Translate

Tuesday, January 24, 2012

Salahkan doktor anak kudung


KUALA LUMPUR - Impian sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata yang sempurna sifatnya tidak kesampaian selepas kaki kanan bayi perempuan mereka terpaksa dipotong tiga minggu selepas dilahirkan awal bulan lalu.

Walaupun reda dengan apa yang berlaku, ibu bapa bayi itu, Mohd. Hasmadi Mohd. Nor, 30, dan Umi Kalsum Baharuddin, 24, tetap terkilan kerana mereka mendakwa kakitangan Hospital Taiping yang merawat anak sulung mereka itu, Nur Amani Nasuha lambat bertindak sehingga menyebabkan pergelangan kakinya terpaksa dipotong pada 1 Disember lalu.

Mohd. Hasmadi berkata, kakitangan hospital mendapati jari kaki kanan Nur Amani Nasuha telah dijangkiti kuman dan bertukar menjadi biru seawal 19 November lagi.

“Pihak hospital mengambil masa dua minggu untuk memantau apa yang berlaku sehingga semuanya sudah terlewat dan kaki anak kami terpaksa dipotong.

“Kalau mereka cepat bertindak mungkin jari anak saya sahaja yang dipotong dan bukan pergelangan kaki, hancur luluh hati kami dibuatnya,” kata Mohd. Hasmadi kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Desa Aman Puri, Kepong di sini semalam.

Dia yang bekerja di kilang pemasangan kenderaan di sini memberitahu, Nur Amani Nasuha dilahirkan tidak cukup bulan pada 7 November tahun lalu di hospital itu dan ditempatkan di wad kerana masalah pernafasan.

“Saya lihat jururawat di situ mengambil sampel darah dan memberi suntikan antibiotik setiap hari di bahagian kaki kanan.

“Tapi pada 19 November, doktor memberitahu ibu jari serta dua jari lain kaki kanan anak saya bertukar biru akibat jangkitan kuman,” ceritanya.

Dia kecewa kerana tempoh pemantauan selama dua minggu itu telah menyebabkan kawasan jangkitan kuman merebak dari jari kepada sebahagian kaki Nur Amani Nasuha.

Apa yang mengejutkan lagi, katanya, doktor yang merawat anaknya memberitahu, kaki kanan Nur Amani Nasuha terpaksa dipotong pada 1 Disember kerana masalah jangkitan kuman itu sudah berlaku agak lama sewaktu mangsa dirawat di wad itu.

"Kalau dia (doktor) kata sebab duduk lama dalam wad kena jangkitan kuman, lebih baik anak saya dibawa balik sahaja dan duduk di rumah.

"Kami sepanjang masa berasa sedih mengenangkan nasib anak yang kini sudah menjadi OKU (Orang Kelainan Upaya)," katanya.

Mohd.  Hasmadi , mendakwa, selepas dibenarkan keluar wad pada 1 Januari lalu, pihaknya masih tidak mendapat penjelasan secara rasmi dari hospital manakala usahanya untuk mendapatkan surat pengesahan kelahiran Nur Amani Nasuha secara normal juga tidak dilayan.

Umi Kalsum yang menghidap kencing manis pula memberitahu, sejak dalam kandungan lagi bayinya itu sihat.

"Kalau selepas ini pihak hospital masih sambil lewa dan tidak memberi jawapan yang menyakinkan, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," tegasnya.

Di Ipoh, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri membuka kertas siasatan berhubung kes yang menimpa Nur Amani Nasuha.

Beliau ketika dihubungi semalam menegaskan, dakwaan wujud kecuaian kakitangan hospital itu wajar dipandang serius.

"Saya akan arahkan Pengarah Kesihatan Negeri (Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher) siasat kebenaran dakwaan itu," tegasnya.

Ahmad Razin pula ketika dihubungi berjanji akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kes tersebut.

"Saya harap ibu bapa  bayi  itu tampil membuat aduan, selepas itu kami akan menyiasat sama ada punca kaki  bayi  itu dipotong akibat kecuaian hospital atau  bayi  itu memang ada masalah kesihatan lain," jelasnya.

No comments:

Post a Comment