Translate

Wednesday, July 18, 2012

Kecewa bekalan elektrik diputuskan

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH – Seorang jurukimpal kecewa dengan tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memutuskan bekalan elektrik di rumahnya di Taman Boon Bak di sini tanpa sebab munasabah baru-baru ini.

Lai Chee Wong, 37, percaya tindakan syarikat utiliti tersebut pada 5 Julai lalu itu berkaitan dengan keengganan dirinya membayar tunggakan bil elektrik yang didakwanya meragukan.

“Semuanya bermula apabila bil elektrik pada November tahun lalu mencatatkan tunggakan RM665.55 sedangkan saya sentiasa melunaskan bil elektrik setiap bulan sejak menduduki rumah sewa ini dua tahun lalu.

“Saya yang terkejut dengan tindakan itu telah berjumpa dengan bahagian Pusat Khidmat Pelanggan TNB Perak di Jalan Lahat di sini tetapi tiada penjelasan meyakinkan diberikan,” dakwanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan MCA Perak di sini baru-baru ini.

 Turut hadir ialah Pengerusi Biro Aduan dan Khidmat MCA Perak, Datuk Lee Kon Yin dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Kelvin Chang.

Chee Wong mendakwa, dalam pertemuan itu pegawai TNB Perak sebaliknya menyerahkan notis peringatan terakhir meminta dia menyelesaikan tunggakan bil elektrik RM456.30.

Dakwanya, keengganannya melunaskan tunggakan terbabit menyebabkan bekalan elektrik rumahnya diputuskan buat pertama kali pada Januari lalu.

"Namun setelah campur tangan Kelvin yang membantu saya, bekalan elektrik disambung semula pada Mac lalu selepas siasatan lanjut pegawai TNB mendapati masalah itu disebabkan meter bacaan yang rosak.

"Meskipun meter bacaan telah ditukar, TNB tetap mahu saya membayar tunggakan RM456.30 terbabit. Mana mungkin kerana ia bukan kesilapan saya," dakwanya.

Chee Wong memberitahu, oleh kerana tidak berpuas hati dengan tindakan TNB tersebut, dia telah membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Perak di sini pada Mei lalu.

Malangnya, belum sempat kes itu diperdengar TTPM, TNB telah bertindak memutuskan bekalan elektrik rumahnya sekali lagi.

Sementara itu, Kon Yin berkata, pihaknya akan berunding dengan pengurusan TNB Perak untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam kadar segera.
  

No comments:

Post a Comment