Translate

Tuesday, April 17, 2012

Banjir Kuala Dipang semakin surut

KAMPAR - Keadaan banjir di Kuala Dipang dekat sini semakin pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sebelum ini mencecah 1,166 sudah berkurangan kepada 312 orang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, cuaca baik sejak Jumaat lalu telah menyebabkan paras air banjir mulai surut.

Beliau berkata, ekoran itu, hanya sebuah pusat pemindahan sahaja masih dibuka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar di sini sementara pusat pemindahan di Dewan Pulau Berganding di sini sudah ditutup kelmarin.

“Namun begitu agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

“Ia memandangkan cuaca sekarang tidak menentu dan kita tidak dapat jangka bila banjir akan surut sepenuhnya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan hampir keseluruhan Pekan Kuala Dipang dekat sini ditenggelami banjir setinggi hampir tiga meter dalam kejadian terburuk dalam tempoh 30 tahun.

Sembilan kampung terlibat ialah Kampung Batu 20, Kampung Baru, Kampung Dipang, Kampung Melaya, Kampung Pasir, Kampung Nyior, Kampung Pulau Berganding, Kampung Changkat Jering dan Kampung Mesah dekat sini.

Hujan lebat luar biasa selama lebih lima jam menyebabkan ban Sungai Kampar terletak di Kampung Kuala Dipang Lama pecah.

No comments:

Post a Comment