Translate

Tuesday, August 28, 2012

3 warga asing tukar rupee palsu diberkas

 IPOH - Tembelang sebuah sindiket antarabangsa yang memperdaya pengurup wang menggunakan wang kertas mata wang asing palsu terbongkar ekoran penahanan tiga anggotanya baru-baru ini.

Dua penjenayah warga Pakistan itu ditahan ketika mereka cuba menukar wang kertas bernilai 402,000  rupee   India  (RM22,512) palsu di sebuah premis pengurup wang berlesen di Pekan Bharu di sini pada Khamis lalu.

Mengikut pasaran 100  rupee   India  bersamaan dengan RM5.58.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, tindakan kedua-dua lelaki yang berusia 22 dan 42 tahun itu menimbulkan curiga pengusaha premis pengurup wang berkenaan kerana jumlah wang  rupee  yang mahu ditukar terlalu banyak.

"Setelah diperiksa secara teliti, pengusaha berkenaan mendapati wang kertas yang cuba ditukar dengan Ringgit Malaysia merupakan wang palsu sebelum pengusaha terbabit terus menghubungi polis.

"Kedua-dua suspek berjaya diberkas di premis pengurup wang tersebut," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini.

Menurut beliau, pemeriksaan polis ke atas kedua-dua lelaki Pakistan itu menemui wang kertas  rupee  palsu yang kesemuanya bernilai 402,000  rupee .

Polis turut merampas tiga telefon bimbit, sebuah beg berwarna hitam dan dua pasport antarabangsa kedua-dua suspek itu.

Susulan tangkapan itu, Mohd. Shukri memberitahu, polis kemudian menahan seorang lagi rakan kepada kedua-dua suspek terbabit di ibu negara pada 25 Ogos lalu.

"Suspek ketiga merupakan warga Lebanon berusia 30 tahun. Lelaki terbabit dipercayai turut bersubahat dengan kedua-dua suspek warga Pakistan," katanya.

Mohd. Shukri memberitahu, modus operandi sindiket berkenaan ialah dengan membawa wang palsu  rupee  untuk ditukar dengan Ringgit Malaysia di mana-mana premis pengurup wang berlesen di negara ini.

"Wang kertas  rupee  palsu yang digunakan sindiket berkenaan berkualiti tinggi dan hampir menyamai wang  rupee  tulen," kata beliau.

Ketiga-tiga suspek berkenaan masih direman dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan kerana memiliki wang palsu yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment