Translate

Thursday, September 13, 2012

Lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan

 IPOH - Sehari selepas menembak anak tirinya berikutan perbalahan keluarga, seorang lelaki ditemui mati dengan kesan ditembak di tepi jalan bersebelahan Kilometer 282 Lebuh raya Utara-Selatan berhampiran Ampang di sini semalam.

S. Ravindran, 40, ditemui terbaring tertiarap dengan kesan tembakan di kepala pada pukul 11.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, pemeriksaan polis di lokasi kejadian telah menemui sepucuk pistol jenis Norinco di sisi mayat lelaki tersebut.

“Polis turut menemui sebuah motosikal yang dipercayai milik Ravindran. Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk dibedah siasat.

“Siasatan awal polis mendapati kematian mangsa lebih menjurus kepada membunuh diri selepas terlibat dalam konflik keluarga sebelum kejadian,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Dzuraidi berkata, sebelum ditemui mati, Ravindran dikendaki polis kerana terlibat dalam kes melepaskan satu tembakan yang mencederakan paha anak tirinya, R. Hariharen, 15, pada pukul 4.30 petang kelmarin.

Menurut beliau, kejadian di rumah isteri mereka di Laluan Panorama Rapat Indah, Gunung Rapat di sini berlaku selepas Hariharen bergelut dengan untuk mempertahankan ibunya daripada diserang Ravindran.

Lokasi mayat Ravindran ditemui kira-kira lima kilometer daripada rumahnya dan polis percaya pistol yang ditemui di sisi mayatnya digunakan lelaki itu untuk mencederakan anak tirinya.

Sementara itu, Hariharen yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ampang di sini semakin stabil selepas dirawat.

Isteri Ravindran yang enggan dikenali memberitahu, semasa dia, Hariharen dan tiga lagi anaknya yang berusia sembilan hingga 13 tahun berada di rumah sebelum suaminya yang sudah lama tidak pulang ke rumah muncul.

“Dia menuduh saya curang lalu mengasari saya. Hariharen kemudian masuk campur sebelum suami melepaskan tembakan yang mengenai belakang betis kiri dan tembus ke bahagian depan paha,” ceritanya.

No comments:

Post a Comment