Translate

Wednesday, August 29, 2012

Warga Indonesia tipu beli diesel RM900,000

IPOH - Polis memberkas lima lelaki warga  Indonesia  yang disyaki menipu seorang pengusaha produk petroleum melibatkan pembelian minyak  diesel  bernilai RM900,000 semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kesemua suspek yang berusia 25 hingga 45 tahun itu ditahan di sebuah hotel di bandar raya ini pada pukul 12.30 tengah malam setelah menerima aduan daripada mangsa.

"Pengusaha terbabit telah menerima tempahan daripada kumpulan itu untuk mengedarkan 100,000 liter  diesel  bagi pasaran  Indonesia .

"Sebaik menyerahkan stok minyak  diesel  itu, mangsa menerima draf bank berjumlah RM900,000 daripada suspek sebagai pembayaran transaksi berkenaan pada 23 Ogos lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

Bagaimanapun, Mohd. Shukri memberitahu, pengusaha terbabit menyedari dirinya tertipu setelah gagal menunaikan draf bank terbabit kelmarin.

"Berdasarkan aduan, polis memberkas kelima-lima suspek di sebuah hotel di sini awal pagi ini (semalam). Mereka ditahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Tuesday, August 28, 2012

3 warga asing tukar rupee palsu diberkas

 IPOH - Tembelang sebuah sindiket antarabangsa yang memperdaya pengurup wang menggunakan wang kertas mata wang asing palsu terbongkar ekoran penahanan tiga anggotanya baru-baru ini.

Dua penjenayah warga Pakistan itu ditahan ketika mereka cuba menukar wang kertas bernilai 402,000  rupee   India  (RM22,512) palsu di sebuah premis pengurup wang berlesen di Pekan Bharu di sini pada Khamis lalu.

Mengikut pasaran 100  rupee   India  bersamaan dengan RM5.58.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, tindakan kedua-dua lelaki yang berusia 22 dan 42 tahun itu menimbulkan curiga pengusaha premis pengurup wang berkenaan kerana jumlah wang  rupee  yang mahu ditukar terlalu banyak.

"Setelah diperiksa secara teliti, pengusaha berkenaan mendapati wang kertas yang cuba ditukar dengan Ringgit Malaysia merupakan wang palsu sebelum pengusaha terbabit terus menghubungi polis.

"Kedua-dua suspek berjaya diberkas di premis pengurup wang tersebut," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini.

Menurut beliau, pemeriksaan polis ke atas kedua-dua lelaki Pakistan itu menemui wang kertas  rupee  palsu yang kesemuanya bernilai 402,000  rupee .

Polis turut merampas tiga telefon bimbit, sebuah beg berwarna hitam dan dua pasport antarabangsa kedua-dua suspek itu.

Susulan tangkapan itu, Mohd. Shukri memberitahu, polis kemudian menahan seorang lagi rakan kepada kedua-dua suspek terbabit di ibu negara pada 25 Ogos lalu.

"Suspek ketiga merupakan warga Lebanon berusia 30 tahun. Lelaki terbabit dipercayai turut bersubahat dengan kedua-dua suspek warga Pakistan," katanya.

Mohd. Shukri memberitahu, modus operandi sindiket berkenaan ialah dengan membawa wang palsu  rupee  untuk ditukar dengan Ringgit Malaysia di mana-mana premis pengurup wang berlesen di negara ini.

"Wang kertas  rupee  palsu yang digunakan sindiket berkenaan berkualiti tinggi dan hampir menyamai wang  rupee  tulen," kata beliau.

Ketiga-tiga suspek berkenaan masih direman dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan kerana memiliki wang palsu yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Penipu pakai rambut palsu dicekup

 IPOH - Kelicikan seorang lelaki yang memakai rambut palsu dan cermin mata hitam untuk memperdaya 10 peniaga kain di sekitar Perak sejak awal Ramadan lalu berakhir apabila dia diberkas baru-baru ini.

Suspek berusia 46 tahun tersebut diberkas ketika cuba memperdaya seorang peniaga pasar larut  malam ,  Gerbang   Malam  di sini pada 17 Ogos lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan (gambar kecil) berkata, suspek disyaki melarikan barangan seperti kain batik, kain pelikat, telekung, kelambu, sejadah, selimut dan lampu suluh bernilai RM31,293 dengan menyamar sebagai pembeli.

"Suspek akan memakai rambut palsu dan cermin mata hitam untuk menyamar. Dia juga sering menukar kereta dan menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk mengelakkan daripada dikesan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

Tambahnya, selain tangkapan, polis turut merampas rambut palsu, nombor pendaftaran palsu, kain pelikat dan telekung serta sebuah kereta jenis Perodua Viva.

Menurut Mohd. Shukri, modus operandi suspek ialah menyamar sebagai pembeli untuk memborong kain batik, kain pelikat, telekung, kelambu dan sejadah.

"Suspek kemudian akan berpura-pura mengatakan tidak cukup duit lalu mengajak peniaga terbabit mengikutnya ke bank berhampiran.

"Namun sebaik sahaja mangsa turun dari kereta di hadapan bank, lelaki itu akan memecut bersama barangan berkenaan," katanya.

Ujar Mohd. Shukri, suspek juga menggunakan beberapa kenderaan berlainan seperti Perodua Viva, Perodua Kancil, Hyundai dan Proton Iswara bagi mengelirukan mangsa dan pihak berkuasa.

"Susulan itu, kita menahan empat lagi lelaki termasuk dua warga Bangladesh berusia antara 20 hingga 75 tahun yang dipercayai pembeli barangan curi tersebut," katanya yang memberitahu kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Monday, August 27, 2012

Jambatan baharu di Manjoi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kesukaran lebih 1,000 penduduk  Kampung   Razak , Gugusan Manjoi di sini yang sebelum ini mengalami masalah perhubungan kerana  jambatan  konkrit di  kampung  tersebut menuju ke Jalan Kuala Kangsar dan pusat Gugusan Manjoi runtuh sejak setengah tahun lalu bakal berakhir tidak lama lagi.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, sebuah  jambatan  baharu sepanjang 33 meter yang merentangi Sungai Pari di sini sedang dibina dengan peruntukan RM20,000.

" Jambatan  sementara itu mampu menampung muatan sehingga 25 tan dan ia dijangka dapat disiapkan dalam tempoh seminggu dan sudah boleh digunakan akhir bulan ini.

" Jambatan  itu untuk kemudahan penduduk  Kampung   Razak  yang sebelum ini menghadapi kesukaran berhubung setelah  jambatan  konkrit sedia ada runtuh akibat banjir besar awal tahun ini," katanya ketika meninjau perkembangan pemasangan  jambatan  bailey di  Kampung   Razak , Gugusan Manjoi di sini semalam.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi, Datuk Nadzri Ismail dan Pegawai Daerah Kinta, Datuk Jamry Suri.

 Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun memberitahu,  jambatan  baharu tersebut hanya bersifat sementara sebelum  jambatan  konkrit baharu dibina di perkampungan berkenaan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Kosmo! pada 21 Februari lalu melaporkan lebih 200 penduduk daripada 55 buah keluarga di Gugusan Manjoi, Taman Lim dan Buntong di sini terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara akibat kejadian banjir kilat.

Kesemua mereka dipindahkan ekoran air di beberapa batang sungai antaranya Sungai Pari dan Sungai Tapah melimpahi tebing.

Kartika kini pengurus resort berjaya

 SUNGAI SIPUT - Bekas model,  Kartika  Sari Dewi Shukarnor yang pernah mencetus kontroversi sebagai wanita pertama diperintah Mahkamah Syariah menjalani hukuman sebat atas kesalahan meminum arak kini komited menguruskan sebuah  resort  di Kampung Jawang, Karai dekat sini.

Di bawah pengurusan  Kartika , 35, (gambar kecil)  Resort   Lang   Buana  yang dimiliki bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib, 63, semakin laris dan dikenali sebagai pusat motivasi, latihan dan aktiviti luar melibatkan kegiatan sungai.

"Sejak kehilangan anak sulung (Mohd. Azfar, 9,) pada Mei tahun lalu, saya mula serius mengambil bahagian dalam pengurusan  Resort   Lang   Buana .

"Sambutan terhadap  resort  ini semakin memberangsangkan. Kami mendapat permintaan untuk menganjurkan program motivasi dan latihan hampir setiap hujung minggu walaupun pada bulan Ramadan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

 Kartika  berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta kakitangan badan korporat dan sektor awam dari seluruh negara.

Ujarnya, tumpuan dia kini hanya kepada keluarga khususnya satu-satu anak yang tinggal, Wann Kaitlynn  Kartika , 7, dan mengembangkan lagi  Resort   Lang   Buana .

"Pengalaman lalu menjadikan saya lebih tabah dan positif mengharungi kehidupan dan cabaran mendatang," katanya.

Sejurus selesai menjalani hukuman khidmat masyarakat selama tiga minggu bermula 2 April 2010 di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan,  Kartika  telah menuntut ilmu agama di Kedah.

Hukuman khidmat masyarakat tersebut sebagai ganti kepada hukuman enam sebatan kerana minum arak setelah diringankan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selepas  Kartika  menghadap Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah pada 3 Mac 2010.

Terdahulu anak ketiga kepada pasangan Shukarnor dan Wan Badariah Meor Abdul Salim, 55, itu dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 pada 18 Julai 2009 selepas didapati bersalah minum arak di sebuah  resort  di Cherating, Kuantan.

Sunday, August 26, 2012

Bina monumen peringatan Pertempuran Kampar yang bersejarah

 KAMPAR - Demi kecintaan terhadap sejarah, seorang lelaki tempatan, Harchand Singh Bedi membina sebuah  monumen  peringatan lokasi Pertempuran  Kampar  yang terletak di Rabung Hijau, Gunung Bujang Melaka di sini baru-baru ini.

Harchand berkata,  monumen  peringatan tersebut yang dibina dengan kerjasama Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Kuala Dipang itu ditujukan khas kepada 9,000 tentera yang terkorban dalam pertempuran tersebut.

"Tidak wajar Rabung Hijau merupakan tapak bersejarah yang mengabadikan peristiwa bersejarah Pertempuran  Kampar  yang berlaku 71 tahun lalu dibiarkan begitu sahaja.

"Pembinaan  monumen  peringatan yang memakan kos kira-kira RM20,000 tersebut merupakan fasa pertama untuk memperkenalkan lokasi ini di mata dunia," katanya kepada Kosmo! di sini.

Harchand berkata, selepas ini, beliau dan PBTM cawangan Kuala Dipang yang dipengerusikan Peter Chai akan menyiapkan sebuah galeri sejarah di lokasi terbabit.

Beliau berkata, fasa ketiga pula ialah membina sebuah muzium cahaya dan bunyi bagi menceritakan latar peristiwa Pertempuran  Kampar  yang berlaku antara 30 Disember 1941 hingga 2 Januari 1942.

Pertempuran selama empat hari itu dianggap antara pertempuran paling sengit dalam usaha tentera British untuk menyekat kemaraan tentera Jepun menawan Tanah Melayu dan Singapura.

Lokasi Rabung Hijau yang masih terdapat kesan-kesan pertempuran dan kubu perang terletak kira-kira 50 meter dari Jalan Ipoh - Kuala Lumpur berhampiran pasar raya besar Tesco,  Kampar .

Damara Care miliki ramuan istimewa

IPOH - Pengusaha produk kesihatan,  Damara  Care & Herb Sdn. Bhd. ( Damara  Care) memperkenalkan empat produk terbaharunya sempena Persidangan dan Pameran Perniagaan Kesihatan, Spa dan Kecantikan Asia Pasifik yang diadakan di sini baru-baru ini bagi mempelbagaikan tawaran produk di pasaran.

Pengarah Urusan  Damara  Care, Mohammad Razlin Roslan berkata, produk tersebut ialah  Damara  Manna Emulsion,  Damara  Manna Coffee Drink,  Damara  Fabulous Oat dan  Damara  Junior Oat.

"Semua produk untuk penjagaan kesihatan itu sesuai untuk kegunaan seisi keluarga kecuali  Damara  Junior Oat iaitu minuman bijirin yang disasar kepada golongan remaja serta kanak-kanak manakala  Damara  Fabulous Oat untuk golongan wanita.

"Produk-produk tersebut mengandungi ramuan resin pokok akasia atau 'manna' yang berasal dari Sudan. Ia merupakan manisan berkhasiat yang turut disebut dalam al-Quran," katanya pada majlis pelancaran tersebut.

Mohammed Razlin menerangkan ramuan berkhasiat lain yang terkandung dalam produk itu ialah madu, buah goji, air zam-zam, kacip fatimah, stevia, kurma, badam, kismis dan gingko.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya lebih tertumpu kepada pasaran Utara Semenanjung sebelum mengembangkan penguasaan pasarannya ke seluruh negara.

Sunday, August 19, 2012

Ibu tunggal ditahan dera anak sampai mati

IPOH - Seorang ibu tunggal ditahan manakala kekasih wanita itu dicari selepas mereka disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun sehingga mangsa meninggal dunia kelmarin.

J. Pavitra meninggal dunia di Klinik 1Malaysia Kampung Tawas pada pukul 5.20 petang selepas ibunya membawa mangsa ke klinik selepas mendakwa anaknya terjatuh dari katil.

Suspek berusia 33 tahun dan sudah kematian suami akibat kemalangan pada tahun lalu ditahan ketika dia menunggu mayat anak bongsunya di Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada pukul 11.20 pagi semalam.

Penahanan ibu kepada empat tahun itu sangat mengejutkan ahli keluarganya yang turut berada di HRPB dan menunggu untuk menuntut mayat kanak-kanak itu.

“Kenapa tangkap saya?,” tanya ibu tunggal itu sambil menangis kepada anggota polis yang menahannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, suspek bersama anak bongsunya yang menetap di sebuah bilik yang disewa di Kampung Tawas, Tasek di sini mendakwa anak bongsunya demam setelah terjatuh dari katil di rumahnya pagi kelmarin.

"Pavitra yang semakin lemah dibawa untuk mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia Kampung Tawas namun sebaik tiba di klinik tersebut, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Menurut beliau, hasil bedah siasat mengesyaki kematian Pavitra disebabkan penderaan berikutan penemuan banyak kesan lebam dan luka lama di badan mangsa.

"Punca kematian mangsa akibat kecederaan dalaman di bahagian kepala," kata beliau.

Azisman memberitahu, suspek ditahan untuk diambil keterangan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis pada pukul 5 petang semalam menahan teman lelaki suspek wanita bagi membantu siasatan kematian Pavitra.

Sementara itu, nenek Pavitra, L. Vijaya, 50, memberitahu anak perempuan dan cucunya baru berpindah dari rumahnya di Taman Impiana, Menglembu di sini ke Kampung Tawas kira-kira sebulan lalu.

Menurut Vijaya, dua anak lelaki suspek masing-masing berusia 14 dan 15 tahun tinggal di rumah kebajikan di Taiping manakala anak ketiga suspek juga lelaki yang berusia lima tahun dijaga oleh seorang ahli keluarga bekas suaminya.

Saturday, August 18, 2012

Pergerakan balik raya lancar

 KUALA LUMPUR - Bahang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut esok kian terasa apabila semakin ramai warga ibu kota mula pulang ke kampung halaman masing-masing sejak pagi semalam.

Bagaimanapun, tindakan pihak pengendali lebuh raya memperkenalkan cadangan waktu perjalanan telah berjaya mengatur pergerakan masuk trafik secara berperingkat-peringkat dan berjaya mengelak kesesakan di laluan utama khususnya Lebuhraya Utara-Selatan.

Maklumat Twitter Plustrafik setakat pukul 9.40 malam tadi tidak melaporkan sebarang kesesakan luar biasa melainkan aliran kenderaan yang meningkat dari Sungkai hingga ke Tapah.

Laporan LLMinfotrafik pula mendapati aliran trafik meningkat dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah untuk perjalanan ke Pantai Timur tetapi pergerakan kenderaan masih lancar.

Keadaan yang sama juga dapat dapat dilihat di hentian-hentian bas utama khususnya Hentian Pudu Raya, Hentian Putra dan Hentian Jalan Duta semalam.

Tinjauan Kosmo! mendapati walaupun jumlah penumpang lebih ramai daripada biasa, ia tidak menyebabkan kesesakan di luar jangkaan.

Guru tadika, Munirah Hashim, 23, terpaksa meminta pelepasan kerja separuh hari daripada majikannya untuk pulang ke Kamunting, Perak pada sebelah petang.

"Saya terpaksa berbuat demikian kerana tiket pada waktu malam sudah habis dijual di Hentian Pudu Raya walaupun saya telah cuba membelinya sejak awal Ramadan lagi," katanya.

Bagi Saizzah Salim, 26, pula, dia lebih selesa menggunakan pengangkutan awam untuk pulang berhari raya di Kuala Terengganu walaupun mempunyai kenderaan sendiri.

Katanya, dengan menaiki pengangkutan awam, dia tidak perlu risau untuk menempuhi kesesakan jalan raya.

"Walaupun terpaksa bersesak untuk membeli tiket bas, ia lebih berbaloi dan menjimatkan. Saya hanya naik dan tunggu untuk tiba sahaja ke destinasi," jelasnya.

Di Terminal Bas Medan Gopeng, Ipoh, pasangan warga emas, Abdul Wahab Saksi, 63, dan Rokiah Hassan, 63, dari Kampung Gajah mahu beraya di rumah anak mereka, Abdul Fathil Sham, 30, yang tidak mendapat cuti di Setapak, Kuala Lumpur.

"Tiga lagi anak kami juga menetap di Kuala Lumpur, tak sedap rasanya menyambut Aidilfitri tanpa semua anak dan cucu.

"Baik kami beralah dengan pergi ke rumah anak agar raya lebih meriah," katanya.

Di Terminal 1, Seremban, pelatih Kolej Hospital Pakar Nilai (KPJ), Nurul Hazmah Naman, 20, sudah tidak sabar untuk balik raya di Johor.

"Saya pun sudah lama tidak pulang ke kampung halaman sejak belajar di Nilai, pastinya esok (hari ini) saya dapat membantu keluarga membuat persiapan terakhir dan bertemu adik-beradik," katanya.

Di Terminal Bas Seksyen 17 Shah Alam, pelajar Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Nurul Hidayah Ismail, 18, berkata, inilah tahun pertama dia balik raya sebagai perantau.

"Semoga perjalanan pulang ke kampung di Pendang, Kedah berjalan lancar, terasa rindu sangat kepada ahli keluarga," katanya.

Di Melaka, warga Indonesia yang beragama Islam membanjiri Kompleks Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ) Melaka, Banda Hilir semalam untuk menaiki feri pulang beraya.

Peniaga di Kajang, Yus Kudin, 42, memberitahu, suasana menyambut hari raya di kampung halaman sendiri di Paya Kumboh, Sumatera Barat jauh berbeza berbanding menyambutnya di negara ini.

"Suasana hari raya dirasakan lebih meriah dan seronok jika menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga dan saudara-mara," katanya.

Rakan senegara, Sri Purwanti, 33, sudah tidak sabar untuk kembali ke Dumai, Indonesia selepas lima tahun beraya di Malaysia.

"Setiap kali hari raya, saya sedih kerana terpaksa menyambutnya di tempat orang. Tahun ini saya gunakan cuti yang diberi majikan untuk pulang beraya bersama keluarga," katanya.

Di Kuching, perkhidmatan bot ekspres menjadi pilihan orang ramai pulang berhari raya di kampung halaman kerana menjimatkan masa dan tambang.

Mekanik, Halippuma Mudah, 25, berkata, perjalanan bot ke kampungnya di Sibu hanya mengambil masa lima jam berbanding lapan jam jika menaiki bas ekspres.

"Sepanjang enam tahun lepas, saya dan isteri memilih bot ekspres untuk balik berhari raya sebab ia lebih cepat, murah, selesa dan selamat," katanya ketika ditemui Kosmo! di Terminal Bot Ekspres Kuching semalam.

Mohd. Sabri Serah, 31, pula memilih bot ekspres kerana perjalanan melalui jalan raya lebih terdedah kepada kemalangan.

"Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan sering hujan, naik bot lebih selamat daripada guna Lebuhraya Pan Borneo," katanya.


Ibu terkilan tak sempat beli cincin buat arwah

 BERUAS - Sabariah Hassan,ibu kepada gadis yang ditemui mati dibunuh kejam di sebuah flat di Flora Damansara di Petaling Jaya, Selangor semalam terkilan kerana tidak sempat menunaikan hajat anaknya untuk memakai cincin.

Menurut wanita yang berusia 60-an itu, arwah tidak mahu baju raya dengan alasan dia tidak boleh pakai kerana hanya akan pulang ke kampung selepas hari raya.

Oleh itu, Sabariah memberitahu, arwah minta sebentuk cincin emas untuk dipakai ketika pulang ke kampung selepas raya.

“Tidak sangka pula belum sempat saya menunaikan hajat Ucup dia terlebih dahulu meninggalkan saya,” katanya yang terlalu sedih dengan berita kematian anaknya itu.


Menurutnya, arwah anaknya itu sudah hampir setahun tinggal bersama salah seorang kakaknya di Kuala Lumpur.

Tambahnya, dia tidak mengetahui bagaimana pembunuh anaknya itu tergamak melakukan perbuatan kejam terhadap arwah.

Yasuhaidah yang merupakan kakitangan pusat perkembangan minda kanak-kanak di Mutiara Damansara ditemui meninggal dunia dengan 14  kesan kelaran di leher dan kepala, kesan luka di kedua-dua belah tapak tangan, empat kesan tikaman di kedua-dua belah rusuk, satu tikaman di belakang leher dan satu kesan luka di perut.

Saturday, August 11, 2012

Nestle edar 25,000 bungkus bubur lambuk di Ipoh

 JAMU. Nestle Products Sdn. Bhd. (Nestle) mengedar 25,000 bungkusan bubur lambuk kepada orang ramai di pasar raya besar Mydin, Ipoh baru-baru ini.

Program sempena ulang tahun ke-100 Nestle itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Turut hadir Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datuk Dr. Ameer Ali Mydin.

Pengurus Eksekutif Perniagaan Makanan Malaysia dan Singapura Nestle, Rosalyn Simba berkata, sebanyak 100 periuk bubur lambuk dimasak secara gotong-royong.

Turut diadakan majlis berbuka puasa untuk 100 anak yatim daripada Pusat Jagaan Pertubuhan Baitul Aini, Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam dan Pusat Pendidikan Al-Barakah.

Thursday, August 9, 2012

Buruh terkejut jumpa pistol, peluru

IPOH - Seorang buruh binaan sebuah tapak pembinaan perumahan terkejut apabila menemui sepucuk  pistol  dan peluru di dalam bungkusan beg plastik hitam di sebuah tapak projek  Seri   Manjung  kira-kira 100 kilometer dari sini kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim (gambar kecil) berkata, polis segera menjalankan siasatan sebaik dimaklumkan mengenai penemuan tersebut pada pukul 10.30 pagi.

"Beg itu ditemui berhampiran sebuah kontena di penghujung jalan di tapak projek. Sebaik dibuka, kita menemui sepucuk  pistol  separa automatik jenama Norinco Mod 213B 9MM Para 206923 buatan China.

"Selain itu, kita turut menjumpai sebuah kelopak dan 31 butir peluru bersaiz 9mm jenis Luger RA109," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, polis syak senjata api tersebut digunakan dalam kegiatan jenayah di sekitar daerah  Manjung  sejak kebelakangan ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai senjata api tersebut diminta menghubungi polis Perak di talian 05-6835 222 bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim (gambar kecil) berkata, polis segera menjalankan siasatan sebaik dimaklumkan mengenai penemuan tersebut pada pukul 10.30 pagi.

"Beg itu ditemui berhampiran sebuah kontena di penghujung jalan di tapak projek. Sebaik dibuka, kita menemui sepucuk  pistol  separa automatik jenama Norinco Mod 213B 9MM Para 206923 buatan China.

"Selain itu, kita turut menjumpai sebuah kelopak dan 31 butir peluru bersaiz 9mm jenis Luger RA109," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, polis syak senjata api tersebut digunakan dalam kegiatan jenayah di sekitar daerah  Manjung  sejak kebelakangan ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai senjata api tersebut diminta menghubungi polis Perak di talian 05-6835 222 bagi membantu siasatan.

Wednesday, August 8, 2012

Zambry bawa anak-anak angkat beli baju raya

 BAIK HATI. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr.  Zambry  Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli membawa 110 anak angkat mereka membeli  pakaian   raya  di sebuah pusat beli-belah di Ipoh baru-baru ini.

Zambry  berkata, kesemua kanak-kanak dan remaja berusia antara 10 hingga 14 tahun itu diambil menyertai Program Anak Angkat Menteri Besar Perak dikendali Yayasan Bina Upaya sejak tiga tahun lalu.

Ujarnya, selain diberi peluang memilih  pakaian  mengikut kehendak sendiri, anak-anak angkatnya turut menerima duit  raya  sebanyak RM150.

"Semoga dengan pembelian baju  raya  ini, mereka sama-sama akan merasai kemeriahan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Monday, August 6, 2012

Budak tujuh tahun jatuh sungai dikhuatiri lemas

IPOH - Seorang kanak-kanak tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas dia terjatuh dari tebing Sungai Perak berhampiran Kampung Dusun Hulu, Parit dekat sini semalam.

Mohd. Azhar Daneil Mohd. Azwar dikatakan terjatuh ketika sedang menuruni tebing sungai berkenaan untuk bermain bersama dua rakan pada pukul 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohd. Fakri Che Sulaiman berkata, murid tahun satu Sekolah Rendah Kebangsaan Layang-Layang Kiri, Parit itu terjerlus ke dalam beting pasir lalu dihanyutkan arus deras.

"Kejadian berlaku begitu pantas hinggakan dua rakan mangsa gagal membantu. Mereka kemudian memberitahu penduduk kampung," katanya.

Tambahnya, seramai 43 anggota dan pegawai dari polis, bomba dan Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia berganding bahu mencari mangsa.

Setakat semalam, mangsa belum ditemui.

Lelaki tersepit akibat kemalangan ditemui rentung

 GOPENG - Seorang lelaki rentung selepas terperangkap di dalam keretanya yang terbakar setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Pusat Transformasi Luar Bandar di sini semalam.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, kereta yang dipandu P. Srinivasan (gambar kecil), 26, dari Taman Timur, Kampar dekat sini terbabas lalu merempuh sebuah lori membawa muatan tilam dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, pemandu lori berkenaan yang dikenali sebagai Mohd. Nordan Enoh, 50, dan kelindannya terselamat.

"Semasa kejadian, kereta dipandu Srinivasan yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari Ipoh terbabas hingga memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori membawa muatan tilam.

"Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar dan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu gagal menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Kong Soon berkata, anggota bomba dan penyelamat berjaya memadamkan kebakaran tersebut pada pukul 3.36 pagi.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kampar dekat sini untuk bedah siasat.