Translate

Tuesday, May 1, 2012

IPTA dibenar tubuh IPTS sendiri

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan diberi kebenaran untuk menubuhkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sendiri bagi menjana pendapatan masing-masing.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung berkata, kebenaran itu adalah selaras dengan saranan agar mengurangkan kebergantungan IPTA terhadap pembiayaan daripada kerajaan semata-mata.

“Setakat ini tiga permohonan IPTA telah diberi kelulusan iaitu Universiti Malaya , Universiti Teknologi Mara dan Universiti Putra Malaysia.

”Saya difahamkan, penubuhan IPTS jenis baharu ini turut melibatkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) luar negara. Pengumuman lanjut akan dibuat pengurusan IPTA berkenaan dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan Majlis Kementerian Pengajian Tinggi bersama IPTS Zon Utara yang telah dihadiri 76 pengurusan kanan IPTS Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis di sini semalam.

Kok Chung berkata, IPTS baharu tersebut yang bertaraf universiti dan kolej universiti akan didaftar di bawah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996.

Menurut beliau, bagi menjamin kepentingan awam, syarat ketat telah dikenakan kepada IPTA berminat termasuklah penubuhan IPTS  tidak boleh dibiayai dengan sebarang sumber  kerajaan seperti geran mengurus tahunan.

“Pengurusan IPTS hendaklah terpisah secara total dengan pengurusan IPTA malah kakitangan akademik dan pengurusan juga perlu berasingan.

“Operasi IPTS berkenaan tidak boleh dijalankan di dalam kampus dan menggunakan sebarang kemudahan dan fasiliti dimiliki IPTA,” katanya.

Jelasnya, walaupun IPTS jenis baharu yang ditubuhkan menerusi anak syarikat IPTA terlibat boleh menggunakan modus pengurusan yang sama, syarat kemasukan dan kadar yuran penggajian yang dikenakan adalah berbeza.

No comments:

Post a Comment