Translate

Thursday, May 10, 2012

571 francaisi baharu

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Program Francais Komuniti yang telah dilancarkan pada bulan Oktober lalu telah berjaya menarik penyertaan daripada 571 francaisi baharu untuk dilatih oleh syarikat francais dengan menjana pelaburan bernilai RM64,160 juta.
 Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, daripada jumlah tersebut, RM16,254 juta diwakili oleh industri francais mikro yang melibatkan pelaburan kurang daripada RM50,000 manakala francais makro pula mencatatkan jumlah sebanyak RM47,906 juta.

“Ini merupakan satu jumlah yang agak besar bagi Program Francais Komuniti yang telah menjelajah sembilan lokasi termasuk Taiping hari ini (semalam) sejak enam bulan lalu,” katanya selepas majlis perasmian Francais Komuniti Taiping di sini semalam.

Pada program tersebut, sebanyak 14 syarikat francaisor seperti Ani Sup Utara, Long Burger, D’ Tandoor, Pusat Tuisyen Mawar, Dina Collection dan Procleaners telah terlibat.

Selain itu, Lian Hoe menjelaskan, program Francais Komuniti bertujuan untuk membantu masyarakat khasnya daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk menambah rezeki menerusi perniagaan francais yang mempunyai risiko lebih rendah.

Tambahnya, sebanyak kira-kira RM2.8 juta pembiayaan menerusi Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) telah diluluskan kepada francaisi yang menyertai program tersebut.

“Kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM8 juta untuk kemudahan SPKF, bagaimanapun, dana itu masih berbaki RM5.2 juta untuk diagihkan kepada para peserta program berkenaan di seluruh negara.

Sementara itu, Lian Hoe menjelaskan, industri francais tempatan telah menjana pendapatan sehingga RM21.48 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2011.

Malah, menurut beliau, jumlah syarikat francais berdaftar tempatan telah meningkat sebanyak 53 peratus dalam tempoh tiga tahun iaitu 607 pada tahun lalu berbanding 396 pada 2009.

“Oleh itu, kami menjangkakan jumlah pendapatan yang diraih industri tersebut mampu ditingkatkan kepada RM22.5 bilion menjelang tahun depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment