di Perak terpilih sebagai reka bentuk pembangunan fasa kedua pusat pengajian pondok moden, Pondok Pengajian Jami'yah  Persekutuan   Seruan   Islam  Perak (PSIP).

Reka bentuk bangunan 10 tingkat yang bercirikan geometri  Islam  direka oleh pelajar Semester Enam, Diploma Seni Bina PUO seterusnya mengatasi penyertaan empat  politeknik  lain iaitu  Politeknik  Sultan Idris Shah,  Politeknik  Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah,  Politeknik  Sultan Ahmad Shah dan  Politeknik  Merlimau.

Yang Dipertua PSIP, Datuk Sheikh Mohamad Nor Mansor Al-Hafiz berkata, pihaknya telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Pengajian  Politeknik  untuk menghasilkan reka bentuk pembangunan fasa kedua pusat pengajian pondok moden khusus untuk warga emas itu.

"Walaupun penyertaan diterima daripada golongan pelajar, semua reka bentuk yang dihasilkan amat mengagumkan barisan juri yang terdiri daripada pengurusan PSIP dan wakil firma arkitek.

"Reka bentuk PUO terpilih kerana ciri-ciri senibina dan ia praktikal sebagai pusat pengajian untuk warga emas yang mahu mendalami ilmu agama  Islam ," katanya.

Projek rumah mesra rakyat tertangguh disambung semula


SLIM   RIVER  - Syarikat Perumahan Negara Berhad ( SPNB ) memberi jaminan pembinaan 406 buah Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) yang tertangguh sebelum ini bakal bermula pada awal bulan depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata, masalah tersebut melibatkan 5.4 peratus daripada 7,465 permohonan yang diluluskan pada tahun lalu.

Beliau berkata, rata-rata projek pembinaan 406 skim perumahan di seluruh negara tersebut mengalami kelewatan sehingga enam bulan.

"Bagaimanapun, masalah yang disebabkan oleh kesukaran memperoleh pembiayaan bank dan kekurangan tenaga buruh itu telah berjaya diatasi.

"Semua projek pembinaan perumahan tersebut akan dimulakan pada 1 Februari ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan surat tawaran RMR1M kepada 26 penduduk Kampung Balun dan Kampung Pekan, Trolak di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri  Slim   River , Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib.

Kamarul Rashdan berkata, sebelum ini pembiayaan RMR1M ditanggung sepenuhnya  SPNB , tetapi agensi itu telah memutuskan untuk menyerahkan pembiayaan kepada institusi kewangan bagi menangani banyak kes hutang tak berbayar yang tinggi oleh pembeli rumah terdahulu.

Sunday, January 20, 2013

Polis teliti insiden kenderaan JPJ dibakar di YouTube


KAMPAR - Polis sedang meneliti rakaman video yang dimuat naik di laman perkongsian video, YouTube bagi mendapat gambaran sebenar insiden sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak yang rentung dibakar orang awam di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Ayer Tawar pada 11 Januari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, setakat ini, berdasarkan laporan polis yang dibuat tiga penguat kuasa JPJ terlibat pada hari kejadian, mereka mendakwa dilanggar dari belakang sewaktu menunggu lampu isyarat di lokasi tersebut.

"Setakat ini, polis masih berpegang kepada laporan itu. Apa-apa pun siasatan kes berkenaan masih diteruskan termasuk merakam percakapan empat suspek yang telah ditahan sebelum ini.

"Saya ingin tegaskan polis tidak memanipulasi atau menyembunyi apa-apa fakta. Kami memerlukan lebih ramai lagi saksi yang melihat insiden itu tampil memberi keterangan sebelum sebarang kesimpulan dibuat," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kosmo! pada 12 Januari lalu melaporkan sebuah kenderaan pacuan empat roda JPJ remuk dan rentung angkara tindakan agresif orang awam yang berang selepas kenderaan itu didakwa menjadi punca kemalangan membabitkan lapan buah kenderaan lain.

Beberapa saksi mendakwa kenderaan jenis Toyota Fortuner yang dinaiki tiga anggota penguat kuasa JPJ dari arah Sitiawan itu secara tiba-tiba menyeberang pembahagi jalan untuk menahan sebuah lori membawa muatan kelapa sawit di laluan bertentangan.

Tindakan tersebut menyebabkan lapan kenderaan lain terbabas dan berlanggar sesama sendiri sehingga empat orang mengalami kecederaan parah, manakala 10 orang lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Seri Manjung.

Saturday, January 19, 2013

200 keluarga miskin terima bantuan program MyKasih

 PRIHATIN. Seramai 200 keluarga kurang berkemampuan menerima bantuan barangan keperluan di Agromall, Pusat Transformasi Luar Bandar, Gopeng, Perak baru-baru ini.

Penasihat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 1,000 keluarga di sekitar Gopeng yang dikenal pasti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) layak menerima bantuan berkenaan menerusi program MyKasih Cintai Kejiranan Kita.

Beliau berkata, keluarga kurang berkemampuan itu layak menerima bantuan barangan keperluan terpilih bernilai RM40 secara percuma selama setahun.

"Mereka boleh mendapatkan barangan keperluan terbabit di Agromall RTC Gopeng pada setiap dua minggu sekali dengan mengemukakan MyKad dan nombor pin yang diberi JKM," katanya.

Friday, January 18, 2013

Waris penanam getah pertama terima penghargaan RISDA

 HARGAI. Tujuh waris Mohammad Isa Pandak Mat Aris iaitu individu pertama menanam benih pokok getah di negara ini menerima penghargaan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) pada satu majlis di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, penghargaan sempena ulang tahun penubuhan RISDA ke-40 bertujuan memperingati peranan Mohammad Isa menanam pokok getah itu pada  136 tahun lalu.

Beliau berkata, pokok getah yang masih hidup subur bersebelahan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar itu bukti komoditi terbabit pernah menjadi menyumbang utama ekonomi negara.

Tujuh waris Mohammad Isa ialah Nizam Musa, 46, Mohammad Ali Samsuddin, 60, Putri Umi Kalsum Megat Ismail, 86, Ali Alang Dahamit, 71, Roslan Ali, 46, Rosnah Musa, 48, dan Bakiah Musa, 56.

Tuesday, January 15, 2013

Muzium getah dicadang di Kuala Kangsar


KUALA KANGSAR - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mencadangkan penubuhan sebuah muzium getah kebangsaan di bandar ini.

Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, pembinaan muzium komoditi berkenaan sangat signifikan kerana pokok getah pertama negara yang berusia 136 tahun masih terdapat di bandar tersebut.

Menurutnya, perintis pekebun getah negara iaitu Mohammad Isa Pandak Mat Aris juga berasal dari Ulu Kenas di sini.

"Penubuhan muzium getah itu bukan sahaja berorentasi pelancongan semata-mata tetapi memberi pengiktirafan kepada pemain industri getah tempatan.

"Ia jug memberi pendedahan kepada generasi muda tentang industri getah yang pernah menjadi tulang belakang ekonomi negara suatu masa dulu," katanya selepas merasmikan majlis Penghayatan Penanaman Pokok Getah Pertama di Malaysia di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zaki Mohamad.

Pada majlis itu juga, tujuh waris Mohammad Isa iaitu individu yang bertanggungjawab menanam benih pokok getah pertama di negara ini pad a20 Julai 1877 menerima penghargaan daripada agensi tersebut.

Sehubungan itu, Rahim mencadangkan agar kerajaan negeri Perak membawa usul penubuhan muzium getah tersebut dalam mesyuarat Exco.

Dua lelaki serang polis cedera ditembak


IPOH - Tindakan agresif dua lelaki bermotosikal menyerang polis dengan parang ketika hendak diperiksa berakhir dengan mereka cedera ditembak di  Taman Sejati, Sitiawan dekat sini semalam.

Kejadian pukul 1 pagi itu berlaku apabila anggota polis berkenaan terserempak dengan suspek berusia  27 tahun dan 29 tahun tersebut selepas mereka menetak dua lelaki lain di sebuah premis hiburan  berhampiran.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam  berkata, suspek yang menaiki sebuah motosikal bukan sahaja enggan berhenti malah mereka cuba melibas polis dengan parang.

"Anggota yang ingin mempertahankan diri kemudian telah melepaskan empat das tembakan. Seorang suspek cedera di kaki manakala rakannya cedera di kaki dan punggung," katanya pada sidang akhbar di sini.

Tambahnya, siasatan polis mendapati terdapat seorang lagi rakan suspek yang turut terlibat menetak dua mangsa berusia 54 dan 30 tahun tersebut namun dia berjaya melarikan diri.

Menurut Paramasivam, kedua-dua mangsa cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Seri Manjung dekat sini. Motif serangan sedang disiasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 307 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera parah dan cubaan membunuh anggota polis.


Monday, January 14, 2013

JPJ Perak diarah sedia laporan

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak diarah menyediakan laporan terperinci berhubung insiden sebuah kenderaan pacuan empat roda milik agensi itu yang rentung dibakar orang awam di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Ayer Tawar, Sitiawan Jumaat lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, laporan tersebut perlu diserahkan kepada kementeriannya dalam tempoh seminggu.

“Pelbagai versi cerita telah keluar. Apa yang terjadi di Ayer Tawar terpulang kepada pihak polis untuk siasat.
“Saya tidak melindungi sesiapa pun dan yang paling baik tunggu polis beritahu apa sebenarnya berlaku,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda JPJ yang remuk dan rentung angkara tindakan agresif orang awam yang berang selepas kenderaan itu didakwa menjadi punca kemalangan membabitkan lapan kenderaan lain.

Beberapa saksi mendakwa kenderaan Toyota Fortuner yang dinaiki tiga penguat kuasa JPJ dari arah Sitiawan itu secara tiba-tiba menyeberang pembahagi jalan untuk menahan sebuah lori membawa muatan kelapa sawit di laluan bertentangan.

Tindakan itu menyebabkan lapan kenderaan lain terbabas dan berlanggar semasa sendiri menyebabkan empat orang cedera parah manakala 10 orang lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Seri Manjung.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan mengesahkan tiga individu ditahan bagi membantu siasatan kes yang melibatkan dua buah kenderaan pacuan empat roda milik JPJ, dua buah lori, dua bas sekolah, tiga kereta dan sebuah motosikal itu.

"Seramai 14 orang mengalami kecederaan tetapi tiada sebarang kemalangan jiwa. Polis masih meneruskan siasatan kes ini.

"Saya menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini yang dikhuatiri boleh menggugat ketenteraman awam," katanya.



Friday, January 11, 2013

Dua lelaki cuba tipu kolej swasta ditangkap


IPOH – Dua lelaki termasuk seorang bekas anggota kumpulan muzik tempatan ditahan selepas dipercayai cuba menipu sebuah kolej swasta kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 40-an itu diberkas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kafe sebuah hotel di sini pada pukul 2.40 petang.

Jurucakap SPRM berkata, ketika serbuan, dua lelaki terbabit sedang menerima wang RM10,000 daripada pengurus sebuah kolej latihan antarabangsa.

Beliau berkata, kolej yang terletak di Taman Perdagangan dan Perindustrian Bercham di sini itu berdepan masalah penggantungan lesen manakala empat pelatihnya disenarai hitam baru-baru ini atas kesalahan melanggar peraturan imigresen.

“Kolej yang menyediakan latihan dalam bidang perkapalan, kulinari dan perlombongan yang berpangkalan di Singapura itu disenarai hitam selepas didapati memberi butiran palsu dalam surat memorandum persefahaman dengan majikan yang menghantar pelatih ke kolej berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.


Jurucakap SPRM itu memberitahu, suspek menawarkan diri menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana mendakwa mempunyai hubungan dengan pegawai Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen.

Ujarnya, siasatan awal SPRM mendapati kedua-duanya tidak mempunyai kaitan dengan kementerian seperti yang didakwa.

"Pada mulanya, mereka meminta suapan RM100,000 daripada pihak kolej namun akhirnya mereka bersetuju menerima RM45,000.

Wang RM10,000 yang diserahkan itu merupakan pendahuluan," katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, dua lelaki tersebut ditahan reman selama lima hari mulai semalam selepas perintah tahanan itu dibenarkan oleh Majistret Nur Syafiqah Noorinda.

Thursday, January 10, 2013

Kekasih ditahan bantu siasat kes culik wanita


IPOH - Polis menahan sepasang kekasih bagi membantu siasatan kes penculikan seorang wanita berusia 52 tahun yang berjaya dibebaskan polis selepas 11 hari dikurung di sebuah bangsal di Kilometer 76, Jalan Sitiawan-Taiping dekat Trong, Taiping Ahad lalu.

Lelaki tempatan dan wanita warga China berusia 46 dan 50 tahun itu ditahan pada pukul 4 petang di sekitar Bentong, Pahang kelmarin.

Ketua Polis Perak,  Datuk   Mohd .  Shukri   Dahlan  berkata, pihaknya merampas wang RM3,800 daripada suspek dan siasatan percaya mereka merupakan saki-baki penculik tersebut.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta  Culik  1961.

"Kita akan menahan beberapa individu lagi bagi melangkapkan siasatan kes penculikan anggota keluarga ahli perniagaan terkenal di sini itu," katanya pada sidang akhbar.

Rabu lalu, Kosmo! melaporkan penderitaan seorang wanita yang diculik oleh empat lelaki bersenjatakan pistol sejak 26 Disember lalu di hadapan rumahnya di Taiping berakhir apabila dia diselamatkan polis.

Dalam kejadian berbalas tembak itu, dua suspek ditembak mati sementara seorang lagi suspek berjaya ditahan.

Dua kanak-kanak mungkin diliwat


IPOH - Siasatan lanjut polis berhubung kes dua kanak-kanak perempuan berusia lima dan tujuh tahun yang mendakwa didera secara seksual oleh keluarga bapanya di sebuah kampung di Bagan Serai baru-baru ini mendapati mereka kemungkinan telah dicabul dan diliwat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, laporan perubatan Hospital Taiping mendapati terdapat kesan koyakan pada kemaluan dan dubur kedua-dua mangsa.

"Kita masih menyiasat punca berlakunya koyakan terbabit. Kita telah meminta bantuan Bukit Aman untuk menyiasat," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Pada 5 Januari lalu, Kosmo! melaporkan lima bersaudara termasuk dua wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan selepas menerima laporan daripada ibu dua beradik itu pada 27 Disember lepas.

Menurut Mohd. Shukri, dua kanak-kanak itu kini ditempatkan di Bukit Aman sejak kelmarin selepas dirawat di Hospital Taiping.

Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan seorang lagi ditahan menjadikan jumlah mereka yang diberkas meningkat kepada enam orang. Kesemua suspek mempunyai pertalian persaudaraan dan berusia antara 17 hingga 70 tahun.

Wednesday, January 9, 2013

Penternak rayu kelulusan segera tapak kandang


TAPAH - Sebanyak 61 penternak lembu dan kerbau di  Banir ,  Temoh  dekat sini merayu agar proses kelulusan permohonan tapak kandang ternakan yang tertangguh sejak lebih dua tahun diselesaikan segera.

Pengerusi Persatuan Penternak  Banir , Mohd. Jamin Yasin mendakwa, kerajaan negeri Perak menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak telah meluluskan tanah seluas 121.5 hektar sebagai tapak kandang ternakan pada akhir 2011.

"Setiap penternak bakal memperolehi antara 1.22 hektar dan 2.06 hektar mengikut bilangan ternakan belaan. Kami telah menandatangani perjanjian pajakan selama 15 tahun pada Disember 2011.

"Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, kelulusan tersebut telah ditangguhkan berikutan masalah teknikal dan status permohonan masih tergantung sehingga kini," katanya kepada Kosmo! dekat sini semalam.

Mohd. Jamin mendakwa, gara-gara kelewatan kelulusan tapak kandang itu, ahli Persatuan Penternak  Banir  mengalami masalah menempatkan haiwan ternakan mereka.

"Kami tiada pilihan, terpaksa menggembala lembu dan kerbau merata-rata. Banyak masalah timbul termasuk haiwan ternakan kami sering disita pihak berkuasa tempatan.

"Kalau dapat kawasan kandang itu, pasti kami dapat menjalankan perusahaan menternak lembu dan kerbau secara lebih teratur," kata beliau.

Tuesday, January 8, 2013

Penculik ditembak mati

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Penderitaan seorang wanita yang diculik selama 11 hari oleh tiga lelaki bersenjatakan pistol berakhir apabila dia diselamatkan manakala dua suspek ditembak mati dan seorang lagi berjaya ditahan dalam kejadian berbalas tembak di Kilometer 76, Jalan Sitiawan-Taiping dekat Trong, Taiping kelmarin.

Kejadian pukul 9.45 malam itu mengakibatkan dua lelaki berusia lingkungan 30 dan 40-an mati selepas terkena tembakan yang dilepaskan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, mangsa berusia 52 tahun yang merupakan anggota keluarga ahli perniagaan terkenal di sini diculik di depan rumahnya oleh empat lelaki menggunakan sejenis kenderaan di Taiping pada 26 Disember lalu.

Katanya, pada masa sama, suspek turut cuba menculik anak saudara mangsa berusia empat tahun yang berada bersama wanita itu namun gagal.

“Penculik kemudian menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang tebusan sebanyak RM30 juta. Polis yang menerima laporan kemudian menubuhkan satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, polis kemudian berjaya mengesan lokasi penculik mengurung mangsa iaitu di sebuah bangsal yang ditinggalkan di sebuah kebun getah di Trong.

Jarak antara rumah dan tempat mangsa dikurung kira-kira 20 kilometer.

Menurut Mohd. Shukri, polis yang menyerbu tempat itu kemudian telah berbalas tembak dengan penjenayah menyebabkan dua lelaki berusia lingkungan 30 dan 40-an maut selepas terkena tembakan.

"Kita turut merampas sepucuk pistol automatik jenis Walter .22, sebutir peluru hidup, tiga kelongsong peluru, sepucuk pistol mainan jenis Penthum, 44 biji bebola besi, dua pasang gari, topeng muka, sepasang sarung tangan, tiga sarung kaki wanita, bahan bacaan berbahasa Cina, makanan ringan dan botol minuman di dalam bangsal itu.

"Polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 33 tahun bagi membantu siasatan di Kamunting, Taiping pada pukul 4 pagi tadi (semalam)," katanya.

Ujar Mohd. Shukri, mangsa mengalami cedera ringan dan masih trauma dengan kejadian itu.

Polis membayangkan akan menahan beberapa lagi suspek bagi membantu siasatan kes penculikan berprofil tinggi itu mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961.

Suami isteri saki-baki penjenayah Geng Ah Kaw diberkas


IPOH - Sepasang suami isteri yang disyaki saki-baki penjenayah  Geng   Ah   Kaw  yang terlibat dalam kes-kes pecah rumah dan curi kenderaan diberkas hanya kira-kira enam jam selepas mereka menyamun sebuah rumah di Simpang Pulai dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, penahanan pertama pada pukul 11 pagi kelmarin membabitkan lelaki berusia 31 tahun sewaktu dia bersama dua lagi rakan menaiki sebuah kereta Proton Putra di Menglembu di sini.

Dua lagi lelaki yang merupakan rakan suspek itu bagaimanapun berjaya melarikan diri.

Menurut beliau, suspek itu kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Taman Menglembu Timur yang kemudian membawa kepada penangkapan isterinya yang berusia 35 tahun pada hari sama.

"Pemeriksaan di rumah itu menemui pelbagai barangan dipercayai curi seperti komputer riba, beg komputer riba, pemain cakera padat digital (DVD), sistem navigasi satelit (GPS), cakera keras, penapis air, televisyen LCD dan pendingin hawa.

"Alatan memecah rumah seperti parang, pemutar skru, kekunci L, topeng muka dan sarung tangan turut dirampas," kata beliau pada sidang akhbar di sini.

Chang Keong memberitahu, siasatan awal mempercayai pasangan suami isteri itu bersama dua lelaki yang masih bebas baru memecah masuk sebuah rumah di Simpang Pulai pada pukul 4.30 pagi kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, sebuah kereta Honda City milik mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 50 dilarikan.

Kosmo! pada 9 Jun tahun lalu menyiarkan kegiatan pecah rumah melibatkan  Geng   Ah   Kaw  yang didalangi dua lelaki yang baru sebulan dibebaskan dari Pusat Tahanan Machang, Kelantan berjaya dilumpuhkan ekoran serbuan di sebuah rumah di Taman Rasi, Menglembu.

Dalam serbuan itu, empat individu termasuk dua wanita diberkas manakala lima jam selepas itu, seorang lagi anggota kumpulan terbabit ditahan di lokasi lain berdekatan Menglembu.

Ketua  geng  dikenali dengan panggilan  Ah   Kaw .

Monday, January 7, 2013

Lima ditahan kes dera seksual dua kanak-kanak


IPOH - Lima termasuk dua wanita bersaudara ditahan kelmarin bagi membantu siasatan dakwaan penderaan seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia lima dan tujuh tahun di Kampung Lian Seng, Bagan Serai kira-kira 125 kilometer dari sini baru-baru ini.
Ketua Polis Perak,  Datuk   Mohd .  Shukri   Dahlan  (gambar) berkata, ibu mangsa berusia 37 tahun membuat aduan mendakwa ahli keluarga bekas suaminya melakukan penderaan seksual tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Bagan Serai pada 27 Disember lalu.

"Susulan keterangan awal dua kanak-kanak perempuan berkenaan, kelima-lima suspek yang berusia 17 hingga 70 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Mereka terdiri daripada dua ibu saudara, dua sepupu dan seorang  datuk  mangsa. Polis juga akan memanggil bapa mangsa yang kini berada di Kuala Lumpur untuk memberi keterangan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak di sini semalam.

 Mohd .  Shukri  berkata, dua beradik berkenaan sedang dirawat di Hospital Taiping dan polis menunggu laporan perubatan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, perkhidmatan pakar psikiatri kanak-kanak dari Hospital Pulau Pinang juga diminta membantu proses rakaman keterangan mangsa.

"Setakat ini, doktor Hospital Taiping mengesahkan terdapat sedikit kesan koyakan pada kemaluan salah seorang mangsa namun puncanya belum diketahui.

Tsunami politik sudah berakhir


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAPAH - Barisan Nasional (BN) yakin mampu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tanpa perlu bimbang bayang-bayang impak tsunami politik yang pernah melanda tanah air pada 2008.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk  Ahmad   Maslan  berkata, tsunami politik yang pernah menyebabkan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan tewas di beberapa negeri sudah reda.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kerja keras Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan pelbagai transformasi ekonomi, politik dan pendidikan sejak menerajui negara telah mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN.

"Sejak Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri selama tiga tahun lapan bulan ini, tsunami politik telah berhenti.

"Antara puncanya adalah idea-idea kreatif beliau memperkenalkan hampir 20 produk 1Malaysia seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), kedai kain, kedai ikan, biasiswa, kedai rakyat, klinik dan baucar buku," katanya selepas melakukan tinjauan mesra ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tapah Road di Kampung Tersusun Batu 4, Tapah Road di sini semalam.

 Ahmad  berkata, ramai yang memberi respons positif dengan inisiatif kerajaan yang disifatkan amat prihatin dan mendahulukan rakyat.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, UMNO telah mengarahkan semua PDM dan bilik gerakan parti itu di seluruh negara diaktifkan serta-merta.

Katanya, walaupun yakin tsunami politik sudah berakhir, strategi memenangi PRU ke-13 perlu diteruskan dan untuk itu, pucuk pimpinan parti menyarankan semua PDM dan bilik gerakan diaktifkan semaksimum mungkin.

"Ibarat satu pertandingan lumba lari, kita tidak mahu tergelincir, kaki terseliuh di hujung garisan penamat," katanya.

Bas dua tingkat bawa pelancong hangus terbakar

KUALA KANGSAR - Seramai 20 penumpang nyaris maut apabila bas dua tingkat yang dalam perjalanan membawa mereka melancong ke Thailand terbakar secara tiba-tiba ketika tiba di Kilometer 231.4, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bukit Berapit dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.20 petang, 70 peratus daripada bas milik Konsortium Bas Ekspres Semenanjung Sdn. Bhd. itu hangus.

Pegawai Kanan II Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Shamsudin Abd. Karim berkata, semasa kejadian, bas dua tingkat berkenaan dalam perjalanan menuju ke Hatyai dari Johor Bahru.

"Mujur tindakan pantas pemandu bas mengarahkan semua penumpang turun selepas menyedari kepulan asap yang keluar dari belakang bas menyelamatkan kesemua penumpangnya.

"Sejurus selepas semua penumpang turun, bas tersebut hangus sehingga ke tingkat atas," kata beliau kepada Kosmo! di sini.

Menurut beliau, pemandu bas terbabit bertindak memberhentikan kenderaan yang dipandunya di bahu jalan sebaik menyedari sesuatu tidak kena dengan kenderaannya.

Seramai 13 anggota dengan kekuatan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dan Taiping berjaya memadamkan kebakaran bas tersebut dalam tempoh 15 minit.

"Bas tersebut hangus 70 peratus dengan tingkat atas rosak teruk," kata beliau dengan memberitahu punca kebakaran masih dalam siasatan.

Saturday, January 5, 2013

Sindiket 'Fly By Night' tumpas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Satu sindiket yang dipercayai memperdaya sekurang-kurang 10 syarikat pemborong barangan runcit, baja pertanian dan alatan pejabat di negeri ini sejak dua bulan lalu berjaya ditumpaskan polis baru-baru ini.

Sindiket yang dikenali sebagai geng 'Fly By Night' itu menggunakan modus operandi membayar transaksi pembelian menggunakan cek tertunggak palsu menyebabkan semua syarikat pemborong terbabit mengalami kerugian dianggarkan hampir RM155,000.

 Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, berdasarkan aduan mangsa dari sekitar Manjung, Taiping dan Sungai Siput itu, polis berjaya memberkas lima anggota sindiket tersebut iaitu empat lelaki tempatan dan seorang wanita warga negara Thailand secara berperingkat-peringkat mulai 20 Januari lalu.

"Mereka yang berusia dalam lingkungan 43 tahun hingga 54 tahun itu ditahan di sekitar Taiping dekat sini dan Simpang Empat, Pulau Pinang.

"Turut ditahan ialah perancang utama iaitu ketua kumpulan berkenaan yang dikehendaki polis melibatkan kes penipuan menggunakan modus operandi sama di Pulau Pinang dan Pahang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

Mohd. Shukri berkata, hasil tangkapan itu, polis berjaya menemui semula sebahagian barangan yang dilarikan kumpulan terbabit seperti 39,320 kilogram baja pertanian, 30 karton serbuk pencuci, lima karton serbuk kopi, 64 bungkus kerisik kelapa dan 24 unit set mangkuk tandas.

Katanya, polis turut merampas beberapa dokumen jual beli seperti invois, slip penyerahan pesanan dan borang pesanan pembelian milik syarikat palsu yang ditubuhkan geng Fly By Night bagi melakukan penipuan tersebut.

"Modus operandi kumpulan berkenaan ialah mendaftarkan syarikat menggunakan nama proksi, biasanya merupakan seorang penagih dadah yang sanggup menjual identiti mereka.

"Sindiket itu kemudiannya akan aktif membeli pelbagai barangan runcit secara borong dengan menggunakan cek tertangguh daripada akaun bank yang telah ditutup," katanya.

Mohd. Shukri berkata, syarikat yang didaftarkan sindiket tersebut biasanya beroperasi selama dua bulan sahaja. Mereka akan melarikan diri dan mengosongkan pejabat sebaik wakil syarikat pemborong menyedari ditipu.

Katanya, kesemua lima suspek terbabit kini ditahan reman sehingga Ahad ini dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Wednesday, January 2, 2013

LWOT sasar 720,000 pengunjung 2013


Oleh MOHD.  AZLI   ADLAN
azli. adlan @kosmo.com.my

IPOH - Taman tema air popular di sini, Lost World of Tambun ( LWOT ) menyasarkan untuk menerima kunjungan sehingga 720,000 orang pada tahun ini.

Pengurus Besar  LWOT , Calvin Ho berkata, sasaran itu merupakan penambahan sebanyak 25 peratus daripada jumlah pengunjungnya pada tahun lalu sebanyak 600,000 orang.

"Kami positif untuk mencapai sasaran tersebut setelah mencapai penambahan 100,000 pengunjung pada tahun lalu berbanding cuma 500,000 orang pada 2011.

"Selain promosi yang berterusan, faktor penganjuran Tahun Melawat Perak 2012 dan Tahun Melawat Malaysia 2013 bakal menjadi faktor untuk meningkatkan statistik pengunjung ke taman tema ini," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sebagai usaha untuk menarik lebih banyak pelanggan dan meningkatkan jenamanya di pasaran semasa, Ho menjelaskan,  LWOT  akan menambah satu lagi tarikan baharu iaitu permainan roller coaster yang dijangka beroperasi menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada awal Februari ini.

Menurutnya, permainan roller coaster itu 'mesra alam' dan tidak mendebarkan kerana ia bersesuaian untuk pengunjung menikmati pemandangan damai landskap  LWOT  yang dikelilingi tasik, hutan, bukit dan gua menghijau.

"Tarikan baharu ini lebih santai berbanding roller coaster yang terdapat pada taman tema lain kerana ia bermatlamat untuk memberi keriangan kepada seisi keluarga termasuk kanak-kanak," katanya.

Banjir setiap kali hujan lebat


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Sebuah keluarga terpaksa merana lebih 20 tahun apabila rumah yang didiami ditenggelami banjir setiap kali hujan lebat di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan dekat sini.
Abdul Rahman Manap, 62, berkata, kediaman yang turut dihuni lapan ahli keluarganya termasuk isteri, Zabedah Tan Diah, 58, lima anak dan seorang cucu itu akan dinaiki air banjir sehingga satu meter setiap kali hujan lebat.
“Sejak 20 tahun lalu, hati kami sekeluarga tidak pernah tenang setiap kali hujan turun walaupun pada awal pagi kerana saya tahu rumah saya mesti menerima musibahnya.
“Jumlah kerugian harta benda tak terkira malah rumah dan laman rumah saya akan dipenuhi selut serta lumpur yang datang dari Bukit Kinding berhampiran,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Abdul Rahman berkata, selain limpahan air dan lumpur dari bukit berhampiran, sistem perparitan yang tidak diselenggara juga menjadi faktor kepada masalah banjir itu.

Menurutnya, rumah dia yang terletak di tanah pusaka keluarga seluas 0.14 hektar sebenarnya terletak berhampiran Sungai Kinding lama yang sudah ditimbus pada awal 90-an.

"Setelah ditimbus, laluan Sungai Kinding telah bertukar arah namun setiap kali hujan lebat, sebahagian limpahan air dan lumpur dari Bukit Kinding tetap mengalir ke laluan lama sungai.

"Walaupun laluan lama Sungai Kinding sudah dinaik taraf menjadi sebuah parit tetapi kerana saiznya kecil dan jarang diselenggara, ia tidak mampu menampung kapasiti air banjir dan lumpur lalu mengalir ke rumah saya yang terletak di kawasan lebih rendah," katanya.

Abdul Rahman memberitahu, dia sekeluarga telah mengambil inisiatif membina sebuah  kolam  tadahan kecil dan menambak laman rumahnya dengan pasir bagi mengurangkan risiko banjir tetapi tidak berapa berkesan.