Translate

Tuesday, April 17, 2012

Tiga ahli Geng Lastik ditangkap

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH - Sebuah kumpulan pecah rumah dan samun kenderaan mewah bergelar Geng Lastik yang bermaharajalela di Lembah Kinta dan Lembah Klang sejak awal tahun ini berjaya dilumpuhkan dalam serbuan di sebuah hotel di Taman Ipoh di sini kelmarin.

Dalam serbuan pukul 11 pagi itu, tiga lelaki termasuk ketua kumpulan tersebut yang berusia 33 tahun diberkas.

Penjenayah itu digelar Geng Lastik kerana modus operandi pecah rumah dilakukan kumpulan tersebut dengan cara memecahkan cermin tingkap rumah mangsa menggunakan lastik

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pemeriksaan di hotel itu menjumpai peralatan seperti lastik, guli, alat penyembur lada, dua bilah parang, pisau, rambut palsu, empat telefon bimbit, set kunci rumah dan alat sistem penentuan kedudukan global (GPS).

"Dua buah kenderaan mewah iaitu BMW Hatchback dan Honda Accord yang masing-masing dilaporkan hilang di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dan Batu Gajah, Perak turut ditemui polis," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

 Menurut Azisman, hotel tersebut dipercayai dijadikan markas anggota  Geng   Lastik  yang aktif dalam melakukan pecah rumah di sekitar bandar raya ini sejak awal bulan ini.

Katanya, kumpulan itu biasanya akan melastik menggunakan guli pada cermin tingkap rumah mangsa sehingga pecah sebelum memasuki rumah tersebut.

Menurut beliau, penjenayah berkenaan bukan sahaja mengambil barangan berharga di dalam rumah tetapi turut melarikan kereta mangsa menggunakan kunci pendua.

"Ketiga-tiga suspek yang berusia 33 hingga 45 tahun itu turut mempunyai kepakaran dalam kegiatan mencuri kenderaan.

"Mereka juga dipercayai menyamar dengan memakai rambut palsu ketika melakukan jenayah bagi mengelak identiti mereka dikenali," kata beliau.

Ujarnya, ketua  Geng   Lastik  didapati mempunyai 11 kes jenayah iaitu tujuh kes curi kenderaan, tiga kes pecah rumah dan satu kes cabul.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 18 April bagi membantu siasatan polis.

No comments:

Post a Comment