Translate

Friday, September 7, 2012

Perniagaan punca isteri muda dibelasah suami

 IPOH - Rakaman litar kamera tertutup (CCTV) yang menunjukkan aksi-aksi pertelingkahan dan pukul-memukul antara sepasang suami isteri yang boleh disaksikan melalui YouTube tercetus kerana masalah perniagaan.

Mengimbas kejadian tersebut, mangsa wanita,  Amanda   Fong  Kim Yen, 19, mendakwa pertikaman lidah dengan suaminya bermula selepas dia tidak setuju dengan keputusan lelaki itu yang mahu mempamerkan koleksi minyak wangi milik seorang rakan suaminya di butik mereka di Taman Ipoh Selatan di sini.

"Saya khuatir koleksi minyak wangi tersebut tidak tulen dan jika perkara tersebut berlaku ia menjejaskan perniagaan butik pakaian dan aksesori wanita yang kami baru buka Julai lalu," kata  Amanda  pada sidang akhbar di Pusat Khidmat MCA Ipoh Timur di sini.

Menurut mangsa yang hamil dua bulan, selepas berperang mulut beberapa minit, dia mengambil keputusan untuk keluar dari butik.

Bagaimanapun, dakwa  Amanda , suami menyekat dia meninggalkan butik sebelum suaminya bertindak ganas memukul, menggigit dan menekan perutnya seperti yang dipaparkan di dalam YouTube.

 Amanda  hadir di Pusat Khidmat MCA Ipoh Timur dengan ditemani ibunya, Lily Yeoh, 49.

Dia bersetuju menerima khidmat guaman yang ditawarkan Pusat Khidmat MCA Ipoh Timur. Peguam yang mewakili ialah Datuk G. Amarjit Singh Gill.

Cerita  Amanda  lagi, dia kerap menjadi mangsa keganasan suaminya yang disifatnya seorang agresif sejak mereka berkahwin pada 17 Januari lalu.

Bagaimanapun, kata wanita itu, insiden pukul 4.30 petang, 23 Ogos lalu merupakan keganasan paling serius yang pernah dialami sejak mereka berkahwin.

Sejak kejadian tersebut,  Amanda  memberitahu, suaminya yang berusia 26 tahun menghilangkan diri manakala butik milik mereka ditutup sementara kerana dia masih trauma.

"Tindakan suami saya menyebabkan saya terpaksa menerima rawatan selama dua hari di sebuah hospital swasta di sini," kata mangsa.

Menurut  Amanda , dia nekad memuat naik rakaman CCTV mengenai kejadian yang dialaminya di laman sosial Facebook bagi membuktikan dia benar-benar menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan mahu menagih keadilan segera daripada pihak berkuasa.

 Amanda  mendakwa, sejak kejadian itu dia bukan saja trauma malah masih merasai kesakitan di beberapa bahagian tubuh terutama di perut akibat perbuatan suaminya.

Sementara itu, Amarjit berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapatkan Perintah Perlindungan Interim Sementara Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi menghalang suami  Amanda  mendekati mangsa di Mahkamah Majistret di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, polis telah menghantar kertas siasatan kes tersebut kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam.

Menurut beliau, polis sudah mengambil keterangan suami mangsa kelmarin dan kes tersebut berlaku kerana masalah dalaman keluarga pasangan berkenaan.

No comments:

Post a Comment