Translate

Monday, April 2, 2012

Lebih 20,000 pengunjung hadir

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 LENGGONG - Karnival Sukan Parlimen Lenggong yang melabuhkan tirainya di sini semalam mendapat sambutan hangat apabila berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari diadakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, tambah membanggakan lebih 7,000 pengunjung telah membanjiri Padang Majlis Daerah Lenggong pada hari kemuncaknya semalam.

"Boleh dikatakan karnival sukan melibatkan penyertaan hampir semua penduduk Parlimen Lenggong sama ada sebagai peserta mahupun penyokong dan pengunjung.

"Selain matlamat memupuk gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan dan riadah tercapai, penganjuran program ini secara tidak langsung berjaya mengeratkan hubungan antara masyarakat di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Karnival Sukan Parlimen Lenggong di Padang Majlis Daerah Lenggong di sini semalam.

Shamsul Anuar berkata, seramai 4,920 individu dari 39 kampung dan 66 perkampungan kecil di Parlimen terbabit menyertai 21 acara sukan yang diadakan.

Menurut beliau karnival itu menyaksikan penglibatan menyeluruh semua kelompok masyarakat daripada murid taman bimbingan kanak-kanak hingga ke warga emas.
 "Sehubungan itu, kami bercadang untuk menjadikan  Karnival   Sukan  Parlimen  Lenggong  ini sebagai acara tahunan sebagai tarikan terbaharu  Lenggong  untuk mengenalkan daerah kecil ini sebagai destinasi pelancongan.

"Hasrat itu telah mendapat lampu hijau daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir," katanya.

Sementara itu, rata-rata pengunjung yang ditemui mengakui teruja menyertai 21 acara yang dipertandingkan selain menyaksikan pertunjukan tinju Muay Thai dan persembahan artis tempatan.

Sebahagian pengunjung bertuah juga membawa pulang pelbagai hadiah cabutan bertuah disediakan seperti motosikal, basikal dan barangan elektrik.

No comments:

Post a Comment