Translate

Saturday, July 7, 2012

20 samseng tetak kereta polis

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH - Empat anggota polis cemas apabila kereta mereka diserang oleh kira-kira 20 samseng yang bersenjatakan parang dan pedang samurai di Kawasan Perusahaan Menglembu di sini Rabu lalu.

Kejadian berlaku pukul 1.15 pagi semasa anggota polis itu cuba menghalang kumpulan dikenali sebagai Geng 08 Vinod itu yang dalam perjalanan untuk menyerang sebuah kumpulan samseng lain.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, Geng 08 Vinod yang menunggang motosikal itu bertindak ganas dengan menetak kenderaan polis tersebut berkali-kali menyebabkan cermin hadapan dan sisi pemandu pecah.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, salah seorang anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara.

“Tembakan itu menyebabkan kumpulan lelaki itu bertempiaran melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim.

Mohd. Shukri berkata, ekoran kejadian itu, operasi memburu suspek telah dilancarkan dan enam anggota geng terbabit yang berusia lingkungan 20-an berjaya ditahan di sekitar Menglembu dan Batu Gajah dekat sini.

Ujarnya, polis turut merampas 23 bilah parang dan pedang samurai milik mereka.

Menurut beliau, dua lagi suspek berusia 23 dan 24 tahun diberkas pada pukul 2.45 pagi semalam di sekitar bandar raya ini.

 "Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan untuk membalas dendam ke atas Geng 04 Menglembu yang didakwa membunuh seorang rakan mereka di Batu Gajah kira-kira sejam sebelum kejadian.

"Difahamkan, mangsa yang berumur 20 tahun diserang ketika berbual dengan beberapa rakan di hadapan rumahnya di Menglembu pada pukul 11.50 malam" katanya.

Mohd. Shukri berkata, mangsa telah ditarik ke dalam sebuah kereta sebelum ditetak dan ditinggalkan di tepi jalan di kawasan Pusing, Batu Gajah.

Jelasnya, kesemua lapan lelaki tersebut ditahan reman selama enam hari sehingga 9 Julai ini untuk membantu siasatan.

"Empat daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah," ujarnya.

Jelasnya, kes serangan ke atas anggota polis itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan manakala kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 akta yang sama.

No comments:

Post a Comment