Translate

Saturday, June 30, 2012

Kahwin wanita tempatan untuk rekrut keldai dadah

SERI   ISKANDAR  - Sindiket pengedaran  dadah  antarabangsa yang didalangi lelaki Afrika kini dikesan menggunakan taktik memperisterikan wanita tempatan untuk merekrut  keldai   dadah  baharu dalam kalangan gadis-gadis muda.

Pegawai Turus Bahagian Perlucuthakan Harta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Deputi Superintendan Zaitun Mohd. Nusi berkata, menerusi modus operandi tersebut, isteri pengedar  dadah  warga Afrika itu akan bertindak sebagai orang tengah bagi mendekati mangsa berpotensi.

"Biasanya wanita itu akan berbuat baik dengan golongan sasaran termasuk membantu dari segi material tetapi selepas itu mangsa terbabit akan diperangkap menjadi  keldai dadah  yang didalangi suami mereka.

"Taktik itu digunakan mungkin selepas cara lama iaitu memerangkap wanita dan gadis tempatan menerusi laman sosial seperti Facebook kurang berkesan akibat pendedahan meluas media," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel Forum Inter Agensi: Peranan Dalam Menangani Isu  Keldai   Dadah  sempena Program Wanita Anti Jenayah (Waja) di Dewan Sri  Iskandar , Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak di sini semalam.

Turut menjadi panel pada forum tersebut ialah Penolong Setiausaha Bahagian Konsular, Kementerian Luar, Ahmad Fuad Mohd. Norzin serta Ketua Unit Pengesanan dan Pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak, Mohamad Nor Ngadimin.

Sementara itu, Ahmad Fuad pula memberitahu, sehingga Mac lalu, Kementerian Luar telah mengenal pasti seramai 902 rakyat negara ini telah ditahan di luar negara berkaitan kes  dadah.

Menurut beliau, sebanyak 20 peratus daripada jumlah tersebut terdiri daripada golongan wanitadan rata-ratanya diklasifikasi sebagai kes  keldai dadah.

"Kebanyakan kes tahanan wanita di luar negara adalah mangsa yang diperangkap sindiket antarabangsa yang biasanya didalangi lelaki Afrika dan Iran," katanya.

No comments:

Post a Comment