Translate

Saturday, December 29, 2012

LWOT anjur sambutan Ambang Tahun Baharu 2013


IPOH - Lebih 10,000 pengunjung dijangka bakal membanjiri taman tema air, Lost World of Tambun ( LWOT ), Tambun di sini sempena sambutan Ambang Tahun Baru  2013  pada malam 31 Disember ini.

Pengurus Besar  LWOT , Calvin Ho berkata, program yang disasar kepada golongan keluarga itu bakal bermula dari pukul 8 malam hingga 1 pagi.

"Selain persembahan bunga api yang hebat, pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan penghibur terkenal, Louis The Maestro sewaktu menunggu detik 12 tengah malam.

"Beliau akan mengajuk pelbagai watak ikon terkenal seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Micheal Jackson, Datuk Shah Rukh Khan, P. Ramlee dan David Arumugam Alleycats," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Calvin berkata, sambutan Ambang Tahun Baru  2013  juga akan diserikan dengan persembahan lawak jenaka, kumpulan Deriolama 5 dan iringan muzik pelbagai genre seperti R&B, Tribal, Mumbo Jumbo dan Techno oleh DJ Starzo dan Golden Munky.

"Di samping berhibur, pengunjung juga boleh menikmati hidangan ringan seperti putu mayam, bertih jagung, sate dan tau fu fah. Setiap pengunjung akan menerima pek parti dan minuman ringan percuma," katanya.

Calvin memberitahu tiket kemasukan RM45 untuk dewasa dan RM38 untuk kanak-kanak boleh didapati di kaunter masuk  LWOT  atau boleh ditempah secara dalam talian menerusi laman web www.sunwaylostworldoftambun.com.

Friday, December 28, 2012

Penjenayah pecah rumah Geng Baron tumpas


IPOH - Keligatan penjenayah  Geng   Baron  yang dipercayai sudah terlibat dalam sekurang-kurangnya 20 kes pecah rumah di bandar raya ini sejak beberapa bulan lalu berakhir apabila enam ahli kumpulan itu termasuk tiga wanita diberkas.

Kesemua suspek berusia 29 hingga 44 tahun itu diberkas dalam serbuan di beberapa lokasi di sini pada 23 November lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chong Keong berkata, kegiatan  Geng   Baron  berjaya dilumpuhkan apabila polis turut memberkas ketuanya yang merupakan lelaki berusia 34 tahun. Ketua gengster itu mempunyai 23 rekod jenayah.

"Ketua  Geng   Baron  sudah beberapa tahun menjadi buruan dan suspek itu banyak terlibat dalam jenayah pecah rumah di Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Melaka," kata beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini.

Menurut beliau, seorang suspek wanita berusia 30 tahun mempunyai dua rekod jenayah melibatkan kes dadah dan menipu.

Chong Keong berkata, kesemua anggota  Geng   Baron  mempunyai kepakaran mengumpil jeriji, pintu dan mangga bagi menceroboh rumah mangsa.

Kata beliau, modus operandi kumpulan penjenayah itu ialah mereka memilih waktu pagi dan anggotanya memakai pakaian kemas seperti ahli perniagaan.

"Penjenayah ini akan mengetuk pintu rumah sasaran dan jika rumah itu tiada penghuni, penjenayah itu akan memecah masuk dengan mengumpil pintu atau jeriji besi kediaman berkenaan," kata beliau.

Chong Keong memberitahu, dalam serbuan terbabit, polis berjaya merampas sebahagian barangan dipercayai hasil pecah rumah yang dianggarkan kesemuanya bernilai RM12,000 daripada keenam-enam suspek itu.

Antara barangan yang dirampas ialah kereta Proton Gen2, Proton Persona, komputer riba, Ipad, coli, pembersih hampagas, tas tangan wanita, tong gas, pengering rambut, periuk nasi, mesin basuh dan pelbagai jenis kerongsang.

Tuesday, December 25, 2012

IPD Tapah kutip derma untuk Tabung Kemanusiaan Gaza


PRIHATIN. Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menghulurkan sumbangan ikhlas bagi membantu rakyat Palestin menerusi Tabung Kemanusiaan Gaza baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, wang tunai sebanyak RM1,234 berjaya dikutip daripada anggota IPD berkenaan.
Beliau berkata, semua warga IPD Tapah tanpa mengira kaum dan agama bersimpati dengan nasib rakyat Palestin yang telah puluhan tahun menjadi mangsa kezaliman rejim Zionis.
"Kami berharap bantuan tersebut sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dan penderitaan penduduk Palestin khususnya di Gaza," katanya.
Derma itu diserahkan kepada wakil Maybank yang merupakan bank rasmi bagi tabung tersebut.

Monday, December 24, 2012

UTP serah peralatan sekolah kepada anak yatim


BAKTI. Universiti Teknologi Petronas (UTP) baru-baru ini telah menyampaikan bantuan peralatan persekolahan kepada 348 anak yatim dari seluruh Perak di Seri Iskandar, Tronoh.
Naib Canselor UTP, Datuk Dr. Abdul Rahim Hashim berkata, ia merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat 'Menggapai Impian' bermula tahun 2007.
Katanya, anak yatim itu merupakan penghuni di 13 rumah kebajikan di sekitar Perak.
"Melalui sumbangan keperluan pembelajaran itu, mereka boleh memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih bersemangat," katanya.


Tiga maut kereta rempuh lori


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SITIAWAN - Tiga maut manakala dua cedera parah selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki merempuh belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer 25, Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Changkat Chermin dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang, tiga mangsa yang terkorban ialah pemandu kereta, Mohd. Ramli Abdul Wahab, 27, dan dua anak kenalannya, Nur Aleeya Maisara Muhammad Syakir, 6, dan Harith, 5.

Ibu kepada dua kanak-kanak malang itu, Zalikha Kamarulzaman, 26, dan adiknya, Mohamad Syarifuddin, 18, cedera parah di kaki dan kepala.

Tiga lagi beradik iaitu Faizatul Adawiyah Hamdan, 12, Shamil, 11, dan Sofia Amira, 8, yang menumpang kereta tersebut cedera ringan
.
Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mad Isa berkata, semasa kemalangan, semua mangsa dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas menghadiri Hari Keluarga Rela di Teluk Senangin, Lumut.


Mohd. Ramli dari Kampung Tengku  Hussein Tambahan, Manjoi, Ipoh dan Zalikha dari Taman  Raia Mesra, Kepayang, Batu Gajah merupakan anggota Rela.

"Tiba di lokasi kejadian, tayar depan sebelah  kanan kereta Perodua Viva  pecah menyebabkan kenderaan itu gagal mengawal lalu merempuh belakang sebuah  lori yang diletakkan di bahu jalan.

"Rempuhan itu menyebabkan Nurul Aleeya Maisara yang di pangku ibunya manakala adiknya, Harith Danial yang duduk  di tempat duduk belakang tercampak keluar sejauh kira-kira  10 meter dari kereta," katanya kepada Kosmo! di sini.

Pemandu lori semasa kemalangan itu membeli air di sebuah gerai berdekatan.



Saturday, December 22, 2012

Budak empat tahun maut dalam kemalangan


IPOH - Seorang kanak-kanak berusia empat tahun terbunuh setelah motosikal yang dinaiki bersama kedua-dua ibu bapanya dirempuh sebuah pacuan empat roda di Kilometer 3, Jalan Bidor-Teluk Intan dekat Tapah kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, mangsa Adam Mohd. Rosidi yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah.

Menurut beliau, dalam kemalangan pada pukul 8.15 malam, bapa kanak-kanak itu, Mohd. Rosidi, 20, yang cedera parah akibat tercampak dari motosikal dirawat di Hospital Teluk Intan manakala isterinya, Sharima Hishamuddin, 19, dirawat di Hospital Tapah.

Beliau berkata, kejadian tersebut berlaku ketika ketiga-tiga beranak itu dalam perjalanan dari Teluk Intan menuju ke Kampung Jeram, Mengkuang, Bidor sebelum dirempuh kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

"Siasatan mendapati kenderaan yang dipandu lelaki berusia 70 tahun itu dikatakan cuba membelok di satu persimpangan sebelum merempuh motosikal yang dinaiki mangsa," kata beliau.

Wednesday, December 19, 2012

Tajol Rosli tidak pertahan kerusi

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com

 IPOH - Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Ghazali mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Hulu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Bekas Menteri Besar Perak kesembilan itu berkata, sudah tiba masanya beliau bersara setelah sekian lama menjadi wakil rakyat sejak memenangi DUN Kendering pada tahun 1977.

"Lagipun saya kini hanya ahli UMNO biasa selepas melepaskan jawatan Pengerusi BN Perak pada 29 Januari 2009 dan Ketua UMNO Bahagian Gerik pada 29 Mac tahun sama.

"Ini adalah sidang DUN terakhir buat saya," katanya selepas membahaskan Bajet 2013 Perak pada Sidang DUN Perak ke-12 di sini semalam.


Serentak dengan itu, Mohamad  Tajol   Rosli  mengambil kesempatan memohon maaf atas kekurangan diri dan perilaku sepanjang kariernya sebagai ahli politik.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah kerana berkenan melantik beliau sebagai Menteri Besar selama dua penggal dari 1999 hingga 2004.

"Selepas ini, saya akan menumpukan perhatian kepada tugas baharu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO," tambahnya.

Sementara itu, katanya, kegagalan mempertahankan mandat BN untuk terus memerintah kerajaan negeri Perak pada PRU ke-12 lalu merupakan pengalaman paling pahit dalam karier politiknya.

Selain menjadi Menteri Besar, Mohamad  Tajol   Rosli  pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Menteri di beberapa kementerian seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos.

Koo Ham minta maaf terhadap kenyataan di Twitter


IPOH - Setelah mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk daripada rakan dalam pakatan pembangkang, Pengerusi DAP Perak, Datuk  Ngeh   Koo   Ham  memohon  maaf  berikutan kenyataannya dalam akaun Twitter yang mempertikaikan bantahan umat Islam terhadap filem Innocence of Muslims.

Ahli Parlimen Beruas itu turut menarik balik kenyataan tersebut yang dibuatnya menerusi laman sosial mikro tersebut pada Isnin lalu.

"Saya menarik balik dan meminta  maaf  kepada mana-mana umat Islam yang tersinggung dengan Tweet saya kerana ia tidak bertujuan sedemikian," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

 Koo   Ham  dalam akaun Twitter miliknya baru-baru ini menggambarkan penentangan umat Islam terhadap filem yang menghina Nabi Muhammad SAW itu sebagai membuang masa dan tenaga.

Menurut  Koo   Ham , komen itu dibuatnya selepas dia menonton laporan berita di stesen televisyen luar negara mengenai bantahan keras terhadap penyiaran filem tersebut di seluruh dunia sehingga mengakibatkan kehilangan jiwa dan kerosakan harta benda.

"Apa yang dinyatakan dalam Tweet berkenaan hanya satu pandangan dalam konteks protes ganas yang berlaku di seluruh dunia.

Monday, December 17, 2012

Ternakan arowana tidak cemar tasik


IKAN arowana mula diternak secara komersial di sekitar Tasik Bukit Merah, Semanggol, Perak pada tahun 2001.Perintisnya ialah Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn. Bhd. (BMA) yang dimiliki seorang anak tempatan, Ahmad Don.

Industri penternakan ikan arowana di Bukit Merah kini berkembang pesat dengan penglibatan lebih 70 pengusaha melibatkan 3,808 buah kolam.

Keghairahan terhadap industri yang mendatangkan imbuhan jutaan ringgit setahun itu sedikit sebanyak mencetuskan isu alam sekitar.

Ahmad yang juga Pengerusi Persatuan Penternak Arowana Utara berkata, antara isu berkenaan ialah penggunaan air terusan oleh pengusaha kolam ternakan yang dikatakan menyebabkan paras air Tasik Bukit Merah merosot sekali gus menjejaskan hasil padi daerah Kerian dan Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Bagaimanapun menurut Ahmad, maklumat itu tidak tepat. Ini kerana walaupun air daripada terusan berhampiran disedut pengusaha untuk disalurkan ke kolam ternakan, ia dialirkan semula ke sungai berdekatan.

"Air daripada terusan yang masuk ke dalam kolam ternakan disalirkan semula ke sungai kerana penternakan ikan arowana memerlukan air yang mengalir sepanjang masa.

"Jadi tidak timbul isu air terusan berkurangan memandangkan Jabatan Pengairan dan Saliran juga telah memasang pam untuk menyedut air dari sungai bagi disalurkan ke dalam terusan seterusnya dialirkan ke sawah padi," ujarnya.

Demikian juga dengan dakwaan kononnya pengusaha mengakibatkan pencemaran air kerana membuang sisa kolam yang disyaki bertoksik.

Ahmad menegaskan, air dari kolam yang dilepaskan semula itu adalah bersih kerana tiada bahan kimia digunakan memandangkan ikan arowana diberi makan udang, anak ikan, katak dan lipan sahaja.

Malah, pengusaha ternakan ikan arowana Bukit Merah yang dinaungi Persatuan Penternak Arowana Utara sentiasa memberi kerjasama kepada agensi penguat kuasa seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perikanan dan Pejabat Tanah dan Daerah Kerian yang sering melakukan pemantauan.

Berkat kesabaran, usaha penternak ikan arowana Bukit Merah semakin mendapat dokongan daripada Kementerian Pertanian dan Asas Tani serta kerajaan negeri Perak sejak kebelakangan ini.

"Bagi saya, langkah kerajaan negeri Perak mewujudkan Zon Akuakultur seluas 100 hektar di Bukit Merah merupakan penyelesaian terbaik berdasarkan prinsip menang-menang," kata Ahmad.

Lebih daripada itu, Ahmad memberitahu, BMA dan beberapa pengusaha ternakan lain telah memulakan program tanggungjawab sosial dengan melepaskan 10 ekor induk ikan arowana di Tasik Bukit Merah setiap tahun bagi menjamin kelestariannya.