Translate

Thursday, March 1, 2012

Trauma diculik hampir dua jam

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH – Sebuah keluarga hidup dalam keadaan tidak keruan apabila bukan sahaja bapa mereka trauma selepas diculik hampir dua jam oleh sekumpulan lelaki pada Jumaat lalu, malah mendakwa hidup mereka kini ibarat pelarian kerana terpaksa meninggalkan rumah yang kerap diintip penjenayah.

Wakil keluarga itu, S. Nagaraja, 25, mendakwa, kejadian itu disyaki berkait rapat dengan sebuah firma guaman yang tidak berpuas hati kerana masih belum menerima upah selepas dia berjaya mendapatkan pampasan insurans sebanyak RM300,000 pada Oktober tahun lalu.

Mengimbau semula kejadian itu, pekerja sebuah restoran itu memberitahu, bapanya, A. Subramaniam, 52, telah diculik ketika hendak ke tempat kerjanya di sebuah kilang di kawasan perindustrian Lahat dekat sini pada pukul 3.30 petang.

Katanya, sekumpulan enam lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Perdana hitam kemudian telah membawa bapanya ke sebuah premis berhampiran Pasar Pinji Mewah dekat sini sebelum salah seorang suspek menghubunginya menggunakan telefon bimbit Subramaniam.

“Penculik itu menuntut wang RM210,000 termasuk upah mereka sebanyak RM50,000. Jika tidak mereka ugut mahu bunuh dan bakar bapa saya.

“Cemas dengan ugutan itu, saya kemudian telah membuat laporan di Balai Polis Simpang Pulai dekat sini sebelum bapa dapat dibebaskan selepas diculik hampir dua jam,” ceritanya pada sidang akhbar di Pusat Perkhidmatan dan Biro Pengaduan MCA Perak di sini semalam.

 Tambahnya, dia mengesyaki lelaki-lelaki tersebut telah diupah untuk menuntut RM160,000 bagi pihak firma guaman yang pernah dilantik untuk menuntut pampasan akibat kemalangan yang dialaminya pada 2007.

"Saya bukan tidak mahu bayar tetapi jumlah RM160,000 yang dia minta tidak munasabah. Lagipun, saya telah menamatkan perkhidmatanya dan melantik peguam baharu beberapa bulan sebelum kes selesai," dakwanya.

Ujar Nagaraja, mereka sekeluarga kini bimbang kerana ternampak penjenayah masih berlegar-legar di sekitar kawasan rumah mereka di Taman Desa Pelancongan, Lahat dekat sini malam kelmarin.

"Kami sekeluarga termasuk dua adik perempuan saya terpaksa meninggalkan rumah buat sementara kerana bimbangkan keselamatan kami diancam," dakwanya yang kini tempang kaki kanan ekoran kemalangan.

Sementara itu, pengerusi biro berkenaan, Datuk Lee Kon Yin meminta supaya polis dapat menyelesaikan kes itu secepat mungkin sekali gus menjamin keselamatan keluarga Nagaraja.

No comments:

Post a Comment