Translate

Monday, April 16, 2012

Tiada campur tangan kerajaan dalam pengurusan Proton

IPOH - Kerajaan tidak campur tangan dalam sebarang keputusan melibatkan perubahan struktur pengurusan Proton Holding Bhd. (Proton) selepas diambil alih oleh DRB-HICOM Bhd. (DRB-HICOM) sejak awal tahun ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, sebagai pemilik baharu syarikat automobil negara tersebut, DRB-HICOM berhak melantik barisan pengurusan Proton yang bersesuaian dengan hala tuju perniagaan mereka.

“Sebagai sektor swasta, sudah tentulah DRB-HICOM mahu mendapat pulangan daripada pelaburan tersebut (pemilikan saham terbesar Proton).

“Jadi sebarang perubahan yang akan dibuat (terhadap Proton), bukan kerajaan tetapkan dan tiada campur tangan daripada kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Kecemerlangan Sekolah Izzuddin Shah (SIS) di sini semalam.

Begitupun, Ahmad Husni percaya sebarang keputusan yang dibuat DRB-HICOM sudah pasti bersandarkan strategi untuk meningkatkan perniagaan dan rangkaian industri automobil negara di peringkat antarabangsa.

Husni diminta mengulas mengenai laporan akhbar baru-baru ini berhubung spekulasi perletakan jawatan pegawai tertinggi Proton dipercayai telah menyebabkan DRB-HICOM menggabungkan barisan pengurusan yang baharu. Ia juga melaporkan gabungan pengurusan baharu dua entiti itu bakal diumumkan pada minggu depan.

Bagaimanapun, Proton telah menafikan khabar angin berkenaan.

No comments:

Post a Comment