Translate

Monday, July 9, 2012

Bunuh jiran selepas bertengkar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


TAIPING – Perbalahan antara dua warga emas yang tinggal bersebelahan sejak beberapa tahun lalu sampai ke kemuncaknya apabila salah seorangnya bertindak nekad menetak kepala dan pinggang jirannya hingga mati dalam kejadian di Kampung Changkat, Kampar kelmarin.

Kejadian pukul 9.30 malam itu mengakibatkan Wong Cheong Heng, 73, mati di situ selepas cedera parah di kepala dan pinggang ditetak oleh jirannya yang berusia 62 tahun.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek yang tinggal berjiran sudah lama bertengkar.

 "Semalam (kelmarin) mereka berbalah lagi kerana suspek mendakwa terganggu dengan bunyi bising dari rumah  Cheong   Heng .

"Selepas bertikam lidah, suspek hilang sabar lalu menetak mangsa berkali-kali di pinggang dan kepala," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, polis yang menerima maklumat bergegas ke tempat kejadian sebelum menahan suspek dan merampas senjata tajam yang digunakan dalam kejadian itu.

Menurut Mohd. Shukri, mayat  Cheong   Heng  telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment