Translate

Tuesday, February 28, 2012

Orang mati masih terima bantuan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Sikap terlepas pandang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak yang masih menyalurkan bantuan kebajikan kepada individu yang sudah lama meninggal dunia mendapat teguran Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) negeri.
Pengerusi PAC Perak, Datuk Seri Raja Ahmad Raja Omar (gambar) berkata, Jabatan Audit negeri mendedahkan bantuan kebajikan berkenaan yang sepatutnya dihentikan itu selepas penerima meninggal dunia tetap disalurkan selama beberapa tahun.

"Ada kes yang waris tetap mendapat bantuan kebajikan bulanan walaupun penerima sudah meninggal dunia sejak 2004 lagi. Sebanyak sembilan kes dikesan di Ipoh, Taiping dan Manjung melibatkan peruntukan hampir RM9,000.

"Walaupun tidak melibatkan peruntukan besar tetapi ia tetap perlu diberi perhatian serius. Sehubungan itu, saya telah memanggil Pengarah JKM Perak untuk memberi penjelasan mengenai isu berkenaan hari ini (semalam)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PAC Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Audit Perak, Datuk Seri Shamsiah Daud.

Raja Ahmad memberitahu, perjumpaan selama hampir dua jam itu mengenal pasti antara punca masalah itu berlaku kerana sikap tidak prihatin segelintir pegawai JKM peringkat daerah yang tidak mengemas kini data penerima.

Selain itu, pembayaran secara tunai kepada waris yang merahsiakan kematian penerima selama bertahun-tahun antara faktor ketirisan tersebut.

"Sehubungan itu, PAC Perak mencadangkan pembayaran secara tunai kepada waris dihentikan sebaliknya diganti dengan pembayaran melalui bank sepenuhnya.

"JKM negeri juga disaran lebih menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi memudahkan data penerima bantuan kebajikan dikemas kini," ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Raja Ahmad memberitahu, JKM juga memberi jaminan akan mengambil tindakan disiplin kepada kakitangannya yang terbukti lalai sehingga berlakunya kesilapan tersebut.

No comments:

Post a Comment